Sejarah Tok Linggi Kampung Relong, Kuala Lipis (Versi 2)
—artikel di bawah telah dipindah turun secara selektif, tanpa mengambil keseluruhan kandungan kertas kajian, sila rujuk ke alamat blog di bawah untuk maklumat penuh—
Dato’ Linggi merupakan orang yang telah membuka perkampungan di Kampong Relong sekitar tahun 1795. Sehingga ke hari ini tidak banyak yang diketahui mengenai Dato’ Linggi dan asal usulnya. Penulis telah membuat penyelidikan berpandukan kepada ‘Salasilah Dato’ Linggi’ dan juga membuat rujukan kepada buku-buku sejarah, artikel-artikel dan jurnal-jurnal yang berkaitan dengan Sejarah Kesultanan Johor-Riau.
Menjejak Asal Usul Dato’ Linggi ini diterbitkan bagi membolehkan waris and keturunan baginda mengetahui sejarah asal usul dan kehidupan baginda, yang mana asalnya seorang Sultan Kerajaan Johor-Riau kemudiannya menjadi rakyat biasa. Begitulah sebahagian daripada cerita-cerita lisan yang diperturunkan oleh generasi terdahulu kepada generasi sekarang dengan harapan ianya tidak hilang dan dilupakan. Boleh dikatakan keseluruhan penduduk Kampung Relong dansekitarnya adalah dari keturunan baginda.
Menjejak Asal Usul Dato’ Linggi juga memuatkan salasilah dan sejarah pemerintahan Kesultanan Johor-Riau dan peristiwa-peristiwa yang berlaku diantara tahun 1740an hingga awal 1800an yang mempunyai hubung-kait dengan Dato’ Linggi.
Penulis juga berharap penerbitan Menjejak Asal Usul Dato’ Linggi ini menjadi titik tolak kepada penyelidikan seterusnya untuk membongkar rahsia dan sejarah hidup Dato’ Linggi dan asal-usulnya.
_________________________________________________________________________
HUBUNG KAIT DIANTARA DATO’ LINGGI DENGAN KESULTANAN JOHOR-RIAU.
Hipotisis yang dibuat adalah bersandarkan alasan-alasan dan keterangan-keterangan yang munasabah.
(Hipotisis bermaksud andaian yang dikemukakan berdasarkan fakta semasa dan digunakan sebagai asas kepada pencarian seterusnya yang mana berkemungkinan benar atau tidak).
Daripada sejarah Kesultanan Johor-Riau yang dinyatakan sebelum ini, terdapat satu peristiwa penting yang berlaku iaitu pada tahun 1761 dimana Tengku Tengah (Tengku/Raja Ahmad) yang ditabalkan menggantikan ayahanda baginda bergelar Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah disingkir dari takhta pada tahun yang sama dan tampuk kesultanan diserahkan kepada adindanya iaitu Tengku (Raja) Mahmud.
Penulis merasakan terdapat persamaan diri diantara Dato’ Ahmad yang membuka Kampung Relong pada tahun 1795 dengan Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah yang disingkirkan daripada takhta Kesultanan Johor-Riau pada tahun 1761 iaitu daripada aspek nama ‘Ahmad’ itu sendiri.
SEJARAH HIDUP TENGKU AHMAD @ PADUKA SRI SULTAN AHMAD I RI’AYAT SHAH
Putera kepada Raja di Baroh iaitu Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah ibni al-marhum Paduka Sri Sultan Sulaiman Badr ul-‘Alam Shah, Sultan Johor dengan Sultanah Tengku Puteh binti Raja Chelak, puteri ke tiga kepada Raja Chelak bin Daeng Rilaga, Yang di Pertuan Muda Riau ke 2 dengan Tengku Mandak binti al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Mu’adzam Shah puteri ke tiga Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Mu’adzam Shah bin Bendahara ‘Abdu’l Majid, Sultan Johor-Riau.
Tengku Tengah telah ditabalkan menjadi Sultan Johor-Riau di Riau pada usia baginda 9 tahun bergelar Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah setelah kemangkatan ayahanda baginda al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah pada 29 Januari 1761.
Oleh kerana terlalu sedih atas kemangakatan Paduka Sri Sultan Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah, bonda baginda Tengku Puteh telah jatuh gering dan mangkat pada 16 Februari 1761 iaitu kurang sebulan selepas kemangkatan Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah dan dimakamkan di Batangan, Riau.
Semasa menjadi Sultan, Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah tinggal bersama Bendahara Tun Hassan di Kampung Bulang. Manakala adinda baginda Tengku Mahmud dipelihara oleh bonda saudara baginda Tengku Hitam di Riau.
Dalam tahun yang sama iaitu 1761 ‘Tuhfat Al-Nafis’ ada menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah jatuh gering seterusnya mangkat di Kampung Bulang dan dimakamkan di Batangan, Riau. Manakala menurut ‘Institusi Bendahara – Permata Yang Hilang’ bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah mangkat akibat termakan racun.
Bagaimana pun Christopher Buyers yang menulis didalam ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’ dan beberapa penulis lain menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah masih hidup selepas disingkirkan sehinggalah sekitar tahun 1770 apabila baginda dikatakan telah menghilangkan diri. Menurut cerita-cerita lisan waris di Kampung Relong yang diperturunkan dari generasi terdahulu menyatakan bahawa yang dimakamkan di Batangan tersebut hanyalah batang pisang dan sebenarnya Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah dilarikan oleh orang suruhan Bendahara Tun Hasan didalam gulungan tikar mengkuang dari Kampung Bulang.
Pada tahun 1770 Bendahara Tun Hassan telah mangkat dan digantikan oleh Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid yang juga dikenali sebagai Bendahara Pahang.
Pada masa inilah Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah menghilangkan diri dimana dipercayai Bendahara Tun Abdul Majid secara senyap-senyap telah menghantar baginda ke satu tempat yang paling terpencil didalam Negeri Pahang iaitu di Kuala Relong.
Disinilah Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah yang menukar nama baginda kepada Dato’ Ahmad (Dato’ Linggi) telah membuka perkampongan pada tahun 1795, iaitu pada usia baginda 43 tahun.
Di sinilah juga baginda mangkat dan dimakamkan dibawah pokok kundang di Kuala Relong sekitar tahun 1812-1815.
Tujuannya untuk berjumpa Dato’ Linggi kerana dalam masa tersebut beliau sedang gering.
Adakah Bendahara berasa tersangat rindu kepada Dato’ Linggi, zuriat Sultan Johor-Riau yang dizalimi yang selama ini dilindungi secara diam-diam? Intan gemala yang disingkirkan oleh Bendahara Tun Hasan dan para pembesar Melayu yang ingin memastikan kekuasaan Negeri ditangan meraka? Atau mungkin Bendahara mahu menatap wajah intan gemala yang sekian lama tidak dilihatnya untuk kali terakhir? Mungkin juga Bendahara ingin menceritakan kebenaran, memohon ampun dan maaf, merafak sembah kepada Sultan yang sebenar (‘the True King’)?.
Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid meninggal dunia pada tahun 1802 tanpa diketahui samada hasrat beliau tercapai atau tidak.
Walau apapun, Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah mengharungi saat-saat yang mencabar didalam penghidupannya, daripada putera raja, menjadi Sultan seketika, disingkir dari takhta kemudian menjadi rakyat biasa, hidup di tempat yang terpencil dan hanya ingin dikenali dengan nama Dato’ Ahmad (Dato’Linggi).
Dato’ Ahmad telah mangkat sekitar tahun 1812-1815 atau lebih mengikut jangka hayat manusia pada masa tersebut iaitu antara 50 – 60 tahun dan dimakamkan dibawah pohon Kundang ditempat yang dikenali sebagai Kuala Relong di Kampong Relong, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.
KESIMPULAN
Terdapat kesinambungan dari aspek tarikh dan tahun peristiwa tersebut berlaku dengan kehadiran Dato’ Linggi di Kampung Relong dan juga dari pengkisahan cerita-cerita lisan yang diperturunkan oleh generasi-genarasi terdahulu.
Terdapat persamaan nama ‘Ahmad’ diantara Dato’ Ahmad (yang lebih dikenali sebagai Dato’ Linggi) dengan Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah.
Perkataan ‘makamnya’ bawah kundang seperti yang tercatit didalam Salasilah Dato’ Linggi juga membawa maksud baginda adalah dari keturunan raja iaitu Kesultanan Johor-Riau sebagaimana cerita-cerita lisan generasi terdahulu. Penulis juga telah membuat beberapa hipotisis dengan alasan-alasan yang bersandarkan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa tersebut.
Hasil daripada hipotisis tersebut penulis membuat kesimpulan bahawa :
Dato’ Ahmad yang dikenali Dato’ Linggi ADALAH Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah ibni al marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdul Jalil V Mu’adzam Shah, Sultan Negeri Johor-Riau dan jajahan takluknya yang ditabalkan dalam tahun 1761.