Archive for August, 2008

Tafsir al-Quran - Kenapa jumlahnya mencecah ribuan?

Tuesday, August 26th, 2008

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

AL-QURAN boleh diletak kan dalam saku dibawa ke mana-mana untuk dibaca, dihayati dan tadabbur, tetapi apabila dilihat kepada tafsir-tafsirnya ada yang menjangkau puluhan jilid dan cukup luas.

Dalam hal ini, Abdul Latif as-Subkhi melalui kitabnya Fi Riyad al-Quran, halaman 132 menjawab : Ini kerana cabang-cabang al-Quran terlalu banyak, sama ada tasyri’ untuk ibadat yang fardu dan sunatnya, haram dan makruh.

Ada bidang sosial dan kemasyarakatan, institusi kekeluargaan, ekonomi, politik, hukum mahkamah, peperangan dan lain-lain.

Semuanya adalah limpahan khazanah yang tidak mampu dikuasai oleh satu akal sahaja. Justeru setiap ulama yang mempunyai kepakaran dalam bidangnya, akan menumpukan lebih kepada bidangnya dan yang lain dengan bidang yang lain.

Antara alasan yang kuat ialah kerana al-Quran bersifat hidup, anjal dan serasi pada semua tempat, keadaan dan masa.

Justeru penemuan-penemuan hakikat baru mungkin wujud, sedangkan zaman dahulu tiada. Antara lain wujudnya mazhab-mazhab fikah mempengaruhi tafsiran mereka mengikut pegangan mazhab.

Oleh kerana itu, al-Quran akan di-tafsirkan dan terus ditafsirkan, tanpa selesai sehingga kiamat menandakan luasnya ilmu Allah dan mukjizat al-Quran itu sendiri.

Melihat kepada tafsiran ulama ayat-ayat al-Quran, terdapat kekhilafan antara mereka. Antara faktor yang menyumbang kepada kekhilafan ini seperti yang dinyatakan oleh Ibn Juzai di dalam kitabnya at-Tashil Li Ulum at-Tanzil 1/9.

1. Ikhtilaf al-Quran.

2. Ikhtilaf wajah I’rab sekalipun qiraat sepakat.

3. Ikhtilaf ahli bahasa pada makna kalimah.

4. Isytirak lafaz antara dua makna atau lebih.

5. Ihtimal umum dan khusus.

6. Ihtimal itlak dan taqyid.

7. Ihtimal hakikat atau majaz.

8. Ihtimal idhmar atau istiqlal.

9. Ihtimal kalimah yang lebih. (Tiada lebih dalam al-Quran mengikut pendapat ulama yang kuat seperti Syeikh as-Sya’rawi.)

10. Ihtimal bahawa hukum itu mansukh atau muhkam.

11. Ikhtilaf riwayat dalam tafsir daripada Nabi s.a.w. dan salaf.

12. Ihtimal menanggung kalam sama ada tertib atau taqdim dan ta’khir.

Kemungkinan ditanya kepada seseorang, Apakah keperluan kepada tafsir? Ini kerana al-Quran kitab yang nyata, mudah difahami?

Al-Qardhawi menjawab antara lain: Manusia amat perlu kepada tafsir al-Quran sehingga kefahamannya betul dan menepati kehendak Allah dan dapat beramal dengan sahih. Justeru Allah menuntut daripada mereka tadabbur al-Quran.

Mengikut as-Suyuti dalam Itqan 4/173, telah ijma’ ulama bahawa belajar ilmu tafsir adalah fardu kifayah dan semulia-mulia ilmu yang tiga, iaitu tafsir, hadis dan fikah. Begitu juga pendapat al-Asbahani.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah ketika ditanya nama-nama kitab tafsir yang paling hampir kepada kitab dan sunah menegaskan, bahawa tafsir Muhammad bin Jarir at-Tabari adalah yang paling tinggi, yang memuatkan segala kenyataan salaf dan sanad-sanad yang thabit tanpa ada unsur-unsur bidaah.

Ibn Jarir juga tidak menaqalkan dalam tafsirnya, orang yang dipertikai kewibawaannya seperti Muqatil bin Bukair dan al-Kalbi.

Tafsir yang tidak ma’thur dengan sanad-sanadnya terlalu banyak, seperti tafsir Abdul Razzak, Abdun bin Humaid, Waki’, Ibn Abi Qutaibah, Ahmad bin Hanbal, Ishak bin Rahuyah.

Antara tafsir yang banyak daripada unsur-unsur bidaah dan hadis-hadis daif ialah Tafsir al-Baghawi tetapi beliau meringkaskannya daripada Tafsir ath-Tha’labi, Tafsir al-Wahidi yang juga murid kepada ath-Tha’labi yang banyak faedahnya.

Adapun Tafsir az-Zamakhsari, terdapat banyak unsur-unsur bidaah dan berasaskan kepada golongan mu’tazilah daripada ingkar sifat, ru’yah dan pendapat al-Quran sebagai makhluk dan lain-lain.

Unsur akidah mereka (al-Mu’tazilah) lima perkara : Tauhid, keadilan, manzilah antara dua kedudukan, melaksanakan ancaman, dan amar makruf serta nahi munkar.

Tafsir al-Qurtubi lebih baik dan selamat daripada bidaah. Perbincangan Tafsir Qurtubi lebih kepada fikah. Tafsir Ibn Atiah pula lebih baik daripada Tafsir az-Zamakhsari dan lebih sahih naqalnya serta jauh daripada terjebak kepada bidaah.

Sebenarnya tafsir terlalu banyak, lebih daripada ratusan, mungkin ribuan tafsir yang masih ditulis daripada ulama-ulama Nusantara sama ada Indonesia, Patani, Singapura dan Malaysia.

Justeru mengkaji banyak tafsir amat penting sehingga Syeikh as-Sobuni mengarang kitab Sofwah at-Tafasir yang dikutip daripada ulama-ulama yang terkemuka.

Dicadangkan tafsiran al-Quran dengan cara mengemukakan ayat dan asbab an-Nuzul serta maksud kalimah dan bahasa yang dikehendaki.

Juga intipati hidayah yang dapat diambil daripada ayat tersebut untuk dihayati, tadabbur amali dan diyakini. Semoga dengan cara ini kita menjejaki para sahabat yang bacaan ayatnya tidak banyak tetapi disertakan sekali dengan kefahaman, penghayatan, amalan dan juga keimanan.

Justeru ia lebih mudah dan menyenangkan daripada membuka medan perbahasan fikah, tauhid, tasawuf, lughah atau lainnya. Tanpa dinafikan semuanya baik dan elok mengikut kepakaran dan kecenderungan ahli tafsir serta pengaruh persekitaran dan guru-guru mereka.

Tafsir - Pelbagai jenis dan syaratnya

Tuesday, August 26th, 2008

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

TAFSIR al-Quran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis: 1. Mengikut masa l Tafsir zaman sahabat. Terdapat sahabat yang mentafsir al-Quran seperti Abu Bakar, Umar, Aisyah dan terutamanya Abdullah Ibn Abbas. Ini kerana berkat doa Rasulullah s.a.w. kepadanya ketika dilahirkan, di samping kesungguhan dan kesabarannya dalam menimba ilmu sehingga dikenali sebagai Turjuman al-Quran, juga dikenali dengan Habr al-Ummah. Katanya Demi Allah, kalau kamu tanyakan makna-makna ayat dalam al-Quran apa maksudnya, di mana diturunkan dan segala maksudnya nescaya aku akan menjawab untukmu.

* Tafsir zaman tabiin seperti Said bin Jubair yang banyak meriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Masud, Ibn Umar, Abu Hurairah dan lain-lain. Dikatakan Abu Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna, perintis pertama dalam pembukuan tafsir yang dinamakan al-Majaz Fi al-Quran al-Karim pada tahun 188H.

* Tafsir zaman selepas Tabi’ at-Tabiin atau golongan kemudian. Seperti Ibn Jarir (310H) dengan tafsirnya Jami’ al-Bayan Fi Tafsir al-Quran, al-Zamakhsyari dengan tafsirnya al-Kasyfu `an Haqaiq al-Tanzil Wa `Uyun al-Aqawil Fi Wujuh al-Ta’wil dan lain-lain.

2. Cara tafsiran

* Tafsir al-Quran dengan al-Quran.

* Tafsir al-Quran dengan hadis, terutamanya yang sahih dan mutawatir.

* Tafsir al-Quran dengan pendapat sahabat.

* Tafsir al-Quran dengan bahasa dan sastera.

3. Sumber tafsiran

* Tafsir dengan ma’thur dikenali juga tafsir riwayat.

* Tafsir dengan ra’yi (akal).

Imam as-Syaukani di dalam tafsirnya Fath al-Qadir (1 / 12) membahagikan dua cara ahli tafsir :

* Terikat dengan riwayat.

* Mengembangkan tafsir kepada aspek bahasa dan ilmu-ilmu alat yang lain.

Ulama sepakat menerima tafsir dengan ma’thur dan beramal. Ibn Kathir berkata dalam mukadimah tafsirnya (1 / 3) - Jika kami tidak mendapati tafsir dalam al-Quran dan juga sunah, kami akan kembali kepada pendapat sahabat kerana mereka lebih mengetahui dengan penyaksian dan hal ehwal mereka ketika turunnya ayat.

Ijtihad

Antara kitab-kitab tafsir mathur : Jami’ al-Bayan - Ibn Jarir at-Tabari, Al-Kashfu Wa al-Bayan - ath-Tha’alabi, Ma’alim at-Tanzil - Abu Muhammad al-Husain bin Masud al-Baghawi, Ad-Durru al-Manthur - Jalaludin as-Suyuti, Tafsir al-Quran al-’Azim - Abu al-Fida’ Ismail Ibn Kathir.

Adapun tafsir ar-Ra’yi yang dibina atas asas akal dan ijtihad para ulama berkhilaf hukum keharusannya. Ada yang menyokongnya dan ada yang mencegahnya. Imam al-Ghazali dan ar-Raghib al-Asfahani menganggap khilaf ini bersifat lafzi bukan hakiki, justeru tidaklah menjadi masalah beramal dengan tafsir ra’yi tetapi disyaratkan dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh ulama. (Lihat Tafsir Bi ar-Ra’yi, Dr. Hamad al-Zaghlul hal 107-115).

Walaupun begitu kalau ditafsirkan al-Quran semata-mata dengan akal, hukumnya haram seperti nas hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas - sabda Rasulullah s.a.w. : Sesiapa yang berkata tentang al-Quran tanpa ilmu, nescaya disediakan tempatnya daripada neraka. Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

Antara tafsir ar-Ra’yi ialah: Madarik at-Tanzil oleh Imam Abdullah bin Ahmad an-Nasafi, Anwar at-Tanzil Wa Asrar at-Ta’wil oleh Al-Baidhawi, Lubab at-Ta’wil oleh Al-Khazin, Ruh al-Ma’ani oleh Al-Alusi, Tafsir al-Kabir atau Mafatih al-Ghaib oleh Al-Fakhr al-Razi.

4. Ada juga ulama membahagikan tafsir mengikut subjek, seperti berikut :

* Tafsir Tahlili.

* Tafsir Al-Mathur.

* Tafsir Alr-Ra’yi.

* Tafsir As-Sufi.

Ibn as-Salah dalam `fatawanya’ menyatakan “Aku dapati daripada Imam Abi al-Hasan al-Wahidi ahli tafsir berkata : Telah mengarang Abu Abdul Rahman as-Sulami - Haqaiq at-Tafsir dan jika dia beriktikad begitu maka hukumnya kafir. Justeru an-Nasafi berkata dalam akaidnya, “Segala nas-nas mengikut zahirnya dan berpaling daripadanya kepada mana-mana yang didakwa oleh ahli batin termasuk dalam ilhad.

At-Taftazani menyatakan, dinamakan Malahidah (golongan mulhid) dengan batiniah kerana dakwaan mereka bahawa segala nas-nas bukan mengikut zahirnya, tetapi mempunyai makna-makna batiniah yang tidak diketahuinya kecuali guru, matlamat mereka menafikan syariah semuanya. Al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani berkata : Adapun ucapan ahli tasawuf tentang al-Quran, ia termasuk dalam isyarat kepada kehalusan-kehalusan yang terdedah kepada golongan ini, dan mungkin dilaksanakan antaranya dan zahir yang dikehendaki, inilah kesempurnaan iman dan sebenar-benar makrifat. Mereka beriktikad bahawa yang zahir bukan kehendak tetapi batin sahaja, sebenarnya termasuk iktikad batiniah yang mulhid membawa kepada menafikan syariah semuanya, jauh sekali daripada tuan guru tasawuf kita terbabit seperti ini. Sedangkan kenyataan mereka : Tidak dapat tidak mesti daripada zahir per-tamanya, sesiapa yang sangka sampai kepada faham rahsia

al-Quran sebelum hukum-hukum tafsir samalah seperti yang mendakwa sampai ke dalam rumah sebelum masuk pintu lagi.

Menafikan

Secara umumnya tafsir sufi dibolehkan dengan syarat-syarat :

* Jangan menafikan bagi zahir al-Quran.

* Mempunyai dalil syarak yang menyokongnya.

* Tidak bertentangan dengan syarak dan akal.

* Jangan mendakwa bahawa yang dikehendaki itu sahaja tanpa yang zahir tetapi mesti mengiktiraf yang zahir seperti dinaskan oleh al-Alusi.

Antara tafsir tasawuf ialah: Tafsir al-Quran al-Azim oleh al-Imam at-Tusturi (383H), Haqaiq at-Tafsir oleh al-Allamah as-Sulami (412H), `Arais al-Bayan Fi Haqaiq al-Quran oleh as-Shirazi (606H), Tafsir Al-Fiqhi, Tafsir Al-Falsafi, Tafsir Al-Ilmi (sains). Era teknologi terkini dengan ciptaan-ciptaan moden serta penemuan-penemuan hukum sains baru, adalah dibolehkan al-Quran dimasukkan dalam bidang ilmu ini bagi menyatakan bahasa sains dan al-Quran tidak bertentangan tetapi seiring.

Mengenai hukum mentafsir al-Quran dengan sains atau sebaliknya, ulama telah khilaf antara yang menyokong dan menentangnya. Antara yang menentang ialah Imam al-Azhar Syeikh Mahmud Syaltut dengan berhujah, ia boleh membawa kepada pemikiran yang tidak dikehendaki oleh al-Quran. Ini kerana Allah tidak menurunkannya bermatlamatkan teori-teori ilmu sains dan perkara-perkara seni. Kerana teori boleh berubah sedangkan al-Quran bersifat thabit dan tetap. Justeru selayaknya ditinggalkan al-Quran sebagai kitab suci dengan keagungannya. Lihat Mukadimah Tafsir Syaltut halaman 11-14.

Pendapat

Sependapat dengan Syeikh Syaltut ialah Syeikh Amin al-Khauli yang menaqalkan pendapat Imam as-Shatibi, inilah juga pendapat Imam Akbar Muhammad Mustafa al-Maraghi, Syeikh al-Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh Abdullah Masud, Syeikh Abu Bakar Zikri dan termasuk juga pengarang Zilal al-Quran as-Shahid Syed Qutb.

Antara yang menyokongnya pula Imam al-Ghazali melalui kitab tafsirnya - Jawahir al-Quran yang dikarang selepas Ihya’, kerana berhujah segala ilmu daripada Allah, mengikuti pendapat ini Ibn Abi al-Fadl al-Mursi yang dinyatakan oleh as-Suyuti dalam Itqan 4 / 27-31.

Pandangan yang rajih

Dengan mengamati hujah-hujah daripada kedua-dua pihak, al-Qardhawi menyeru pa-

ra ulama kepada beberapa perkara :

* Keperluan mengkaji keutamaan ilmu-ilmu ini apabila mencakupi kefahamannya, sudah tentu lebih mudah untuk berkhidmat menjelaskan makna-makna al-Quran.

* Kesedaran golongan pakar dalam ilmu yang tidak disedari oleh golongan lain.

* Mensyaratkan penggunaan sains dalam tafsir seperti kepakaran, tidak menyusahkan, meraikan bahasa al-Quran, menjauhkan daripada tuduhan semua umat jahil dan beberapa syarat lagi.(Lihat Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 379-385).

Mengenai perbezaan mukjizat sains dalam al-Quran dengan tafsir sains, mengikut al-Qardhawi, pada kedua-duanya terdapat perbezaan, iaitu mukjizat sains dalam al-Quran lebih sempit berbanding tafsir sains atau ilmu ini. Justeru itu Rabitah al-’Alami al-Islami menubuhkan satu badan dinamakan Badan Ilmiah Alam Bagi Mukjizat al-Quran. Antara yang terlibat secara langsung seperti Syeikh Abdul Majid az-Zandani, Profesor Dr. Zaghlul an-Najjar dan lain-lain.

Selain tafsir-tafsir yang disebut tadi ada juga Tafsir Al-Adabi, Tafsir Ijmali, Tafsir Muqaran (perbandingan) dan Tafsir Maudhu’i.

Pendirian

Tafsir Maudhu`i ini seperti mengambil satu-satu tajuk untuk dikaji seperti kejadian langit, manusia atau lain-lain. Dr. Muhammad al-Bahi dalam kitabnya Nahwa al-Quran halaman 89 menjelaskan seperti berikut - seperti menjadikan al-Quran dalam perlembagaan masyarakat atau pendirian al-Quran terhadap madiah atau menyelesaikan kehendak surah.

Mengikut Ibn Jarir at-Tabari, dengan sanadnya kepada Ibn Abbas, tafsir terdapat empat bahagian :

* Difahami oleh orang arab.

* Tafsir yang tidak diuzur seorang pun dengan kejahilannya.

* Tafsir yang hanya diketahui ulama.

* Tafsir yang tidak diketahui kecuali Allah. Lihat Mukadimah Tafsir at-Tabari 1 / 75.

Mentafsir al-Quran - Syarat dan adabnya

Tuesday, August 26th, 2008

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ISLAM merupakan agama Ilahi berpandukan kepada wahyu al-Quran. Ia adalah petunjuk hidayah dalam lautannya, tinggi fahamannya, dan tidak sampai kepada kefahamannya kecuali yang benar-benar berkecimpung dalam banyak ilmu.

Di samping itu bermuamalat kepada Allah dengan penuh ketaqwaan dalam keadaan sir dan terang-terangan, terutamanya ketika dalam banyak perkara syubhat, lataif dan hakikat yang tidak difahami kecuali sesiapa yang diberikan kurniaan Allah.

Al-Quran ialah kitab suci Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril, mengandungi 114 surah daripada al-Fatihah hingga al-Nas.

Antara keistimewaan al-Quran ialah merupakan kitab Ilahi yang terpelihara, mukjizat, berisi penerangan dan mudah, kitab agama yang benar semuanya, sepanjang masa dan kitab insaniyah semuanya.

Hal ini telah dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 17-70.

Antara matlamat-matlamat al-Quran al-Karim seperti kata al-Qardhawi :

* Mentashihkan akidah sama ada berkaitan uluhiyyah, risalah dan perbahasan.

* Membenarkan karamah insani dan hak-haknya.

* Mengajar manusia ibadah yang baik kepada Allah.

* Menyeru kepada pembersihan jiwa.

* Pembentukan usrah yang solehah.

* Mengasaskan ummah yang menjadi saksi kepada sekalian manusia.

* Dakwah kepada alam insani yang bersifat tolong menolong.

Sebahagian ulama menyatakan intipati dalam al-Quran ada empat:

* Permasalahan akidah.

* Permasalahan syariah.

* Perbandingan agama dan akhlak.

* Kisah nabi-nabi dan umat dahulu kala.

Tafsir al-Quran atau dikenali juga takwil pada definisi bahasa, membawa maksud penerangan dan pendedahan. Ini pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa seperti pengarang al-Qamus, al-Bahr al-Muhit dan Tha’lab.

Pada istilahnya pula, ia adalah ilmu yang membincangkan bagaimana menyebut dengan lafaz al-Quran, madlulnya, hukum-hukumnya sama ada berbentuk satu atau tersusun dan maknanya.

Al-Suyuti menaqalkan daripada Imam Zarkasyi, definisi tafsir dengan maksud ilmu yang difaham dengannya, kitab Allah yang diturunkan kepada nabi-Nya Muhammad s.a.w. yang menerangkan makna-maknanya dan hukumnya (Lihat al-Itqan 4 / 169).

Ulama berselisih pendapat mengenai perbezaan antara kalimah tafsir dan takwil. Abu Ubaidah berpendapat ia memberi makna yang sama. Al-Gharib pula berpendapat tafsir lebih umum dan luas penggunaannya pada lafaz-lafaz dan mufradatnya dalam kitab-kitab Ilahi.

Al-Maturidi menganggap tafsir adalah memutuskan dengan apa yang dikehendaki Allah. Sedangkan takwil kembali kepada beberapa andaian. (Tarikh ilmi al-Tafsir / Dr. Ali Hasan al-’Aridu).

Rumusan yang dapat dinyatakan bahawa menghimpunkan makna takwil dan tafsir lebih baik daripada memisahkannya. Justeru kedua-duanya memberi makna yang sama seperti pendapat Ibn Jarir.

Para ulama banyak membahaskan syarat-syarat tafsir al-Quran sebelum ditafsirkannya seperti al-Suyuti melalui kitabnya, al-Itqan Fi Ulum al-Quran, Syeikh Ibn Taimiyah dengan Mukadimah Fi Usul al-Tafsir, Ibn al-Qayyim dengan al-Tibyan Fi Aqsam al-Quran, al-Zarkasyi dengan al-Burhan, al-Zurqani dengan Manahil al-Irfan dan ramai lagi ulama.

Syarat syarat mufassir dan adab-adabnya.

* Keikhlasan.

* Iktikad yang sahih.

* Sejahtera daripada amalan dan iktikad bidaah.

* Bertaubat dan sentiasa kembali kepada Allah.

* Sentiasa berwaspada daripada terjebak mengikut hawa nafsu.

* Mempunyai pelbagai ilmu, antaranya, Ilmu lughah seperti kata Mujahid : Tidak halal bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat bercakap tentang kitab Allah jika tidak arif / tahu dengan bahasa Arab.

Antara ilmu bahasa itu :

* Nahu.

* Tasrif atau Sarf.

* Istiqaq sama ada istiqaq besar atau kecil.

* Balaghah iaitu bayan ma’ani dan badi’.

* Usuluddin.

* Usul fiqh.

* Asbab al-Nuzul

- sebab-sebab diturunkan ayat.

* Nasikh dan mansukh.

* Ilmu Fikah.

* Ilmu Hadis

* Ilmu Qiraat.

* Ilmu al-Mauhibah. Al-Zarkasyi dalam al-Burhan berkata: “Ketahuilah bahawa tidak tercapai kefahaman makna wahyu dan nyata segala sir-sirnya sedangkan dalam hatinya terdapat unsur bidaah, takabbur, hawa nafsu, cinta dunia atau yang kekal melakukan maksiat, atau tidak tahqiq iman atau daif tahqiq atau bergantung kepada pendapat mufassir tanpa ilmu atau kembali kepada akalnya. Ini semua adalah hijab / terdinding daripada tafsir.”

* Ilmu Sirah.

* Ilmu Tarikh al-Adyan (agama). Ini terutamanya agama-agama samawi antaranya Yahudi, Masihi dan juga agama lain. Suka ditambah di sini ilmu-ilmu moden seperti mukjizat al-Quran mengikut sains dan lain-lain lagi.

Disyaratkan juga ahli tafsir menjauhkan perkara-perkara ini :

* Tanpa ilmu dan tidak mencukupi syarat-syarat ahli tafsir.

* Membincangkan perkara yang berada di dalam ilmu Allah semata-mata.

* Mengikut hawa nafsu.

* Tafsir ayat-ayat dengan makna yang tidak boleh ditanggungnya.

* Tafsir secara pasti seperti kehendak Allah daripada ayat ini begini-begini.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam Mukadimah Fi Usul al-Tafsir halaman 83, memberi peringatan kepada golongan yang berpaling daripada tafsir al-Sahabat dan al-Tabiin tegasnya, “Sesiapa yang berpaling daripada mazhab-mazhab sahabat dan al-Tabiin, sedangkan tafsir mereka bercanggah daripada yang demikian itu, sebenarnya dia tersilap dan juga ahli bidaah.

Jawapan Balas Kepada Artikel Umur Aisyah (Rujukan: Hujah Ketujuh)

Wednesday, August 13th, 2008

Oleh Abu Umair AAN

” HUJAH KETUJUH – AISHAH R.A MASIH INGAT AYAT AL-QURAN YANG DITURUNKAN DI TAHUN EMPAT KERASULAN

Mungkin hujah ini dijawab begini:

PERTAMA:
secara kasarnya, melalui kajian dan istiqra’ para ulama, surah-surah al-Quran, tidak diturunkan secara sekali gus. Jadi kalaulah permulaan surah al-Qamar diturunkan pada tahun keempat kenabian, maka tidak semestinya ayat ke-46 surah al-Qamar juga diturunkan pada tahun keempat kenabian.
Dan sememangnya kita dapati terlalu banyak surah2 dalam al-Quran, yg diturunkan sedikit2 memakan masa bertahun-tahun.

KEDUA:
Secara perincian, sememangnya TIDAK SYAK bahawa ayat ke 46 surah al-Qamar diturunkan LEBIH LEWAT daripada ayat pertama yg turun pada tahun ke-4.
Dalilnya: Ayat ke-45 surah tersebut, diturunkan lebih kurang pada tahun ke-8 kenabian. berdalilkan kata-kata Ibn Abbas r.a. “Antara ayat ini (ayat 45) dan peperangan Badar adalah 7 tahun”.
Jika dicampur tolak, maka didapati ia turun sekitar tahun 8 atau 9 kenabian.

itu ayat 45. Bagaimana ayat 46??? Di mana berkemungkinan ia turun lebih lewat daripada ayat 45. Kalaulah diANDAIkan, ayat 46 turun sekaligus dengan ayat 45, maka sekurang2nya sewaktu turun ayat itu Aisyah r.a. berumur dalam lingkungan 4 tahun atau lebih. (Kerana Aisyah dilahirkan 4 tahun selepas kenabian).
Bagi masyarakat yg negara dan lidahnya adalah ARAB, tidak mustahil kanak2 seumur 4 tahun telah memahami dan boleh menghafal beberapa ayat yg diturunkan.
Apatah lagi bagi kanak2 seperti Aisyah r.a. yg bakal menjadi wanita terbanyak menghafal hadis Rasulullah SAW.

Wallahu A’lam.

SUNGGUH KELIRU ORANG YANG MENUNGGU TERCIPTANYA SEBUAH MASYARAKAT YANG BERSIH DARI MAKSIAT

Sunday, August 10th, 2008

SUNGGUH KELIRU ORANG YANG MENUNGGU TERCIPTANYA SEBUAH MASYARAKAT YANG BERSIH DARI MAKSIAT

Oleh
Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan.

Pertanyaan.
Fadhilatus Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan ditanya : Bolehkah menggunakan istilah jahiliyah bagi masyarakat Islam sekarang ini, mengingat pelanggaran-pelanggaran syari’at yang terjadi di dalamnya, terlebih masyarakat tersebut tidak berhukum dengan hukum Alllah ?

Jawaban.
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan istri-istri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang juga merupakan perintah kepada segenap wanita muslimah :

“Artinya : …dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu” [Al-Ahzab : 33]

Telah dimaklumi bersama bahwa jahiliyah yang terdahulu telah mecapai titik klimaks dalam melanggar perintah Allah, seperti syirik, khurafat, bid’ah dan kesesatan yang membuat orang menertawakan dirinya sendiri saking jelek dan hinanya perbuatan yang dilakukannya.

Masyarakat Islam yang ditegakkan di dalamnya ibadah shalat dan hukum-hukum Allah, ditegakkan di dalamnya amar ma’ruf nahi mungkar tidak boleh dijuluki sebagai masyarakat jahiliyah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah memperingatkan kita dari adat-adat jahiliyah, beliau bersabda.

“Artinya : Empat perkara jahiliyah yang masih dilakukan umatku : Berbangga-bangga dengan kebesaran leluhur, mencela keturunan, menisbatkan turunnya hujan kepada bintang-bintang dan mendatangi dukun”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan bahwa keempat perkara tersebut termasuk jahiliyah. Namun beliau tidak mensifatkan umat ini sebagai umat jahiliyah secara umum. Ditengah masyarakat mungkin saja terjadi perkara-perkara jahiliyah. Namun sangat keliru jika mensifati umat ini sebagai umat jahiliyah jauh dari Islam ! Hal itu merupakan perbuatan yang tidak menempatkan sesuatu pada tempatnya dan termasuk melampui batas syar’i. Adapun masyarakat yang telah sirna dan hilang syiar-syiar Islam di dalamnya dan tampak nyata syiar-syiar kufur, syirik, ilhad dan paganisme, maka tidaklah berlebihan jika dikatakan sebagai masyarakat jahiliyah.

Disalin dari kitab Muraja’att fi fiqhil waqi’ as-sunnah wal fikri ‘ala dhauil kitabi wa sunnah, edisi Indonesia Koreksi Total Masalah Politik & Pemikiran Dalam Perspektif Al-Qur’an & As-Sunnah, hal 24-38 Terbitan Darul Haq, penerjemah Abu Ihsan Al-Atsari]

Asal Hukum Bagi Ibadat

Sunday, August 10th, 2008

by Abd Rasyid Idris (Presiden Institut Al-Qayyim)

Tulisan ini adalah himpunan perkataan para ulama berhubung konsep ibadat di dalam Islam.

Ia merupakan jawapan terhadap kekeliruan segelintir manusia yang tidak dapat membezakan antara kaedah syarak dalam mu’amalat dengan kaedah syarak dalam ibadat.

Kesan daripada kekeliruan ini sungguh besar kerana ia antara faktor penyebab berlakunya rekaan dan tokok tambah di dalam amalan agama. Ia menyebabkan sering kedengaran ungkapan-ungkapan seperti :apa salahnya ?,tak ada dalil pun yang melarang ! ,tak apa kalau kita buat ibadat banyak-banyak, nanti di akhirat Allah pilihlah ! Mana yang betul Allah terima dan mana yang salah Allah tolak dan sebagainya.

Jika yang melaungkan atau memperjuangkan perkara ini terdiri daripada golongan juhhal (jahil agama), mungkin mudah untuk di atasi.

Tetapi malangnya, golongan yang mencanangkan perkara ini terdiri dari individu-individu yang bertitlekan lulusan agama atau menjawat jawatan yang dipandang tinggi oleh masyarakat di sudut agama.

Hasilnya, masyarakat yang jahil ini akan menyandarkan bulat-bulat amalan dan kepercayaan mereka kepada apa yang dinyatakan oleh ulama mereka. Mereka menyangka dengan menyandarkan amalan kepada para ulama sudah menjamin kesahihannya tanpa perlu lagi mengetahui dalil dan sandarannya.

Mereka seakan-akan menyangka bahawa para ulama boleh sewenang-wenangnya menyatakan apa sahaja tentang agama. Mereka ini tidak mengetahui betapa para ulama muktabar membenci tokok tambah agama.

Justeru melalui kaedah yang disebutkan ini jelas menegaskan pendirian para ulama berhubung tindakan segelintir manusia yang sesuka hati menokok tambah dalam ibadat. Ternyata mereka tegas menolak rekaan dan inovasi dalam perkara yang telah ditetapkan oleh syariat.

Perkataan Ulama

Berikut adalah nukilan perkataan para ulama tentang kaedah melaksanakan ibadah di dalam Islam.

1- Perkataan al-Imam as-Subki seperti yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani as-Syafi’ie:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)”.(Fath al-Bari: 4/174)

2- Kata pengarang Nihayah al-Muhtaj dalam mazhab As-Syafi’ie:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah jika ia tidak dituntut, ia tidak berlaku”. (Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj:3/109)

3- Kata al-Bujairami as-Syafi‘ie menukilkan perkataan as-Syaubari:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah jika tidak dituntut, adalah terbatal”. (Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib: 3/497)

4- Kata Muhammad Bin Yusuf Bin Isa Atfisy al-Ibadi:

Terjemahan: “ Bahawasanya asal hukum di dalam ibadat adalah tidak membawa kepada wajib melainkan dengan adanya dalil”. (Syarh al-Nayl wa Syifa’ al-‘Alil: 7/211)

5- Kata as-Syeikh Muhammad Bin Muhammad:

Terjemahan: “Asal hukum dalam perkara bermanafaat ialah mubah (harus) manakal dalam perkara mudarat ialah haram. Maka berkata ramai ulama antaranya al-Imam al-Isnawi: dan ini hanya berlaku selepas disyariatkan dengan dalil-dalil syar‘ie, sedangkan sebelum warid (ada dalil), maka pilihan para ulama ialah waqf (berhenti pada dalil)”. (Al-Taqrir wa al-Tahbir: 3/198)

6- Kata pengarang kitab Syarah al-Bahjah al-Wardiyyah dalam Fiqh Syafi‘ie:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah tawqif (bersandarkan kepada dalil)”. (Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah: 4/150)

7- Kata as-Syeikh Abd. Rahman as-Sa‘di:

Terjemahan: “Asal hukum dalam ibadat adalah dilarang; maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya, manakala asal hukum di dalam muamalat dan kepenggunaan seluruhnya adalah harus; maka tidak diharamkan melainkan apa yang diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya”. (Taisir al-Latif al-Mannan fi Khulasah Tafsir al-Ahkam : 1/299)

8- Kata as-Syeikh Abd. Rahman Bin Muhammad al-Hanbali:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah apa yang disyariatkan. Dan setiap bid‘ah adalah kesesatan, inilah makna penyaksian bahwasanya Muhammad adalah rasul Allah”. (Hasyiah al-Usul al-Thalathah: 1/91)

9- Kata as-Syeikh Said Bin Ali al-Qahtani:

Terjemahan: “Asal hukum di dalam semua perkara adalah harus; kerana Allah telah mencipta bagi hamba-Nya semua benda di atas muka bumi untuk mereka manfaatkannya, melainkan apa yang diharamkan oleh-Nya S.W.T. Asal hukum di dalam ibadat adalah dilarang dan bersandarkan dalil melainkan apa yang thabit di dalam syarak ia disyariatkan oleh Allah ‘azza wa jalla atau dari rasulullah S.A.W” (Fiqh al-Da‘wah fi Sahih al-Imam al-Bukhari: 4/195)

10- Perkataan Ibn Qayyim al-Jawziyyah:

Terjemahan: ““Asal hukum di dalam ibadat adalah batal melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya”. (Ahkam Ahli al-Dhimmah: 1/121)

11- Perkataan Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah:

Terjemahan: “Maka dengan membanci usul syariah, kita mengetahui bahawa ibadat-ibadat yang diwajibkan oleh Allah atau yang disukai oleh Allah tidak thabit (kewujudannya) melainkan dengan dalil syarak. Adapun adat, adalah kebiasaan manusia tentang dunia mereka daripada apa yang diperlukan oleh mereka, dan asal hukum di dalam hal ini adalah tidak dilarang, oleh itu tidak dilarang melainkan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Demikian itu kerana perintah dan larangan adalah syariat Allah dan ibadat tidak boleh tidak mestilah sesuatu yang diperintahkan, maka apa-apa yang tidak thabit bahawa ia diperintahkan bagaimana hendak dihukum bahawa ia adalah ibadah? Begitu juga sesuatu yang tidak thabit di dalam ibadat bahawa ia dilarang, bagaimana boleh dihukum bahawa ia dilarang?

Oleh demikian, Ahmad (Bin Hanbal) dan selain beliau dari kalangan Fuqaha’ ahli hadith berkata: Sesungguhnya asal hukum di dalam ibadat adalah tawqif (berdasarkan dalil), maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah Taala”.

(Majmu‘ Fatawi Ibn Taymiyyah: 6/452)

Sebenarnya banyak lagi perkataan yang boleh dinukilkan di sini, tetapi cukuplah dengan beberapa nama yang tertera bagi membuktikan bahawa kaedah yang sebenar dalam pengabdian sebenar kepada Allah ialah berdasarkan kepada dalil, bukan akal fikiran jauh sekali hawa nafsu atau agak-agak. Asas bagi kaedah yang dikemukakan ialah firman Allah S.W.T di dalam ayat 21 Surah as-Syura:

Terjemahan: “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Berkata al-Hafiz Ibn Kathir dalam menghuraikan ayat tersebut:

Terjemahan: “…mereka tidak mengikut apa yang disyariatkan oleh Allah kepadamu (Muhammad) daripada agama yang lurus. Sebaliknya mereka mengikut apa yang disyariatkan untuk mereka oleh para syaitan mereka dari kalangan jin dan manusia,….. daripada kesesatan dan kejahilan yang batil yang mereka ada-adakan dalam Jahiliyyah mereka, dalam bentuk menghalal dan mengharam, ibadat-ibadat yang batil (palsu) dan perkataan-perkataan yang rosak”.
(Tafsir Ibn Kathir: 7/198)

Berkata pula Ibn Rajab al-Hanbali:

Terjemahan:

Amalan terbahagi kepada dua: ibadat dan muamalat. Adapun ibadat, apa-apa sahaja daripadanya yang keluar dari arahan Allah dan rasul-Nya secara seluruhnya, maka ia tertolak kepada pelakunya. Pelakunya termasuk di dalam maksud ayat :

Oleh itu barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu amalan yang tidak dijadikan oleh Allah dan rasul-Nya sebagai ibadat, maka amalan itu adalah batil dan tertolak kembali kepadanya. Ini sama seperti orang-orang yang solat di al-Bait (Masjidil Haram) secara bersiul-siul dan bertepuk tangan……

sesungguhnya Nabi S.A.W telah melihat seorang lelaki yang berdiri di bawah panas mentari, lalu baginda bertanya tentangnya, dijawab kepada baginda: sesungguhnya dia (lelaki itu) bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh dan berpuasa. Nabi S.A.W mengarahkan dia supaya duduk dan berteduh, juga mengarahkannya meneruskan puasanya (H.R al-Bukhari, Abu Daud dan lain-lain).

Maka Rasul tidak menjadikan perbuatan berdiri dan berpanas di bawah matahari itu sebagai suatu qurbah (perbuatan mendekatkan diri kepada Allah) yang perlu dipenuhi lantaran nazarnya.

(Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam: 7/3)

Perhatikan pengajaran daripada perkataan Ibn Kathir dan Ibn Rajab:

1- Allah mencela orang-orang yang mengikut kesesatan dan kejahilan yang batil yang dianjurkan oleh para syaitan dari kalangan jin dan manusia.

2- Bukankah rasulullah telah menyatakan bahawa bid‘ah adalah kesesatan?

3- Bukankah sesuatu itu patut digelar kejahilan yang merosakkan apabila suatu kepercayaan atau pendapat atau amalan dipegang tanpa bersandar kepada dalil dan hujah?

4- Suatu amalan itu hanya diketahui ia adalah ibadat dengan nas daripada syarak, lalu apabila ia bukan daripadanya seakan-akan bermaksud membuat syariat sendiri? Siapa yang akan memberi pahala?

5- Rasulullah mengiktiraf puasa yang dilakukan oleh sahabat tersebut tetapi baginda menolak cara ibadat itu dilakukan. Ini sama seperti amalan berdoa, berzikir dan sebagainya, ia diterima syarak apabila menepati ajaran nabi, tetapi ditolak apabila caranya tidak diajarkan oleh baginda.

Wallahu a‘lam

see: http://rasyid-iq.blogspot.com/2008/05/asal-hukum-bagi-ibadat.html