Archive for December, 2008

Hukum Mengucapkan Merry Christmas

Wednesday, December 24th, 2008

Penulis: Hafiz Firdaus Abdullah Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/ Apabila penulis menaip “Why do we celebrate Christmas” di enjin carian internet www.google.com, hasil penemuan pertama yang dikemukakan menyebut: Why do we celebrate Christmas? It is Jesus’ birthday! His mommy was Mary and His earthy Father was Joseph. His real Father is God and Jesus was God’s gift to all of us! Christmas is the celebration of the birth of Jesus. Christians decided to celebrate this day many years after He was born. December 25 was picked as this day, even though it probably is not the exact day He was born. That is not as important as the reason we celebrate Christmas. Jesus is the reason for the season. The season is not just to receive gifts, get time off from school or eat a lot of good stuff. Remember that Jesus was born for us…to take away our sins…so that we can be forgiven of the bad things we do forever. This is the greatest gift of all! [www.godschildrenscorner.com] Jelas Christmas Day adalah sambutan bersempena dua perkara, pertama: Jesus sebagai anak Allah dan kedua: pengorbanan Jesus oleh Allah sendiri demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Adalah memadai dalam artikel ini kita memberi tumpuan kepada yang pertama sahaja, iaitu Jesus sebagai anak Allah. Apakah pandangan Islam tentang dakwaan Allah memiliki anak? Jawapannya boleh diperolehi secara jelas daripada al-Qur’an. Pertama, Allah adalah Tuhan yang bebas daripada diperanakkan atau memiliki anak. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya”. [al-Ikhlas 112:1-4] Kedua, mengatakan Allah memiliki anak adalah satu kesalahan yang amat berat: Dan mereka berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.” Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak. [Maryam 19:88-92] Ketiga, dakwaan Allah memiliki anak adalah sebahagian daripada kepercayaan Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian. Kepercayaan Trinity bermaksud Allah adalah tiga sekalipun satu, iaitu (1) The Father, (2) The Son and (3) The Holy Spirit. Ini adalah satu kesalahan yang telah dinyatakan oleh al-Qur’an sejak lebih 1400 tahun yang lalu: Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam (Jesus) hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam dan (merupakan tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga (Trinity)”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [an-Nisa’ 4:171] Keempat, apabila orang-orang Kristian enggan berhenti daripada kepercayaan Trinity mereka sebagaimana yang dilarang oleh ayat 171 surah an-Nisa’ di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghukum mereka kafir: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Maidah 5:73] Ayat-ayat al-Qur’an di atas tidaklah bersifat samar-samar dalam menyatakan kesalahan mendakwa Allah memiliki anak. Pengkhususan diberikan kepada kepercayaan agama Kristian yang mendakwa Jesus adalah anak Allah. Jesus sebagai anak Allah adalah salah satu unsur Trinity. Berpegang kepada kepercayaan sebegini adalah satu kekafiran yang tidak diragukan lagi. Alhamdulillah umat Islam bebas daripada kepercayaan Allah memiliki anak dan Trinity. Akan tetapi umat Islam tidak sahaja dituntut untuk menjauhi kepercayaan sedemikian tetapi juga dilarang daripada membantu atau menyokongnya. Ini kerana di dalam Islam, apabila sesuatu perkara itu adalah salah maka kita bukan sahaja dituntut untuk menjauhi kesalahan tersebut tetapi juga dilarang daripada membantu dan menyokong kesalahan itu. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [al-Maidah 5:02] Termasuk dalam keumuman perintah “…bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan…” ialah membetulkan kepercayaan orang-orang Kristian. Hal ini kita lakukan bukan dengan menzalimi mereka tetapi dengan dakwah dan dialog dengan cara yang terbaik, yakni dengan ilmu dan hikmah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, melainkan kepada orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka. Dan katakanlah (kepada mereka yang zalim): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu. Dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri.” [al-Ankabut 29:46] Termasuk dalam keumuman perintah “…janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa…” ialah jangan kita membantu dan menyokong kepercayaan orang-orang Kristian. Di antaranya ialah jangan diucapkan: “Merry Christmas” kerana dengan ucapan ini atau apa-apa yang seumpama, kita mengiktiraf kepercayaan mereka dan memberi ucapan tahniah untuk mereka meneruskan kepercayaan tersebut. Ini dilarang dan amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya dituntut ke atas kita. Adapun tindakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, yakni orang-orang Yahudi dan Nasrani, ia adalah tindakan yang menafsirkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08] Akan tetapi menghormati dan berbuat baik kepada orang bukan Islam, dalam kes ini orang-orang Kristian, tidaklah sampai ke tahap membenarkan dan membantu kepercayaan mereka yang syirik kepada Allah. Sebagai contoh, apabila memerintahkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. [Luqman 31:15] Jelas bahawa berbuat baik tersebut adalah dengan syarat ia tidak melibatkan apa-apa yang bersifat syirik kepada Allah. Jika melibatkan syirik maka tidak ada ketaatan. Namun sekalipun dalam suasana syirik tersebut, anak-anak tetap dituntut bergaul dengan ibubapa mereka dengan cara yang baik. Justeru kita memang dituntut berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam. Akan tetapi tuntutan ini tidaklah ke tahap kita melakukan syirik kepada Allah atau kita mengiktiraf dan membantu orang bukan Islam melakukan syirik kepada Allah. Hal ini perlu dibezakan dengan baik. Perhatikan bahawa sekalipun Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, baginda tidak sekali-kali memberi ucapan tahniah dan menyertai perayaan keagamaan mereka. Timbul persoalan seterusnya, bagaimana seharusnya sikap kita kepada majikan, guru, rakan-rakan, jiran-jiran dan ahli keluarga kita yang menyambut Christmas Day? Untuk menjawab persoalan ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian melakukan satu anjakan paradigma. Sedar atau tidak, kita umat Islam apabila menghadapi sesuatu persoalan seringkali akan cuba mengubahsuai agama Islam supaya selari dengan persoalan tersebut. Kenapa tidak dilakukan yang sebaliknya, iaitu mengubahsuai persoalan supaya selari dengan agama Islam? Sudah sampai masanya Islam dan umatnya menjadi pemimpin, bukan asyik dipimpin. Dalam kes ini, sikap kita terhadap orang-orang Kristian yang berkaitan ialah menerangkan kepada mereka bahawa kita menghormati kepercayaan yang mereka pilih. Akan tetapi tidaklah bererti kita mengiktiraf dan menyertai perayaan keagamaan mereka kerana ia bertentangan dengan prinsip agama kita sendiri. Melalui penerangan yang berhikmah dan ilmiah, pasti mudah untuk orang-orang Kristian menerimanya. Malah mungkin ia dapat membuka ruang dakwah untuk kita membetulkan kepercayaan Trinity yang mereka pegangi. Sudah tentu bahawa penjelasan dalam dua perenggan terakhir di atas adalah berdasarkan kemampuan setiap individu. Jika seseorang tersepit dalam suasana yang menekan, maka dibolehkan baginya mengucapkan Merry Christmas sebagai pilihan yang terakhir. Allah sebagai tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun mengetahui apabila seseorang hambanya terpaksa melakukan satu perkara yang tidak diingininya. Perkara lain yang perlu digariskan adalah, tidak mengucapkan Merry Christmas tidak bererti akan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana perpaduan rakyat bukan bererti persatuan agama tetapi saling menghormati ajaran agama masing-masing.[1] Menghormati ajaran agama masing-masing bukanlah bermaksud kita umat Islam perlu mengalah kepada orang Kristian dengan mengucapkan Merry Christmas kepada mereka, tetapi dengan orang Kristian sendiri yang mengalah kepada umat Islam dengan menghormati kenapa ajaran Islam melarang umatnya daripada mengucapkan Merry Christmas. [1] Perlu dibezakan bahawa “menghormati ajaran agama masing-masing” tidaklah bererti kita boleh menjadikan umat beragama lain sebagai Wali. Kedua, ia tidak bererti kita boleh meninggalkan kewajipan untuk berdakwah kepada mereka. Lebih lanjut rujuk risalah penulis: Kerukunan Antara Agama, Bukan Kesamaan Antara Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah – Buku 2 (Jahabersa, Johor Bahru 2005).

BERHIJRAH MENUJU KEPADA ALLAH DAN RASUL

Monday, December 22nd, 2008
BERHIJRAH MENUJU KEPADA ALLAH DAN RASUL
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sebagaimana yang telah maklum kalendar Islam telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. Beliau dan para sahabat telah memutuskan untuk meletakkan tarikh permulaan kalendar Islam ini pada tahun di mana Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berpindah dari Mekah yang dikuasai oleh golongan musyrikin ke Madinah kerana begitu pentingnya peristiwa tersebut terhadap kejayaan dakwah Islam. Namun Maal Hijrah yang muncul setiap tahun hanya dilihat sebagai sambutan kedatangan tahun baru bagi umat Islam. Kebanyakkan umat Islam gagal menghayati semangat hijrah sebenar yang pada hakikatnya dapat memberi kesan yang begitu besar terhadap umat Islam.

Hijrah dari segi bahasa bermaksud meninggalkan atau berpindah. Dari segi istilah hijrah memiliki dua makna.

PERTAMA ia bermaksud berpindah dari negeri syirik menuju ke negeri Islam. Hijrah dalam erti ini adalah sebagaimana hijrah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya yang meninggalkan kampung halaman mereka di Mekah menuju ke Madinah. Ada yang berpendapat dengan berakhirnya penghijrahan tersebut maka tidak ada lagi hijrah setelah itu. Perkara ini dapat disangkal dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” – Hadis riwayat Abu Dawud no 2120

Oleh itu bagi umat Islam yang bermastautin di negara yang dikuasai oleh orang kafir dan tidak berupaya untuk mengamalkan agamanya malah ditindas maka diwajibkan baginya untuk berpindah ke negara Islam yang lain sekiranya memiliki kemampuan. Dalil yang mewajibkan hijrah sebegini adalah firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” – al-Nisaa’ : 97

Tetapi hijrah sebegini tidak diwajibkan bagi mereka yang tidak memiliki kekuatan dari segi fisikal mahupun ekonomi untuk berpindah. Firman-Nya:“Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” – al-Nisaa’ : 98-99

KEDUA, hijrah bermaksud meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah menuju kepada yang diperintahkan-Nya. Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang Muslim adalah seseorang yang kaum Muslimin selamat dari gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 6484

Imam Ibnul Qayyim r.h mengistilahkan hijrah seperti ini sebagai hijrah dengan hati menuju Allah dan Rasul-Nya. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Allah maka ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah pertama dalam syahadah kita iaitu Laa ilaaha illa Allah. Maka hijrah dalam hal ini menuntut kita untuk mengikhlaskan segala amal ibadah kita hanya kepada Allah. Hendaklah kita meninggalkan segala amalan-amalan yang berunsur syirik dan menyemai benih-benih tauhid kepada seluruh umat Islam. Kita harus mempertingkatkan usaha untuk membersihkan umat Islam dari perkara-perkara yang dapat mencemari aqidah umat Islam. Segala perkara khurafat, tahyul dan syirik harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Di antara amalan-amalan yang mencemari aqidah yang masih berleluasa di kalangan umat Islam di Malaysia adalah kebergantungan kepada bomoh, memakai tangkal serta azimat, berdoa kepada selain daripada Allah, bertawakal kepada selain daripada Allah, bertawassul kepada kuburan-kuburan yang dianggap keramat, menyakini ramalan-ramalan tukang ramal dan banyak lagi.

Manakala hijrah menuju kepada Nabi s.a.w. adalah proses untuk menerapkan konsep Ittiba’ al-Rasul iaitu satu upaya untuk mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Rasul, ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah ke dua dalam syahadah kita iaitu Muhammadur Rasulullah.

Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 2697

c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain melebihi perintah baginda tersebut.

d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:“Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini.” – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:“Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlid Nabi. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa tidak termasuk dalam amalan sunnah.

2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih sebagai ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.

4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam solat secara sengaja maka solat tersebut terbatal.

5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman daging babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana terdapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an untuk memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.

Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:

a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya serta menghapuskan dosa-dosa. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31

b) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32

c) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65

d) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih daripada Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63

e) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21

f) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36

g) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 7280.

h) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w..

Oleh itu sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini marilah kita berusaha untuk menerapkan konsep hijrah yang sebenar agar ianya memberi satu manfaat yang besar dalam hidup setiap umat Islam.

 

Mengapa Perlu Sangka Buruk ?

Monday, December 22nd, 2008

Mengapa Perlu Sangka Buruk ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah   beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda :-

كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Ertinya : “Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat” (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)

Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah.

Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis

ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن ” . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : ” إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه

Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk” lalu seorang lelaki bertanya : “apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?”

Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya” ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-

ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق

Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya” ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)

Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya

SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar’. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk’ apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.

Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon, bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali.

Namun mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.

SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya.

Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.  

Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.

JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.

Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.

Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih.

Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.

Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-

“Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu”

Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya).

Namun jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diritaksub kepada team mereka.

JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.

Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.

Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.

Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada Mufti Perlis. Tiba-tiba Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,

  • Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihanraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek’ kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
  • Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.
  • “Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!” Tempelak mereka.

Dan macam-macam lagi.

Saya kerap dengar komen “mengapa baru sekarang!!?” sebagai hujjah untuk membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen sebegini?

Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini.

Bila saya sebut masalah hukum di dalam ASB, syubhat dan keraguan aqad dalam MLM, pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata:-

“Mengapa baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan sekarang dah rugi kot” Katanya.

Saya menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?

Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata

“hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.

Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.

Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang.

Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.

Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN

Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.

 

Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.

Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :”puas aku fikir dan cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak sebenarnya?”

“akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku ust nak jual barang dia ni”

Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA.  

Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.

Sebagai contoh lain.

Ada yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 (sistem ini telah ditutup sementara waktu) bertanya sambil bersangka buruk berkenaan orang di sekitarnya:-

a- “Ustaz ada dengar tak slot Dr ..xxxxx pengasas ayam organik di radio ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr ini dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri jer”

b- “PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam, mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet”

c- “Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!”, simpul seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)

d- “eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak’ dari penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual agamanya untuk popular di televisyen”

e- “Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak berani berterus terang”

f- “Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?” Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.

g- Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : “jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan”

Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau punyai agenda lain.

Ada tersirat ke?

Malah jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal,  maka TIADA salahnya. Selagi mana zahir tindakan  mereka tadi adalah baik SERTA menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.

 Allah swt mengingatkan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :

الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ

Ertinya : “Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam” ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.

Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.

Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

 

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

“Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah” ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : “Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah.”

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

“Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : “Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat”.

Khalid berkata : “Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)”

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : “Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka” ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

 إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

KESIMPULANNYA 

Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baikterhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “”Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )

Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.

Namun, apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang sebenar.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

12 Mei 2008

 

 

 

 

Last update: 22-12-2008 06:54

Ke Arah Tajdid Majlis Fatwa

Wednesday, December 3rd, 2008

Majlis Fatwa, Yoga & Pertikaian

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

 

Fatwa yang dikeluarkan oleh Majis Fatwa Kebangsaan akhir-akhir ini cukup mendapat  perhatian ramai, dari orang Islam kepada yang bukan Islam. Dari orang kebanyakkan kepada Perdana Menteri dan Kerabat Diraja.

masjidku.jpgSaya masih ingat ketika bertemu dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa bulan lepas. Saya mencadangkan agar beliau memberikan perhatian kepada bentuk atau teks fatwa (sighah fatwa) yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa, yang bagi saya antara punca masyarakat tidak atau kurang hormat kepada fatwa yang dikeluarkan.

“Dato’, saya cadangkan agar teks fatwa yang dikeluarkan dinaiktarafkan (upgrade) iaitu dengan mengelakkan fatwa beberapa baris kepada mengeluarkan fatwa beserta kesimpulan yang disertakan penjelasan bersandar hujjah dan dalil” kata saya

“ia penting terutama di zaman masyarakat semakin terpelajar dan sering ingin melihat dan membaca sendiri apakah sandaran yang menyebabkan sesuatu keputusan atau fatwa itu dibuat”

Saya juga memberikan beberapa contoh teks fatwa yang amat baik seperti teks fatwa oleh Majlis Ulama Indonesia, Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga Majlis Shariah Kesatuan Perakaunan dan Kewangan Islam Antarabangsa (AAOIFI).

Sebagai contoh, cuba lihat teks fatwa Majlis Ulama Indonesia yang boleh diakses oleh orang ramai ini :

Beberapa contoh fatwa Majlis Ulama Indonesia

Melihat kepada teks-teks fatwa mereka, jelas menunjukkan kesungguhan dan ketelitian Majlis Ulamanya dalam mengeluarkan fatwa. Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga mungkin teliti dan terperinci dalam perbincangan mereka, namun rumusan perincian perlu dihebahkan kepada masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Majlis Ulama Indonesia ini. Tanpanya, sesuatu fatwa akan kurang dihargai, malah akan kerap dipandang lekeh oleh pelbagai pihak.

Pendedahan dan kebijaksanaan, ketelelitian dalam merangka teks fatwa (sighah fatwa) adalah amat perlu kerana tentu dengannya mampu mengukuhkan keyakinan ramai selain mendidik para pelajar ilmu agama di seluruh dunia akan cara-cara mengeluarkan fatwa. Bukankah itu satu proses pembelajaran yang  amat baik.

Cuba bandingkan tels fatwa Majlis Ulama Indonesia dalam link di atas dengan kenyataan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia

Lihat teks fatwa ASB :

 

Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah bagi kali ke-80 bermula pada 1 hingga 3 Februari 2008 telah memutuskan bahawa Hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Oleh itu, umat Islam boleh menyertai skim pelaburan ini dan tidak perlu merasa ragu-ragu terhadap status pelaburan yang telah dibuat serta dividen atau bonus yang telah diterima. (rujuk )

Tiada penjelasan lanjut, hanya HARUS.full stop.

 

Berikut pula adalah fatwa YOGA, Alhamdulillah ia punyai sedikit huraian namun masih memberikan seribu satu macam persoalan di minda pembaca:

Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.

(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.

(3) perbuatan.

Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis. ( sumber )

 

DOUBLE STANDARD ATAU FATWA SECARA TERPILIH

Ini adalah satu isu yang sensitif namun wajar diperhalusi dan diambil perhatian oleh sidang Majlis Fatwa Kebangsaaan agar kewibawaan dan keyakinan masyarakat kepadanya tidak pudar dan jatuh.

Dakwaan double standard dan mengeluarkan fatwa secara terpilih terutamanya apabila ia melibatkan isu politik dan kepentingan pihak tertentu yang berkuasa sering dikecam oleh pelbagai kumpulan masyarakat.

Namun protes, cadangan dan pandangan yang kurang senang ini kelihatan diabaikan dan tidak diambil ‘pusing’ oleh ahli majlis fatwa.

Bagi sebuah Majlis Fatwa dianggap penyelesai masalah ummat dan petunjuk bagi rakyat dalam hal ehwal agama, ketelusan dan ketegasan dalam fatwa amat amat diperlukan. Mereka perlu berdikari sebagai Majlis Fatwa Indonesia.

KESELARIAN FATWA

Keselarian pendirian majlis fatwa dengan apa jua fatwa yang telah dikelaurkan oleh mereka juga AMAT-AMAT diperlukan.

Menurut ilmu Usul Fiqh, keselarian ini amat penting malah keselarian hukum yang datang dari Allah dan Rasulnya dijadikan salah satu kaedah untuk ulama semasa dalam menentukan hukum bagi masalah-masalah baru yang timbul dalam masyarakat. [1]

Kaedah ini dinamakan “Istiqra”. Atau “Istiqra tasarrufat as-Shari”

Atau meneliti sifat-sifat hukum yang ditentukan oleh Shari’ ( Allah dan RasulNya)

Syeikh Ibn Asyur pernah berkata :-

فعليه أن لا يعين مقصدا شرعياً إلا بعد استقراء تصرفات الشريعة

Ertinya : “Oleh kerana itu, tidak boleh diketahui sesuatu objektif dalam sesuatu hokum shariah kecuali setelah dilakukan penelitian dan penyemakan khusus kepada (hamper semua) bentuk dan tatacara hukum syariah” [2]

Malah hal keperluan keselarian hukum lalu dengan yang terkini dapat diketahui melalui kaedah istiqra ini. Melaluinya, akan dapat difahami objektif sesuatu hukum dengan jelas dan seterusnya membantu para ulama dalam penentuan hukum seterusnya.

Namun jika fatwa-fatwa yang dikelaurkan tidak selari, ia akan mencetuskan kekeliruan umum terhadap dasar fatwa yang dikeluarkan dan targetnya.

Untuk menjelaskan lagi berkenaan keselarian fatwa contohnya begini:

Apabila Majlis Fatwa memutuskan bahawa YOGA adalah haram disebabkan boleh berlakunya kesyirikan, penyerupaan dengan upacara keagamaan bukan Islam dan lain-lain yang disebutkan di atas.

Maka masyarakat kini tertanya-tanya bagaimana pula hal-hal yang lain seperti ucapan Selamat Hari Natal atau Merry ChristmasHappy Deepavali, kongsi raya, bersanding, tepung  tawar dan pelbagai lagi yang berasal usul dari agama lain.

Apabila ia disenyapkan atau di fatwakan sebagai HARUS, sedangkan YOGA adalah haram, akan berlakulah  ketidak selarian dalam fatwa.

Ia secara automatik akan membawa pertikaian dari pelbagai kumpulan masyarakat yang akhirnya menjatuhkan kredebiliti fatwa.

Tidak saya nafikan, mungkin majlis fatwa telah pun mengeluarkan beberapa fatwa lain yang hampir serupa permasalahannya dengan YOGA seperti PENGHARAMAN SAMBUTAN VALENTINE DAY :

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa

amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam. ( Sumber :http://www.islam.gov.my )

 

Namun, apabila teks fatwa YOGA tidak menyebut contoh-contoh lain dalam penwartwaannya, kekeliruan akan timbul yang akhirnya menjatuhkan kredibiliti fatwa. Sebaiknya, bincangkan sekali isu-isu lain yang serupa ini selain yoga dan keluarkan fatwa sekaligus untuk semua yang mempunyai ciri yang sama.

Malah teks fatwa YOGA turut memberikan kekeliruan antara YOGA dengan mantera dan yang tidak dengan mantera dan jampi. Sekali baca fatwanya di atas kelihatan YOGA tanpa mantera adalah boleh, sekejap baca lagi macam tetap tidak boleh.

Justeru, amat wajar jika yang berwajib dapat mengelakkan pertikaian-pertikaian ( antara lainnya akibat penggunaan bahasa teks fatwa, ayat dan kandungannya) yang akhirnya menggugat nama baik Majlis Fatwa dengan bersifat lebih akademik dan professional dalam teks fatwa mereka. Bukan hanya beberapa baris ringkas seperti fatwa ASB dan malah belum cukup juga penjelasan ringkas dalam fatwa Yoga. Seeloknya disediakan hujah dan penulisan seperti yang disediakan oleh seorang wakil penulis JAKIM. [3] Saya kira, jika semua fatwa yang dikeluarkan dapat disertakan dengan bentuk lampiran sebegini serta boleh pula diakses oleh ramai, ia adalah baik dan menggalakkan.

RUANG KAJIAN SEMULA FATWA LEPAS

Pada hemat saya, adalah amat bijaksana jika Majlis Fatwa Kebangsaan memanfaatkan kewujudan para ilmuan Syariah di Malaysia sama ada di Universiti, pondok dan lain-lain instutusi pengajian tinggi yang lain. dengan menggunkan kepakaran mereka untuk meneliti fatwa yang dikeluarkan dan ditambah nilai atau dibantah secara ilmiah.

Oleh kerana mereka yang terlibat dalam pengeluaran fatwa dan kajian isu amat terhad, saya kira adalah amat wajar jika tindakan intutusi kewangan Islam gergasi seperti Dallah Al-Barakah dapat diambil kira.

Apa yang mereka lakukan adalah, setiap fatwa yang telah digazetkan oleh Majlis Syariah mereka sejak lama dahulu, kini dibuka semula untuk semakan dan pembetulan (jika perlu dan ada).

Bagi tujuan itu, baru-baru ini bertempat di Jeddah Hilton pada bulan September 2008, mereka mula memilih beberapa tajuk dan meminta pakar-pakar di luar majlis Syariah mereka untuk membentangakn kajian semula. Hasilnya, terdapat beberapa fatwa mereka yang diubah manakala beberapa yang lain kekal dan menjadi semakin kukuh. Untuk membaca beberapa kertas kerja lengkap perbincangan dan kajian semula fatwa mereka, sila buka link ini 

Semakan semula fatwa ini adalah perkara biasa dalam dunia ilmiah para ulama Islam sejak zaman silam.Imam Ibn Qayyim berkata :-

 

لا يمنعنك قضاء قضيت فيه اليوم فراجعت فيه رأيك , فهديت فيه لرشدك أن تراجع فيه الحق , فإن الحق قديم لا يبطله شيء ومراجعة الحق خير

Ertinya : Tidak sesekali terhalang sesuatu keputusan ( fatwa) yang telah kamu putuskan hari ini maka  ingin kamu nilaikannya semula,  berpandukan ilmu kewarasan dan (maklumat baru) maka kamu kembali kepada kebenaran, sesungguhnya kebenaran itu telah lama (wujud) dan tidak sesekali dibatalkan oleh sesuatu apapun, dan pengembalian kepada kebenaran adalah amat baik ” ( Ilam al-Muwaqqien, 1/69 ) 

 

Selain itu, kita perlu sedar bahawa fatwa-fatwa dalam beberapa isu yang berkaitan dengan hokum adakala boleh berubah apabila disedari terdapat kesilapan dan cara fatwa, sumber rujukan dan lain-lain. Justeru, menyedari manusia tidak maksum, sekiranya majlis fatwa mampu menganjurkan majlis seumpama ini,

ia pastinya akan dapat meningkatkan nilai setiap fatwa yang dikeluarkan di mata dan hati para akademia di Universiti selain masyarakat awam.

Tulisan ini tidak sesekali ingin meng’hentam’ majlis fatwa namun ia ditulis dengan niat murni untuk melihat setiap fatwa yang dikeluarkan lebih dihormati oleh masyarakat bukan secara paksa (tidak wajar cadangan mengambil untuk mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mempertikai), sesungguhnya penghormatan akan datang apabila kualiti fatwa ternyata dan teksnya dirangka dalam bentuk yang tepat, kemas dan bijaksana.

Justeru, hasrat saya agar majlis fatwa mampu serta dapat menzahirkan kualiti fatwa serta kaedah dan prosedur fatwa mereka yag akhirnya mampu meraih hormat masyarakat dan seterusnya membantu masyarakat Islam dalam urusan deen Islam yang mulia ini.

Sebagai ahli akademik berlatarbelakangkan agama di Malaysia, saya turut merasa kurang senang apabila institusi yang sepatutnya hebat di mata masyarakat seperti ‘majlis fatwa’ dihina dan dicerca dan tidak dihormati, namun tiada jalan lain kecuali suatu plan perubahan mestilah dilakukan untuk memartabatkan kembali majlis fatwa kebangsaan Malaysia dan juga institusi Mufti di Malaysia.

Bagi mereka yang berkuasa, anda bertanggungjawab untuk mengjaga nama baik Islam dan instutui fatwa. Jangan dipaksa masyarakat untuk ‘hormat’ jika kita tiada elemen yang boleh dihormati. Justeru, dapatkan elemen itu bukan dengan paksa tetapi secara fitrah.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

3 Disember 2008

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
[1] Maqasid As-Shariah Fi Ahkam Al-Buyu’, Zaharuddin A Rahman, hlm 85

[2] Maqasid As-Shariah Al-Islamiyyah, Ibn Asyur, hlm 231 ( cet Dar an-Nafais)

[3] Seperti yang dapat dibaca di link (http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=18867 )