4 Golongan di Akhirat

January 21st, 2009 by belalangtua

Pembahagian manusia di sisi Allah subhanahuwata`la di akhirat kelak terbahagi kepada empat golongan;

1) As-saabiqu bi al-Khairat.(yang mendahului dalam melakukan kebaikan) Mereka ialah golongan yang sangat dekat dengan Allah,merekalah ahli Ihsan (yang suka berbuat kebaikan dan memperbaiki kerosakan),merekalah golongan yang tertinggi sekali kedudukan(maqam,thabaqat) di sisi Allah(selepas para nabi dan rasul), mereka menunaikan semua perkara-perkara fardhu(wajib) dan meninggalkan perkara-perkara haram Mereka sangat gemar melakukan amalan-amalan mustahab(sunnah) dan ibadah-ibadah yang dituntut,mereka meninggalkan perkara-perkara yang haram,al-makruhaat(perkara yang dibenci) dan al-musytabihaat daripada perkara yang diharuskan kerana takut terjebak ke dalam larangan Allah.

2) Al-muqtasid ( pertengahan) Golongan ini ialah golongan kanan, mereka adalah golongan al-abrar(yang suka berbuat kebaikan), mereka menjaga batasan-batasan yang telah Allah tetapkan, dan beristiqamah di atas agama Allah tetapi mereka tidak melakukan amalan-amalan mustahab, nawafil seperi golongan pertama.Mereka melakukan sebahagian al-makruhaat(perkara yang dibenci), dan al-musytabihaat daripada perkara yang diharuskan.Maka kedua-dua golongan yang terawal ini kesemua mereka merupakan ahli syurga dan diantara yang terawal memasukinya dan mereka tidak masuk dalam neraka.

 3) Az-zholimu li nafsih golongan yang menzalimi diri sendiri Golongan ketiga ini merupakan mereka yang menzalimi diri mereka sendiri, mereka ialah orang-orang yang beriman yang meninggalkan sebahagian kewajiban atau melakukan sebahagian perkara-perkara yang haram, kesemua mereka ialah orang yang beriman dan ahli syurga secara umumnya, tetapi mereka berada dalam keadaan yang merbahaya yang boleh memasukkan diri mereka ke neraka disebabkan menzalimi diri mereka sendiri dengan perbuatan maksiat.Dan status mereka berada di atas mashiiah (kehendak)Allah dan termasuk dalam firman Allah:

 وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

dan Dia(Allah) mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya.[an-Nisa`[4]:48]

Jika mereka diampunkan oleh Allah maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga ataupun mereka akan diazab dahulu dalam neraka kemudian dikeluarkan daripadanya dan dimasukkan ke dalam syurga melalui syafaat dari pemberi-pemberi syafaat ataupun hanya dengan rahmat Allah subhanahuwata`la.

 4) Al-kaafir.Golongan yang kafir Golongan yang keempat inilah golongan ashabul mashamah dan merekalah golongan kiri,mereka terdiri daripada orang-orang kafir, pendusta-pendusta agama, dari kalangan yahudi, nasrani, majusi , munafiqin, musyrikin ,wathaniyyin( penyembah berhala), kesemua mereka akan masuk neraka dan mereka dihumban kedalam neraka selama-lamanya.Moga Allah menyelamatkan kita dari termasuk dari golongan ini. Maka tiga golongan yang terawal kesemua mereka merupakan ahli iman, merekalah golongan yang Allah wariskan kepada mereka al-kitab(al-Quran) dan merekalah golongan yang dipilih oleh Allah dari kalangan hamba-hambaNya sepertimana firman Allah ta`ala :

 ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang amat besar.

 [al-Faathir[35]:32]

Allah subhanahuwata`ala menyebut dua golongan yang terawal-golongan -As-saabiqu bi al-Khairat (yang mendahului dalam melakukan kebaikan) dan golongan Al-muqtasid ( pertengahan)- dalam awal ayat dari surah al-Waaqi`ah manakala pada akhir surah ini Allah menyebutkan golongan yang kafir: Firman Allah ta`ala :

 وَكُنْتُمْ أَزْوَاجًا ثَلَاثَةً

dan kamu menjadi tiga golongan.

فَأَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ

iaitu golongan kanan.Alangkah mulianya golongan kanan itu.

وَأَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ

Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu.

 وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ () أُولَئِكَ الْمُقَرَّبُونَ

Dan orang-orang yang paling dahulu beriman , merekalah yang paling dulu (masuk surga). Mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah).

وَأَمَّا إِنْ كَانَ مِنَ الْمُكَذِّبِينَ الضَّالِّينَ فَنُزُلٌ مِنْ حَمِيم وَتَصْلِيَةُ جَحِيمٍ

Dan adapun jika dia termasuk golongan orang yang mendustakan lagi sesat, maka dia mendapat hidangan air yang mendidih, dan dibakar di dalam neraka.

Marilah kita merenung dan melihat diri kita berada di dalam golongan yang mana?

 

 

 

Diterjemah dan disusun oleh: Abu Ayyub

 dari artikel Syeikh `Abdul `Aziz ar-Rajhi

sumber:   http://www.sahab.net/home/index.php?threads_id=118

Muslim Jangan Malas

January 19th, 2009 by belalangtua

Hukum Tanpa Syarat

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Apa hukum demonstrasi, ustaz?

Apa hukum sambutan hari jadi?

Apa hukum forex tanpa leverage?

Apa hukum jual barang ini?

Bolehkah kita makan ayam Mcdonald dan KFC?

Saya nak jama’ solat kerana tersekat jem di jalan raya, boleh ke?

Bagaimana kalau saya solat fardhu dalam kereta sahaja kerana di United Kingdom ni mungkin bahaya solat kat tempat awam, nanti depa tuduh terrorist?

Boleh kan jika saya tayammum guna batu?

Saya masih pelajar tapi saya mesti berdakwah, wajibkah ?

Saya masih di tahun ketiga universiti tetapi nak berkahwin, ok ke nak kahwin semasa belajar?

Ustaz, saya nak berpoligami dan ada kemampuan, kira ok le kan ustaz?

Saya nak pergi haji walaupun ada hutang, boleh tak?

Saya terpaksa berkongsi rumah dengan pelajar wanita di sini kerana kos hidup di Uk terlalu tinggi, ia darurat, boleh betul tak ustaz?

Menyertai skim perniagaan MLM boleh tak ?

Imam Ghazali kata semua alat muzik boleh main, so saya nak masuk kelas gitar boleh kan ustaz?

Dan seribu satu macam soalan lagi yang diajukan..

PERSOALAN & PUNCA

Bagaimana sebenarnya jawapan yang penyoal ingin dengar dan apa sebenar kandungan jawapan yang ingin pemberi jawapan beri faham, ia seringkali tersasar.

Salah siapa? Penyoal yang hanya memikirkan jawapan yang ingin didengari atau pemberi yang kurang cekap dan berhati-hati?

Lebih elok tidak menuding jari namun perlu mencari beberapa punca kefahaman jawapan tersasar.

Dari senarai panjang sebab musababnya, ada yang timbul dari pemberi jawapan dan ada yang datang dari penyoal. Namun bagi tidak menulis panjang lebar, ingin saya pilih SATU sahaja sebab dan diulas secara ringkas

MASALAH DARI PENYOAL

Satu trend kurang sihat yang saya kerap lihat sejak dahulu hingga sekarang adalah desakan dan keinginan penyoal kepada jawapan ringkas dan mudah seperti :-

Jawapan kepada soalan saudara adalah hukumnya : Haram dan full stop!.

Atau Harus dan full stop!.

Atau sunat dan full stop!.

Atau Wajib dan full stop!.

Atau Makruh dan full stop!.

Sedangkan, soalan yang diberikan mungkin bersifat umum, tidak jelas, ayat tergantung dan pelbagai lagi. Justeru, sekiranya soalan yang diutarakan tidak termasuk dalam kategori umum, masih timbul masalah iaitu CARA BERFIKIR dan MINDA penyoal semasa membaca dan menerima jawapan.

Saya dan beberapa rakan yang kerap membantu merungkaikan permasalahan agama dari orang ramai sentiasa BERUSAHA memberikan sesuatu yang baru kepada minda umat Islam serta memberi jawapan yang spesifik sesuai dengan keadaan dan latarbelakang soalan. Kami cuba mengelak dari memberi jawapan ringkas tanpa huraian dan syarat.

Huraian dan pemberitahuan berkenaan syarat-syarat bagi sesuatu hukum amat penting agar kefahaman penyoal jelas bukan setakat kepada soalan yang ditanya sahaja, tetapi melangkaui pelbagai persoalan lain dalam situasi yang berbeza. Ia penting bagi menambah kemampuan masyarakat untuk mengerti status hukum di masa akan datang tanpa perlu merujuk semula kepada pemberi jawapan.

Bagi mencapai objektif ini, sudah tentu kami ingin mulakan dari  individu yang masih punyai keinginan untuk bertanya pandangan Islam dalam kehidupannya. Iaitu mereka yang masih yakin dengan halal dan haram, dosa dan pahala.

Kami akui, sebahagian besar dari kumpulan yang punyai benih iman ini punyai minda yang lebih cenderung inginkan jawapan ringkas seperti salah satu dari lima hukum yang disebut di atas.

Minda sebegini perlu diubah, ini minda yang sefesyen dengan minda ingin cepat kaya, cepat faham, cepat lulus, cepat segala-galanya. Ia bukan dari kaedah tepat dalam memahami dan mempelajari ilmu. Ia lebih mudah membawa kesilapan faham.

SYARAT DILUPAKAN

Jawapan dari ilmuan Syariah yang baik BIASANYA akan disertai dengan ulasan dan syarat-syaratnya. Perlu diingat hukum dengan mudah boleh berubah apabila sesuatu syarat tidak dipenuhi atau situasi berbeza.

Hampir semua suruhan dan larangan dalam Islam mempunyai syaratnya. Ia fenomena lumrah dalam hukum hakam agama. Maka tidak lengkap pengajian tanpa mempelajari dan meneliti syarat. Sesuatu perbuatan baik seperti solat mungkin sahaja ditolak tanpa ditunaikan syaratnya.

Firman Allah berkenaan arahanNya kepada Nabi Adam a.s :

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلاَ مِنْهَا رَغَداً حَيْثُ شِئْتُمَا وَلاَ تَقْرَبَا هَـذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الْظَّالِمِينَ

Erti : Dan Kami berfirman: “”Hai Adam diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim ( Al-Baqarah : 35 )

Lihat, kebenaran yang diberikan oleh Allah untuk menginap di Syurga, namun masih ada syarat dan larangannya. Tanpa penelitian kepadanya,  akan jatuhlah dalam larangan.

Juga sabdaan Nabi s.a.w :-

صلّوا كَمَا رَأيْتُمُوني أصَلّى

Ertinya : Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku menunaikan solat” (Riwayat Al-Bukhari)

Perkataan ‘sebagaimana kamu melihat aku solat’ adalah syarat dan tuntutan untuk setiap individu Muslim mempelajari dengan hampir hadis-hadis berkenaan cara Nabi solat, jika tidak mampu fahami secara terus, melalui fatwa ulama Syafie atau lainnya. [1]

Apa yang penting, kalau solat secara semborono tanpa ilmu, tanpa fahami syarat dan tuntutannya. Ia bukanlah solat seperti yang didirikan oleh baginda Nabi s.a.w dan diarahkannya.

NAMA TANPA ISI

Satu kontrak halal dalam perniagaan seperti jual beli secara Al-Murabahah boleh dengan mudah menjadiMurabahah yang HARAM apabila syaratnya dilanggari.

Demikian juga kontrak pelaburan Islam seperti Mudarabah yang cukup popular, kerap kali disalahgunakan kerana penganjur dan pelaburnya tidak membaca syarat sah bagi kontrak Mudarabah.

Akhirnya tinggal nama tanpa ruh.

Demikian orang Islam tanpa meneliti syarat sebagai seorang Muslim, mereka hanya akan menjadi beban kepada Islam. Merosakkan imej Islam di mata penganut agama lain. Mengapa?! Kerana tidak meneliti dan memahami syarat seorang Muslim.

Namun masalahnya, senarai syarat ini kerap kali dilupakan, ditinggalkan dan tidak diendahkan, sehingga seseorang boleh beramal dengan salah kerana tidak meneliliti syarat dalam jawapan yang diberikan.

Fatwa hebat dari dua tokoh ilmuan seperti Imam Abu Hamid Al-Ghazali dan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi berkenaan muzik turut menjadi mangsa salah faham dan sikap malas pembaca syarat bagi hukum.

Benar, memang benar kedua-dua  mereka memberi fatwa harusan mengunakan alatan muzik dari jenis apa pun. Namun terlalu ramai yang membaca fatwa dan pandangan ini mengutip 10 % dari fatwanya lalu meinggalkan bakinya. Mereka hanya mengambil hukum HARUS, tanpa membaca dengan teliti BILAKAH YANG DIKATAKAN HARUS ITU, dan bila pula ia bertukar menjadi HARAM.

Malangnya, dengan kelemahan itu, mereka mengambil dan menyebarkan fatwa HUKUM HARUS MUZIK, sambil melupakan bahwa kedua-dua tokoh tadi meletakkan syarat-syarat yang mesti diambil kira bagi sesiapa sahaja yang ingin beramal dengan fatwa mereka.

Tanpa melihat syarat, seseorang sebenarnya telah salah dalam pengambil fatwa kedua tokoh terbabit, lebih salah lagi apabila menyebarkannya.

Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ni. Ramai yang ingin fatwa mee segera dan melupakan syarat. Mereka hanya ingin baca apa yang mereka INGIN baca bukan fahami apa yang pemberi jawapan inginkan mereka FAHAM.

Baru-baru ini, saya menulis pandangan berkenaan hukum membeli dan menjual melalui web ebay. Kesimpulan harus dengan syarat-syarat. Namun pastinya sudah ada yang mula menyatakan harus dengan melupakan syarat.

Saya nyatakan system perniagaan yang diamalkan oleh Jainetwork sebahagiannya mengikuti kaedah bai inah, namun begitu syarat-syaratnya dan perkara lain yang perlu diambil perhataina adalah…panjang huraian saya. Tiba-tiba diwarwarkan saya mengatakan Jainetwork halal dan full stop.!

Demikian juga bagi mereka yang membaca hukum Onani yang difatwakan oleh Syeikh Al-Qaradhawi, tetapi melupakan syarat-syaratnya.

Yang sama dalam hal MLM, apabila saya katakan syubhat atau haram, mereka lupakan bahawa saya sertakan beberapa sebab dan bentuk yang menyebabkan ia jatuh haram atau syubhat. Dipukul rata semuanya haram  dan disandarkan kepda nama saya. Demikian juga halnya dalam isu Forex dan halnya hokum solat dalam kenderaan, jama’ solat bukan kerana musafir, makan makanan ahli kitab dan macam-macam lagi.

MAKIN ROSAK

Habis..akibatnya ramai yang sesuka hati menceduk fatwa dan pandangan ilmuan separuh-separuh. Mereka menyangka mereka telah menjadi baik tetapi kejahilan akhirnya menyebabkan lebih banyak kerosakan.

Apabila fenomena ini berkembang, ia menjangkiti ilmuan Syariah yang baru terjun dalam bidang konsultasi hukum kepada orang awam dan juga generasi veteran yang sudah lama. Akibat kecenderungan awam yang ingin ringkas dan pendek. Jawapan hukum turut menjadi pendek dan ringkas, kononnya memudahkan, tetapi hakikatnya mengelirukan dan menjauhi proses pendidikan sebenar.

Ilmuan menjadi semakin malas, hingga fatwa turut malas dibuat huraian, lebih malas untuk digariskan syarat-syarat itu ini. Kononnya agar tidak mengelirukan orang awam dan memeningkan mereka.

Ye, ia mungkin boleh memberikan kemudahan jangka pendek tapi kemudaratan jangka panjang!.

Buku hukum dan fatwa pun jadi pendek dan ringkas, tanpa syarat, tanya satu baris, jawapan pun satu baris..memudahkan bukan?. Tidak semua yang pendek dan ringkas itu mudah, ia pasti membawa pelbagai takwilan dan tafsiran sendiri oleh pembaca.

Ilmuan tidak wajar terikut dengan kehendak orang ramai, sepatutnya mereka yang mencorakkan pemikiran orang ramai agar lebih rajin dan teliti. Bayangkan betapa telitinya Imam Syafie, Imam Abu Hamid Ghazzali, Imam Nawawi dan ramai lagi dengan buku mereka berpuluh malah beratus jilid. Ilmuan berlumba-lumba mengarang kitab yang terperinci dan ada pula yang ringkas tapi padat dengan syarat dan nasnya. Skill penulisan dan pemilihan syarat dan nas serta persembahan adalah ditagih.

ISLAM AJAK KITA TELITI DAN RAJIN

Allah s.w.t berfirman :-

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ

Ertinya : “Ketahuilah (pelajarilah dengan ilmu jelas), sesungguhnya Tiada Tuhan Melainkan Allah dan kemudian pintalah ampun bagi dosamu, dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu” (Muhammad : 19 )

Ini satu nilai yang mesti kita faham, bagi sesiapa jua yang ingin melaksanakan Islam dalam dirinya dengan berkesan, mereka tidak boleh malas membaca dan berfikir dan seterusnya menghayati.

Saya bimbang jika trend ambil ringkas, pukul rata ini digunakan..akhirnya umat Islam akan semakin lembik, lembap dan hanya memberikan penelitian dalam hal keduniaan, penelitian dalam hal akhirat dianggap membebankan lalu ditinggalkan. Lebih teruk apabila dalam kedua-duanya tidak teliti.

Selain itu ia juga boleh mencetuskan salah faham antara satu ilmuan A dengan ilmuan B atau C, D dan lainnya. Salah faham akibat, seorang atau sekumpulan awam menyampaikan kepada ilmuan B,C dan D, bahawa ilmaun A berkata hukum ini halal, itu haram, dan meninggalkan huraian dan syarat-syaratnya. Ilmuan B,C dan D pula merasakan sebaliknya, lalu tanpa fikir panjang akan dicemuh ilmuan A dengan kata-kata nista dan penghinaan. Orang awam terus keliru  atau menjadi berpecah dan menyampaikan cemuhan dari seorang ke seorang yang lain, akhirnya ilmuan bertempur sesama sendiri akibat miscommunicationantara sesama mereka.

Saya kerap membaca dan melihat pertempuran antara beberapa individu berkenaan hukum Islam sedangkan sebenarnya mereka sama  pendapat, Cuma akibat keegoan masing-masing serta tidak ingin merujuk kepada sumber asal dan tidak membaca dengan hati bersih dari sangka buruk, mereka bertempur hingga pastinya digoda Syaitan untuk menunjuk “aku lebih alim”, bukan untuk mencari kebenaran.

Antara puncanya, tidak membaca syarat-syarat yang diletakkan oleh masing-masing, sehingga A bercakap berkenaan ‘Tasek’, ilmuan B bercakap tentang ‘Sungai’. Kedua-dua mereka menyangka sedang berdebat berkenaan topik masing-masing, ia mungkin berpunca akibat pembaca yang malas merujuk kepada syarat dan huraian.

AKHIRNYA

Saya menyeru diri saya dan rakan-rakan pendakwah yang berkecimpung dalam bidang memberi nasihat dan jawapan dalam hal ehwal agama kepada masyarakat untuk mengasah skill memberi jawapan.

Saya menyeru pembaca jawapan keagamaan agar lebih rajin dan meneliti syarat yang disertakan bersama sesuatu hukum.  Moga kita berjaya berhijrah dari yang kurang baik kepada baik, yang baik kepada yang lebih baik. Amiin

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

18 Jan 2009

Hukum Mengucapkan Merry Christmas

December 24th, 2008 by belalangtua

Penulis: Hafiz Firdaus Abdullah Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/ Apabila penulis menaip “Why do we celebrate Christmas” di enjin carian internet www.google.com, hasil penemuan pertama yang dikemukakan menyebut: Why do we celebrate Christmas? It is Jesus’ birthday! His mommy was Mary and His earthy Father was Joseph. His real Father is God and Jesus was God’s gift to all of us! Christmas is the celebration of the birth of Jesus. Christians decided to celebrate this day many years after He was born. December 25 was picked as this day, even though it probably is not the exact day He was born. That is not as important as the reason we celebrate Christmas. Jesus is the reason for the season. The season is not just to receive gifts, get time off from school or eat a lot of good stuff. Remember that Jesus was born for us…to take away our sins…so that we can be forgiven of the bad things we do forever. This is the greatest gift of all! [www.godschildrenscorner.com] Jelas Christmas Day adalah sambutan bersempena dua perkara, pertama: Jesus sebagai anak Allah dan kedua: pengorbanan Jesus oleh Allah sendiri demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Adalah memadai dalam artikel ini kita memberi tumpuan kepada yang pertama sahaja, iaitu Jesus sebagai anak Allah. Apakah pandangan Islam tentang dakwaan Allah memiliki anak? Jawapannya boleh diperolehi secara jelas daripada al-Qur’an. Pertama, Allah adalah Tuhan yang bebas daripada diperanakkan atau memiliki anak. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya”. [al-Ikhlas 112:1-4] Kedua, mengatakan Allah memiliki anak adalah satu kesalahan yang amat berat: Dan mereka berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.” Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak. [Maryam 19:88-92] Ketiga, dakwaan Allah memiliki anak adalah sebahagian daripada kepercayaan Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian. Kepercayaan Trinity bermaksud Allah adalah tiga sekalipun satu, iaitu (1) The Father, (2) The Son and (3) The Holy Spirit. Ini adalah satu kesalahan yang telah dinyatakan oleh al-Qur’an sejak lebih 1400 tahun yang lalu: Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam (Jesus) hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam dan (merupakan tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga (Trinity)”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [an-Nisa’ 4:171] Keempat, apabila orang-orang Kristian enggan berhenti daripada kepercayaan Trinity mereka sebagaimana yang dilarang oleh ayat 171 surah an-Nisa’ di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghukum mereka kafir: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Maidah 5:73] Ayat-ayat al-Qur’an di atas tidaklah bersifat samar-samar dalam menyatakan kesalahan mendakwa Allah memiliki anak. Pengkhususan diberikan kepada kepercayaan agama Kristian yang mendakwa Jesus adalah anak Allah. Jesus sebagai anak Allah adalah salah satu unsur Trinity. Berpegang kepada kepercayaan sebegini adalah satu kekafiran yang tidak diragukan lagi. Alhamdulillah umat Islam bebas daripada kepercayaan Allah memiliki anak dan Trinity. Akan tetapi umat Islam tidak sahaja dituntut untuk menjauhi kepercayaan sedemikian tetapi juga dilarang daripada membantu atau menyokongnya. Ini kerana di dalam Islam, apabila sesuatu perkara itu adalah salah maka kita bukan sahaja dituntut untuk menjauhi kesalahan tersebut tetapi juga dilarang daripada membantu dan menyokong kesalahan itu. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [al-Maidah 5:02] Termasuk dalam keumuman perintah “…bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan…” ialah membetulkan kepercayaan orang-orang Kristian. Hal ini kita lakukan bukan dengan menzalimi mereka tetapi dengan dakwah dan dialog dengan cara yang terbaik, yakni dengan ilmu dan hikmah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, melainkan kepada orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka. Dan katakanlah (kepada mereka yang zalim): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu. Dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri.” [al-Ankabut 29:46] Termasuk dalam keumuman perintah “…janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa…” ialah jangan kita membantu dan menyokong kepercayaan orang-orang Kristian. Di antaranya ialah jangan diucapkan: “Merry Christmas” kerana dengan ucapan ini atau apa-apa yang seumpama, kita mengiktiraf kepercayaan mereka dan memberi ucapan tahniah untuk mereka meneruskan kepercayaan tersebut. Ini dilarang dan amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya dituntut ke atas kita. Adapun tindakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, yakni orang-orang Yahudi dan Nasrani, ia adalah tindakan yang menafsirkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08] Akan tetapi menghormati dan berbuat baik kepada orang bukan Islam, dalam kes ini orang-orang Kristian, tidaklah sampai ke tahap membenarkan dan membantu kepercayaan mereka yang syirik kepada Allah. Sebagai contoh, apabila memerintahkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. [Luqman 31:15] Jelas bahawa berbuat baik tersebut adalah dengan syarat ia tidak melibatkan apa-apa yang bersifat syirik kepada Allah. Jika melibatkan syirik maka tidak ada ketaatan. Namun sekalipun dalam suasana syirik tersebut, anak-anak tetap dituntut bergaul dengan ibubapa mereka dengan cara yang baik. Justeru kita memang dituntut berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam. Akan tetapi tuntutan ini tidaklah ke tahap kita melakukan syirik kepada Allah atau kita mengiktiraf dan membantu orang bukan Islam melakukan syirik kepada Allah. Hal ini perlu dibezakan dengan baik. Perhatikan bahawa sekalipun Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, baginda tidak sekali-kali memberi ucapan tahniah dan menyertai perayaan keagamaan mereka. Timbul persoalan seterusnya, bagaimana seharusnya sikap kita kepada majikan, guru, rakan-rakan, jiran-jiran dan ahli keluarga kita yang menyambut Christmas Day? Untuk menjawab persoalan ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian melakukan satu anjakan paradigma. Sedar atau tidak, kita umat Islam apabila menghadapi sesuatu persoalan seringkali akan cuba mengubahsuai agama Islam supaya selari dengan persoalan tersebut. Kenapa tidak dilakukan yang sebaliknya, iaitu mengubahsuai persoalan supaya selari dengan agama Islam? Sudah sampai masanya Islam dan umatnya menjadi pemimpin, bukan asyik dipimpin. Dalam kes ini, sikap kita terhadap orang-orang Kristian yang berkaitan ialah menerangkan kepada mereka bahawa kita menghormati kepercayaan yang mereka pilih. Akan tetapi tidaklah bererti kita mengiktiraf dan menyertai perayaan keagamaan mereka kerana ia bertentangan dengan prinsip agama kita sendiri. Melalui penerangan yang berhikmah dan ilmiah, pasti mudah untuk orang-orang Kristian menerimanya. Malah mungkin ia dapat membuka ruang dakwah untuk kita membetulkan kepercayaan Trinity yang mereka pegangi. Sudah tentu bahawa penjelasan dalam dua perenggan terakhir di atas adalah berdasarkan kemampuan setiap individu. Jika seseorang tersepit dalam suasana yang menekan, maka dibolehkan baginya mengucapkan Merry Christmas sebagai pilihan yang terakhir. Allah sebagai tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun mengetahui apabila seseorang hambanya terpaksa melakukan satu perkara yang tidak diingininya. Perkara lain yang perlu digariskan adalah, tidak mengucapkan Merry Christmas tidak bererti akan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana perpaduan rakyat bukan bererti persatuan agama tetapi saling menghormati ajaran agama masing-masing.[1] Menghormati ajaran agama masing-masing bukanlah bermaksud kita umat Islam perlu mengalah kepada orang Kristian dengan mengucapkan Merry Christmas kepada mereka, tetapi dengan orang Kristian sendiri yang mengalah kepada umat Islam dengan menghormati kenapa ajaran Islam melarang umatnya daripada mengucapkan Merry Christmas. [1] Perlu dibezakan bahawa “menghormati ajaran agama masing-masing” tidaklah bererti kita boleh menjadikan umat beragama lain sebagai Wali. Kedua, ia tidak bererti kita boleh meninggalkan kewajipan untuk berdakwah kepada mereka. Lebih lanjut rujuk risalah penulis: Kerukunan Antara Agama, Bukan Kesamaan Antara Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah – Buku 2 (Jahabersa, Johor Bahru 2005).

BERHIJRAH MENUJU KEPADA ALLAH DAN RASUL

December 22nd, 2008 by belalangtua
BERHIJRAH MENUJU KEPADA ALLAH DAN RASUL
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sebagaimana yang telah maklum kalendar Islam telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. Beliau dan para sahabat telah memutuskan untuk meletakkan tarikh permulaan kalendar Islam ini pada tahun di mana Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berpindah dari Mekah yang dikuasai oleh golongan musyrikin ke Madinah kerana begitu pentingnya peristiwa tersebut terhadap kejayaan dakwah Islam. Namun Maal Hijrah yang muncul setiap tahun hanya dilihat sebagai sambutan kedatangan tahun baru bagi umat Islam. Kebanyakkan umat Islam gagal menghayati semangat hijrah sebenar yang pada hakikatnya dapat memberi kesan yang begitu besar terhadap umat Islam.

Hijrah dari segi bahasa bermaksud meninggalkan atau berpindah. Dari segi istilah hijrah memiliki dua makna.

PERTAMA ia bermaksud berpindah dari negeri syirik menuju ke negeri Islam. Hijrah dalam erti ini adalah sebagaimana hijrah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya yang meninggalkan kampung halaman mereka di Mekah menuju ke Madinah. Ada yang berpendapat dengan berakhirnya penghijrahan tersebut maka tidak ada lagi hijrah setelah itu. Perkara ini dapat disangkal dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” – Hadis riwayat Abu Dawud no 2120

Oleh itu bagi umat Islam yang bermastautin di negara yang dikuasai oleh orang kafir dan tidak berupaya untuk mengamalkan agamanya malah ditindas maka diwajibkan baginya untuk berpindah ke negara Islam yang lain sekiranya memiliki kemampuan. Dalil yang mewajibkan hijrah sebegini adalah firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” – al-Nisaa’ : 97

Tetapi hijrah sebegini tidak diwajibkan bagi mereka yang tidak memiliki kekuatan dari segi fisikal mahupun ekonomi untuk berpindah. Firman-Nya:“Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” – al-Nisaa’ : 98-99

KEDUA, hijrah bermaksud meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah menuju kepada yang diperintahkan-Nya. Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang Muslim adalah seseorang yang kaum Muslimin selamat dari gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 6484

Imam Ibnul Qayyim r.h mengistilahkan hijrah seperti ini sebagai hijrah dengan hati menuju Allah dan Rasul-Nya. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Allah maka ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah pertama dalam syahadah kita iaitu Laa ilaaha illa Allah. Maka hijrah dalam hal ini menuntut kita untuk mengikhlaskan segala amal ibadah kita hanya kepada Allah. Hendaklah kita meninggalkan segala amalan-amalan yang berunsur syirik dan menyemai benih-benih tauhid kepada seluruh umat Islam. Kita harus mempertingkatkan usaha untuk membersihkan umat Islam dari perkara-perkara yang dapat mencemari aqidah umat Islam. Segala perkara khurafat, tahyul dan syirik harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Di antara amalan-amalan yang mencemari aqidah yang masih berleluasa di kalangan umat Islam di Malaysia adalah kebergantungan kepada bomoh, memakai tangkal serta azimat, berdoa kepada selain daripada Allah, bertawakal kepada selain daripada Allah, bertawassul kepada kuburan-kuburan yang dianggap keramat, menyakini ramalan-ramalan tukang ramal dan banyak lagi.

Manakala hijrah menuju kepada Nabi s.a.w. adalah proses untuk menerapkan konsep Ittiba’ al-Rasul iaitu satu upaya untuk mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Rasul, ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah ke dua dalam syahadah kita iaitu Muhammadur Rasulullah.

Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 2697

c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain melebihi perintah baginda tersebut.

d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:“Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini.” – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:“Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlid Nabi. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa tidak termasuk dalam amalan sunnah.

2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih sebagai ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.

4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam solat secara sengaja maka solat tersebut terbatal.

5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman daging babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana terdapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an untuk memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.

Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:

a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya serta menghapuskan dosa-dosa. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31

b) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32

c) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65

d) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih daripada Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63

e) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21

f) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36

g) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 7280.

h) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w..

Oleh itu sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini marilah kita berusaha untuk menerapkan konsep hijrah yang sebenar agar ianya memberi satu manfaat yang besar dalam hidup setiap umat Islam.

 

Mengapa Perlu Sangka Buruk ?

December 22nd, 2008 by belalangtua

Mengapa Perlu Sangka Buruk ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah   beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda :-

كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Ertinya : “Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat” (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)

Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah.

Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis

ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن ” . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : ” إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه

Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk” lalu seorang lelaki bertanya : “apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?”

Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya” ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-

ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق

Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya” ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)

Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya

SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar’. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk’ apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.

Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon, bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali.

Namun mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.

SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya.

Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.  

Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.

JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.

Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.

Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih.

Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.

Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-

“Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu”

Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya).

Namun jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diritaksub kepada team mereka.

JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.

Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.

Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.

Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada Mufti Perlis. Tiba-tiba Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,

  • Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihanraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek’ kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
  • Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.
  • “Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!” Tempelak mereka.

Dan macam-macam lagi.

Saya kerap dengar komen “mengapa baru sekarang!!?” sebagai hujjah untuk membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen sebegini?

Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini.

Bila saya sebut masalah hukum di dalam ASB, syubhat dan keraguan aqad dalam MLM, pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata:-

“Mengapa baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan sekarang dah rugi kot” Katanya.

Saya menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?

Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata

“hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.

Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.

Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang.

Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.

Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN

Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.

 

Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.

Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :”puas aku fikir dan cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak sebenarnya?”

“akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku ust nak jual barang dia ni”

Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA.  

Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.

Sebagai contoh lain.

Ada yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 (sistem ini telah ditutup sementara waktu) bertanya sambil bersangka buruk berkenaan orang di sekitarnya:-

a- “Ustaz ada dengar tak slot Dr ..xxxxx pengasas ayam organik di radio ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr ini dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri jer”

b- “PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam, mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet”

c- “Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!”, simpul seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)

d- “eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak’ dari penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual agamanya untuk popular di televisyen”

e- “Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak berani berterus terang”

f- “Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?” Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.

g- Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : “jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan”

Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau punyai agenda lain.

Ada tersirat ke?

Malah jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal,  maka TIADA salahnya. Selagi mana zahir tindakan  mereka tadi adalah baik SERTA menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.

 Allah swt mengingatkan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :

الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ

Ertinya : “Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam” ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.

Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.

Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

 

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

“Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah” ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : “Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah.”

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

“Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : “Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat”.

Khalid berkata : “Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)”

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : “Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka” ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

 إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

KESIMPULANNYA 

Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baikterhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “”Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )

Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.

Namun, apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang sebenar.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

12 Mei 2008

 

 

 

 

Last update: 22-12-2008 06:54

Ke Arah Tajdid Majlis Fatwa

December 3rd, 2008 by belalangtua

Majlis Fatwa, Yoga & Pertikaian

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

 

Fatwa yang dikeluarkan oleh Majis Fatwa Kebangsaan akhir-akhir ini cukup mendapat  perhatian ramai, dari orang Islam kepada yang bukan Islam. Dari orang kebanyakkan kepada Perdana Menteri dan Kerabat Diraja.

masjidku.jpgSaya masih ingat ketika bertemu dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa bulan lepas. Saya mencadangkan agar beliau memberikan perhatian kepada bentuk atau teks fatwa (sighah fatwa) yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa, yang bagi saya antara punca masyarakat tidak atau kurang hormat kepada fatwa yang dikeluarkan.

“Dato’, saya cadangkan agar teks fatwa yang dikeluarkan dinaiktarafkan (upgrade) iaitu dengan mengelakkan fatwa beberapa baris kepada mengeluarkan fatwa beserta kesimpulan yang disertakan penjelasan bersandar hujjah dan dalil” kata saya

“ia penting terutama di zaman masyarakat semakin terpelajar dan sering ingin melihat dan membaca sendiri apakah sandaran yang menyebabkan sesuatu keputusan atau fatwa itu dibuat”

Saya juga memberikan beberapa contoh teks fatwa yang amat baik seperti teks fatwa oleh Majlis Ulama Indonesia, Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga Majlis Shariah Kesatuan Perakaunan dan Kewangan Islam Antarabangsa (AAOIFI).

Sebagai contoh, cuba lihat teks fatwa Majlis Ulama Indonesia yang boleh diakses oleh orang ramai ini :

Beberapa contoh fatwa Majlis Ulama Indonesia

Melihat kepada teks-teks fatwa mereka, jelas menunjukkan kesungguhan dan ketelitian Majlis Ulamanya dalam mengeluarkan fatwa. Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga mungkin teliti dan terperinci dalam perbincangan mereka, namun rumusan perincian perlu dihebahkan kepada masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Majlis Ulama Indonesia ini. Tanpanya, sesuatu fatwa akan kurang dihargai, malah akan kerap dipandang lekeh oleh pelbagai pihak.

Pendedahan dan kebijaksanaan, ketelelitian dalam merangka teks fatwa (sighah fatwa) adalah amat perlu kerana tentu dengannya mampu mengukuhkan keyakinan ramai selain mendidik para pelajar ilmu agama di seluruh dunia akan cara-cara mengeluarkan fatwa. Bukankah itu satu proses pembelajaran yang  amat baik.

Cuba bandingkan tels fatwa Majlis Ulama Indonesia dalam link di atas dengan kenyataan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia

Lihat teks fatwa ASB :

 

Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah bagi kali ke-80 bermula pada 1 hingga 3 Februari 2008 telah memutuskan bahawa Hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Oleh itu, umat Islam boleh menyertai skim pelaburan ini dan tidak perlu merasa ragu-ragu terhadap status pelaburan yang telah dibuat serta dividen atau bonus yang telah diterima. (rujuk )

Tiada penjelasan lanjut, hanya HARUS.full stop.

 

Berikut pula adalah fatwa YOGA, Alhamdulillah ia punyai sedikit huraian namun masih memberikan seribu satu macam persoalan di minda pembaca:

Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.

(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.

(3) perbuatan.

Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis. ( sumber )

 

DOUBLE STANDARD ATAU FATWA SECARA TERPILIH

Ini adalah satu isu yang sensitif namun wajar diperhalusi dan diambil perhatian oleh sidang Majlis Fatwa Kebangsaaan agar kewibawaan dan keyakinan masyarakat kepadanya tidak pudar dan jatuh.

Dakwaan double standard dan mengeluarkan fatwa secara terpilih terutamanya apabila ia melibatkan isu politik dan kepentingan pihak tertentu yang berkuasa sering dikecam oleh pelbagai kumpulan masyarakat.

Namun protes, cadangan dan pandangan yang kurang senang ini kelihatan diabaikan dan tidak diambil ‘pusing’ oleh ahli majlis fatwa.

Bagi sebuah Majlis Fatwa dianggap penyelesai masalah ummat dan petunjuk bagi rakyat dalam hal ehwal agama, ketelusan dan ketegasan dalam fatwa amat amat diperlukan. Mereka perlu berdikari sebagai Majlis Fatwa Indonesia.

KESELARIAN FATWA

Keselarian pendirian majlis fatwa dengan apa jua fatwa yang telah dikelaurkan oleh mereka juga AMAT-AMAT diperlukan.

Menurut ilmu Usul Fiqh, keselarian ini amat penting malah keselarian hukum yang datang dari Allah dan Rasulnya dijadikan salah satu kaedah untuk ulama semasa dalam menentukan hukum bagi masalah-masalah baru yang timbul dalam masyarakat. [1]

Kaedah ini dinamakan “Istiqra”. Atau “Istiqra tasarrufat as-Shari”

Atau meneliti sifat-sifat hukum yang ditentukan oleh Shari’ ( Allah dan RasulNya)

Syeikh Ibn Asyur pernah berkata :-

فعليه أن لا يعين مقصدا شرعياً إلا بعد استقراء تصرفات الشريعة

Ertinya : “Oleh kerana itu, tidak boleh diketahui sesuatu objektif dalam sesuatu hokum shariah kecuali setelah dilakukan penelitian dan penyemakan khusus kepada (hamper semua) bentuk dan tatacara hukum syariah” [2]

Malah hal keperluan keselarian hukum lalu dengan yang terkini dapat diketahui melalui kaedah istiqra ini. Melaluinya, akan dapat difahami objektif sesuatu hukum dengan jelas dan seterusnya membantu para ulama dalam penentuan hukum seterusnya.

Namun jika fatwa-fatwa yang dikelaurkan tidak selari, ia akan mencetuskan kekeliruan umum terhadap dasar fatwa yang dikeluarkan dan targetnya.

Untuk menjelaskan lagi berkenaan keselarian fatwa contohnya begini:

Apabila Majlis Fatwa memutuskan bahawa YOGA adalah haram disebabkan boleh berlakunya kesyirikan, penyerupaan dengan upacara keagamaan bukan Islam dan lain-lain yang disebutkan di atas.

Maka masyarakat kini tertanya-tanya bagaimana pula hal-hal yang lain seperti ucapan Selamat Hari Natal atau Merry ChristmasHappy Deepavali, kongsi raya, bersanding, tepung  tawar dan pelbagai lagi yang berasal usul dari agama lain.

Apabila ia disenyapkan atau di fatwakan sebagai HARUS, sedangkan YOGA adalah haram, akan berlakulah  ketidak selarian dalam fatwa.

Ia secara automatik akan membawa pertikaian dari pelbagai kumpulan masyarakat yang akhirnya menjatuhkan kredebiliti fatwa.

Tidak saya nafikan, mungkin majlis fatwa telah pun mengeluarkan beberapa fatwa lain yang hampir serupa permasalahannya dengan YOGA seperti PENGHARAMAN SAMBUTAN VALENTINE DAY :

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa

amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam. ( Sumber :http://www.islam.gov.my )

 

Namun, apabila teks fatwa YOGA tidak menyebut contoh-contoh lain dalam penwartwaannya, kekeliruan akan timbul yang akhirnya menjatuhkan kredibiliti fatwa. Sebaiknya, bincangkan sekali isu-isu lain yang serupa ini selain yoga dan keluarkan fatwa sekaligus untuk semua yang mempunyai ciri yang sama.

Malah teks fatwa YOGA turut memberikan kekeliruan antara YOGA dengan mantera dan yang tidak dengan mantera dan jampi. Sekali baca fatwanya di atas kelihatan YOGA tanpa mantera adalah boleh, sekejap baca lagi macam tetap tidak boleh.

Justeru, amat wajar jika yang berwajib dapat mengelakkan pertikaian-pertikaian ( antara lainnya akibat penggunaan bahasa teks fatwa, ayat dan kandungannya) yang akhirnya menggugat nama baik Majlis Fatwa dengan bersifat lebih akademik dan professional dalam teks fatwa mereka. Bukan hanya beberapa baris ringkas seperti fatwa ASB dan malah belum cukup juga penjelasan ringkas dalam fatwa Yoga. Seeloknya disediakan hujah dan penulisan seperti yang disediakan oleh seorang wakil penulis JAKIM. [3] Saya kira, jika semua fatwa yang dikeluarkan dapat disertakan dengan bentuk lampiran sebegini serta boleh pula diakses oleh ramai, ia adalah baik dan menggalakkan.

RUANG KAJIAN SEMULA FATWA LEPAS

Pada hemat saya, adalah amat bijaksana jika Majlis Fatwa Kebangsaan memanfaatkan kewujudan para ilmuan Syariah di Malaysia sama ada di Universiti, pondok dan lain-lain instutusi pengajian tinggi yang lain. dengan menggunkan kepakaran mereka untuk meneliti fatwa yang dikeluarkan dan ditambah nilai atau dibantah secara ilmiah.

Oleh kerana mereka yang terlibat dalam pengeluaran fatwa dan kajian isu amat terhad, saya kira adalah amat wajar jika tindakan intutusi kewangan Islam gergasi seperti Dallah Al-Barakah dapat diambil kira.

Apa yang mereka lakukan adalah, setiap fatwa yang telah digazetkan oleh Majlis Syariah mereka sejak lama dahulu, kini dibuka semula untuk semakan dan pembetulan (jika perlu dan ada).

Bagi tujuan itu, baru-baru ini bertempat di Jeddah Hilton pada bulan September 2008, mereka mula memilih beberapa tajuk dan meminta pakar-pakar di luar majlis Syariah mereka untuk membentangakn kajian semula. Hasilnya, terdapat beberapa fatwa mereka yang diubah manakala beberapa yang lain kekal dan menjadi semakin kukuh. Untuk membaca beberapa kertas kerja lengkap perbincangan dan kajian semula fatwa mereka, sila buka link ini 

Semakan semula fatwa ini adalah perkara biasa dalam dunia ilmiah para ulama Islam sejak zaman silam.Imam Ibn Qayyim berkata :-

 

لا يمنعنك قضاء قضيت فيه اليوم فراجعت فيه رأيك , فهديت فيه لرشدك أن تراجع فيه الحق , فإن الحق قديم لا يبطله شيء ومراجعة الحق خير

Ertinya : Tidak sesekali terhalang sesuatu keputusan ( fatwa) yang telah kamu putuskan hari ini maka  ingin kamu nilaikannya semula,  berpandukan ilmu kewarasan dan (maklumat baru) maka kamu kembali kepada kebenaran, sesungguhnya kebenaran itu telah lama (wujud) dan tidak sesekali dibatalkan oleh sesuatu apapun, dan pengembalian kepada kebenaran adalah amat baik ” ( Ilam al-Muwaqqien, 1/69 ) 

 

Selain itu, kita perlu sedar bahawa fatwa-fatwa dalam beberapa isu yang berkaitan dengan hokum adakala boleh berubah apabila disedari terdapat kesilapan dan cara fatwa, sumber rujukan dan lain-lain. Justeru, menyedari manusia tidak maksum, sekiranya majlis fatwa mampu menganjurkan majlis seumpama ini,

ia pastinya akan dapat meningkatkan nilai setiap fatwa yang dikeluarkan di mata dan hati para akademia di Universiti selain masyarakat awam.

Tulisan ini tidak sesekali ingin meng’hentam’ majlis fatwa namun ia ditulis dengan niat murni untuk melihat setiap fatwa yang dikeluarkan lebih dihormati oleh masyarakat bukan secara paksa (tidak wajar cadangan mengambil untuk mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mempertikai), sesungguhnya penghormatan akan datang apabila kualiti fatwa ternyata dan teksnya dirangka dalam bentuk yang tepat, kemas dan bijaksana.

Justeru, hasrat saya agar majlis fatwa mampu serta dapat menzahirkan kualiti fatwa serta kaedah dan prosedur fatwa mereka yag akhirnya mampu meraih hormat masyarakat dan seterusnya membantu masyarakat Islam dalam urusan deen Islam yang mulia ini.

Sebagai ahli akademik berlatarbelakangkan agama di Malaysia, saya turut merasa kurang senang apabila institusi yang sepatutnya hebat di mata masyarakat seperti ‘majlis fatwa’ dihina dan dicerca dan tidak dihormati, namun tiada jalan lain kecuali suatu plan perubahan mestilah dilakukan untuk memartabatkan kembali majlis fatwa kebangsaan Malaysia dan juga institusi Mufti di Malaysia.

Bagi mereka yang berkuasa, anda bertanggungjawab untuk mengjaga nama baik Islam dan instutui fatwa. Jangan dipaksa masyarakat untuk ‘hormat’ jika kita tiada elemen yang boleh dihormati. Justeru, dapatkan elemen itu bukan dengan paksa tetapi secara fitrah.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

3 Disember 2008

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
[1] Maqasid As-Shariah Fi Ahkam Al-Buyu’, Zaharuddin A Rahman, hlm 85

[2] Maqasid As-Shariah Al-Islamiyyah, Ibn Asyur, hlm 231 ( cet Dar an-Nafais)

[3] Seperti yang dapat dibaca di link (http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=18867 )

Menyingkap Rahsia Di Sebalik Kejadian Nur Muhammad

November 26th, 2008 by belalangtua

Sumber: http://www.darulkautsar.com/article.php?ArticleID=357Menyingkap Rahsia Di Sebalik Kejadian Nur Muhammad1. PengenalanBanyak sekali terdapat dalam kitab-kitab tasauf, sirah dan maulid kenyataan yang menunjukkan bahawa kejadian pertama alam semesta ini adalah Nur Muhammad. Kenyataan seperti ini telah menimbulkan banyak pula fahaman-fahaman lain berhubung dengan Rasulullah s.a.w seperti Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai bayang , tergila-gilanya perempuan-perempuan kepada ayahanda Nabi s.a.w. Ketika Nur Muhammad dikatakan memancar di dahinya sampai membawa mereka mati dan sebagainya.Ia juga mendekatkan kepada konsep Nur Panjthan (Nabi Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain) yang dikatakan berlegar-legar mengelilingi arasy sebelum kejadian alam semesta selama 50,000 tahun mengikut ajaran Syiah. Ia juga merupakan punca kesesatan golongan Barelwi yang mempercayai bahawa Nabi Muhammad bukannya seorang manusia biasa dari segi kejadian asalnya tetapi kejadiannya berbeza dari yang lain kerana ia adalah Nur yang terpancar daripada nur Allah. Untuk ini banyak sekali ayat-ayat Al-Quran ditakwilkan dengan sewenang-wenangnya dan banyak pula hadis-hadis yang sahih diketepikan atau diabaikan langsung.Walaupun pengarang kitab-kitab sirah dan maulid dan juga pengarang-pengarang kitab-kitab tasauf itu mengemukakan riwayat tentang Nur Muhammad tetapi tidak pula mereka menyatakan sanadnya, di samping tidak diketahui langsung punca-puncanya yang boleh dipertanggungjawabkan. Kalaupun ada hanya satu hadis yang dikatakan telah dikemukakan oleh Abdul Razak dalam “Musannaf”nya, InsyaAllah akan diterangkan kemudian. Tetapi anehnya banyak lagi perincian yang tidak terdapat di dalam hadis Abdul Razak itu tentang Nur Muhammad dapat kita lihat dalam riwayat-riwayat yang dikemukakan mereka. Sebagai contohnya, dapat kita lihat pada muka surat pertama lagi daripada kitab “Madariju As-Suud” karangan Muhammad Nawawi Bantan, syarah kepada kitab Maulid Nabawi karangan Syed Jaafar yang lebih dikenali sebagai “Al Barzanji”. Kitab tersebut dibuka dengan puji-pujian kepada Allah yang telah memulakan wujud ini dengan Nur Muhammad yang meresap dalam segala perkara yang ditakdirkan Allah sebelum diciptanya langit dan bumi selama 50,000 tahun.2. Nur Muhammad Versi Ka’bul Akhbar Kata Ka’bul Akhbar, “Bila Allah hendak menjadikan sekelian maujudat dengan merendahkan bumi dan meninggikan langit-langit, maka Dia menggenggam satu genggaman daripada NurNya. Diapun berkata kepada segenggam NurNya itu, “Jadilah engkau Muhammad”. Maka iapun menjadi satu tiang daripada Nur yang berkilau-kilau sampai daripada hijab kegelapan lalu Nur itupun bersujud seraya berkata “Segala puji bagi Allah”. Maka Allah berfirman, “Untuk itulah Kuciptakan engkau dan Kunamakan engkau Muhammad. Daripadamulah Aku memulakan kejadian makhluk ini dan denganmulah Aku menyudahi Rasul-Rasul”. Kemudian sesungguhnya Allah membahagikan NurNya itu kepada 4 bahagian pula. Daripada bahagian pertama dijadikanNya Lauh (Luh Mahfuz), daripada yang kedua dijadikan nya Qalam. Kemudian Allah berfirma kepada Qalam, “Tulislah”. Maka menggeletarlah Qalam itu selama 1,000 tahun justeru hebatnya perintah Allah kepadanya itu. Kemudian Qalam berkata, “Apakah yang perlu kutulis? Allah berfirman, “Tulislah Laailaha illallah Muhammadun Rasulullah”. Maka Qalam itu pun menulislah apa yang diperintahkan dan setelah itu ia mengikut ilmu Allah (dengan menulis) berhubung dengan makhlukNya.Qalam menulis, “Wahai anak-anak Adam daripada sulbinya! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Nuh! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Ibrahim! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Musa! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Muhammad! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka kepada Allah…..” Qalam sudah hampir menulis akan dimasukkanNya ke dalam neraka tiba-tiba terdengar seruan daripada Tuhan Yang Maha Tinggi, “Wahai Qalam! Beradablah”. Maka pecahlah Qalam itu kerana kehebatan Allah dan tertulis noktah dengan tangan Qudrat . Kerana itulah pada kebiasaannya setiap qalam tidak menulis melainkan dalam keadaan terpecah-pecah dan berbintik-bintik dan tuhanpun berkata kepadanya, “Tulislah ummat yang berdosa dan Tuhan Yang Pengampun”.Kemudian daripada bahagian yang ketiga daripada Nur Muhammad itu Allah menjadikan arasy. Bahagian keempat pula dibahagikan kepada empat bahagian. Yang pertama daripadanya dijadikan Akal dan yang kedua dijadikan Ma’rifat dan yang ketiga dijadikan Nur Arasy, Cahaya Penglihatan dan Cahaya Siang. Semua Nur-Nur ini adalah daripada Nur Muhammad. Oleh itu Nur Muhammad adalah makhluk yang terawal dari segala-galanya yang dijadikan Tuhan.Sementara bahagian yang keempat daripada empat bahagian itu pula disimpan di bawah arasy sehingga Allah `Azzawajalla menjadikan Adam dan diperintahkan malaikat supaya bersujud kepadanya.Adam dimasukkan ke dalam syurga, ketika itu malaikat berdiri di bahagian belakang Adam bersaf-saf. Mereka memandang kepada Nur Muhammad lalu berkatalah Adam, “Wahai Tuhan! Kenapakah malaikat ini berdiri di belakangku bersaf-saf?” Allah berkata, “Wahai Adam! Mereka memandang kepada Nur Kekasihku (Muhammad) penyudah sekelian Rasul yang akan Ku keluarkan daripada belakangmu.” Berkatalah Adam, “Wahai Tuhan! Letakkanlah Nur itu di sebelah hadapanku supaya malaikat mengadapku.” Maka Allahpun meletakkannya di dahinya. Pada ketika itu para malaikat pun berdiri mengadap wajah Adam lalu Adam pun berkata “Wahai Tuhan! Letakkanlah Nur ini di suatu tempat yang dapat aku melihatnya”. Maka Allahpun meletakkan Nur Muhammad itu di jari telunjuknya.Adam melihat kepada kecantikan Nur itu, maka bertambah-tambahlah kecantikan dan serinya. Adam mendengar Nur itu bertasbih dengan tasbih yang agung. Kemudian Nur itu berpindah daripada Adam kepada Hawa. Adam melihat Nur itu pada wajah Hawa bagai matahari yang bersinar-sinar. Kemudia Hawa melahirkan Rasul yang mula-mula daripada anak Adam iaitu Syith. Maka hilanglah Nur itu daripada wajah Hawa , berpindah pulalah ia kepada Syith. Adam meminta kepada Syith agar tidak diletakkannya Nur itu melainkan pada perempuan-perempuan yang suci.Kemudian terus berpindah-pindahlah Nur itu daripada seorang lelaki mulia kepada seorang lelaki mulia yang lain dan daripada seorang perempuan yang suci kepada seorang perempuan suci yang lain hinggalah ia sampai kepada sulbi Abdullah bin Abdul Mutalib. Kemudian Allah mengeluarkannya ke dunia lalu dijadikanNya penghulu sekelian Rasul dan penyudah sekelian Nabi, dijadikannya rahmat kepada sekelian alam dan pemimpin kepada orang-orang yang bertuah.3. Nur Muhammad Versi Syeikh Zainal Abidin Al-FathaaniContoh yang kedua pula dapat kita lihat di dalam kitab – kitab seperti “Daqaa’iqu Al Akhbar Fi Zikri Al Jannati Wa An Nar” karangan Abdul Rahim bin Ahmad Al Qadhi, “Kasyfu Al Ghaibiah” sebuah kitab jawi karangan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al Fathaani dan lain – lain di mana disebutkan di dalam helaian pertamanya lagi tentang kejadian Nur Muhammad itu tetapi ia jauh berbeza daripada apa yang terdapat di dalam kitab “Madariju As Su’ud” tadi , begini bunyinya ;Bab Yang Pertama Pada Menyatakan Kejadian Ruh Agung Iaitu Nur Penghulu Kita Dan Nabi Kita Muhammad s.a.w.Tersebut di dalam hadis bahawasanya Allah telah menjadikan satu pohon kayu yang mempunyai empat dahan . Pohon kayu itu dinamakan “Syajaratu Al Muttaqin.” Dalam sesetengah riwayat tersebut “ Syajaratu Al Yaqin “ . Kemudian Ia menjadikan Nur Muhamamd di dalam hijab daripada permata yang sangat putih seperti rupa burung merak dan diletakkan burung merak itu di atas pohon tadi, maka bertasbihlah Nur itu di atas pohon tadi selama 70,000 tahun .Setelah itu Allah menjadikan cermin malu, diletakkan cermin itu berhadapan dengannya . Bila burung merak itu menilik dirinya di dalam cermin itu , dilihatnya rupanya sangat cantik dan sangat elok . Maka malulah ia kepada Allah Taala lalu berpeluh dan bertitiklah daripadanya enam titik peluh .Daripada titik yang pertama Allah jadikan ruh Abu Bakr ra. Dan daripada titik yang kedua dijadikan ruh Umar ra . Daripada titik yang ketiga dijadikan ruh Utsman ra . Dan daripada titik yang keempat dijadikan ruh Ali ra . Daripada titik yang kelima dijadikan pokok bunga ros dan daripada titik yang keenam dijadikan padi.Setelah itu bersujudlah Nur Muhammad itu sebanyak lima kali. Lima kali sujud itu merupakan fardhu yang ditentukan oleh Allah swt berupa sembahyang lima waktu ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ummatnya.Kemudian Allah menilik pula kepada Nur itu, maka berpeluhlah ia kerana malu kepada Allah. Daripada peluh hidungnya Allah menjadikan malaikat, daripada peluh mukanya Allah menjadikan arasy, qursi, lauh, qalam, matahari, bulan, hijab, segala bintang dan segala sesuatu yang terdapat di langit. Daripada peluh dadanya Allah menjadikan sekelian nur Rasul, sekelian ulamak, syuhada’ dan solihin. Daripada peluh belakangnya Allah menjadikan Baitul Ma’mur, Ka’bah, Baitul Maqdis dan segala tapak masjid di dunia ini.Daripada peluh dua keningnya itu Allah menjadikan ummat Nabi Muhammad, daripada sekelian mukmin lelaki dan perempuan. Daripada peluh dua telinganya Allah menjadikan segala ruh Yahudi, Nasrani, Majusi dan seumpamanya daripada mulhid, kafir dan munafiqin. Daripada peluh dua kakinya Allah menjadikan segala bumi daripada Masyrik dan Maghrib dan segala apa yang ada di dalamnya.Kemudian Allah berfirman kepada Nur, “Perhatikanlah di sebelah hadapanmu wahai Nur Muhammad!” Apabila ia memerhatikan tiba-tiba ia melihat di sebelah hadapan dan belakangnya dan di sebelah kanan dan kirinya nur semata-mata. Nur-nur itu adalah Abu Bakr, Umar, Usman dan Ali. Nur-nur itu kemudiannya bertasbih selama 70,000 tahun. Kemudian Allah menjadikan nur para Nabi daripada Nur Muhammad. Allah menilik kepada Nur Muhammad maka dijadikanNya daripada Nur itu ruh-ruh mereka itu yakni dijadikan ruh sekelian Nabi itu daripada peluh Nur Muhammad saw. Daripada peluh ruh-ruh para Nabi itu dijadikan ruh-ruh ummat mereka dan dijadikan ruh orang-orang mukmin dari kalangan ummat Muhammad daripada peluh Nabi Muhammad. Maka mengucaplah sekelian mereka ‘Laaila ha illallah Muhammadun Rasulullah”.Kemudian Allah menjadikan “qandil” daripada “aqiaq” yang merah. Bahagian luarnya dapat dilihat daripada dalamnya. Kemudian Allah menjadikan rupa Muhammad itu seperti rupanya di dalam dunia ini.Lalu diletakkan di dalam qandil itu. Maka berdirilah ia di dalam qandil itu seperti berdirinya di dalam sembahyang dan ruh-ruh para Nabi dan lain-lain mengelilingi qandil Nur Muhammad itu. Mereka semua bertasbih dan bertahlil selama 100,000 tahun.Kemudian Allah memerintahkan supaya tiap-tiap ruh itu menilik Nur Muhammad itu. Ada di antaranya melihat kepalanya maka jadilah ia khalifah dan sultan antara sekelian makhluk, di antara mereka ada yang melihat dua matanya maka jadilah ia hafiz bagi kalam Allah . Di antara mereka ada yang melihat dua keningnya maka jadilah ia pelukis. Di antara mereka ada yang melihat dua telinganya maka jadilah ia orang yang mendengar dan patuh. Di antara mereka ada yang melihat dua pipinya maka jadilah ia orang yang berbuat baik dan berakal. Di antara mereka ada yang melihat dua bibir mulutnya maka jadilah ia pembesar-pembesar di sisi raja. Di antara mereka ada yang melihat hidungnya maka jadilah ia pujangga, doktor dan penjual wangi-wangian . Di antara mereka ada yang melihat mulutnya maka jadilah ia orang yang berkuasa. Di antara mereka ada yang melihat kakinya maka jadilah ia orang rupawan sama ada lelaki atau perempuan. Di antara mereka ada yang melihat akan lidahnya maka jadilah ia utusan raja-raja. Di antara mereka ada yang melihat halkumnya maka jadilah ia penasihat dan muazzin (tukang bang). Di antara mereka ada yang melihat janggutnya maka jadilah ia orang yang berjuang “fi sabilillah.”Di antara mereka ada orang yang melihat tengkoknya maka jadilah ia saudagar. Di antara mereka ada yang melihat dua lengannya maka jadilah ia orang yang pandai bermain kuda dan pedang. Di antara mereka ada yang melihat lengan kanannya maka jadilah ia tukang berbekam. Di antara mereka ada yang melihat lengan kirinya maka jadilah ia orang yang jahil. Di antara mereka ada yang melihat tapak tangan kanannya maka jadilah ia penjual emas dan perak dan tukang sukat. Di antara mereka ada yang melihat tangan kirinya maka jadilah ia orang yang pandai menyukat. Di antara mereka ada yang melihat dua tangannya maka jadilah ia orang yang pemurah dan terpuji. Di antara mereka ada yang melihat belakang tapak tangannya yang kiri maka jadilah ia orang yang bakhil. Di antara mereka ada yang melihat belakang tapak tangannya yang kanan maka jadilah tukang masak. Di antara mereka ada yang melihat ruas-ruas anak jari yang kiri maka jadilah ia juru tulis. Di antara mereka ada yang melihat anak-anak jari yang kiri maka jadilah ia tukang jahit. Di antara mereka ada yang melihat segala anak-anak jari yang kiri maka jadilah ia tukang besi. Di antara mereka ada yang melihat dadanya maka jadilah ia orang yang `alim, mulia dan mujtahid. Di antara mereka ada yang melihat belakangnya maka jadilah ia orang yang tawadhu’ dan taat mengikut syara’. Di antara mereka ada yang melihat dua lambungnya maka jadilah ia orang yang berperang fi sabilillah. Di antara mereka ada yang melihat perutnya maka jadilah ia orang yang bersifat qana’ah dan zahid. Di antara mereka ada yang melihat dua lututnya maka jadilah ia orang yang ruku’ dan orang yang sujud. Di antara mereka ada yang melihat dua kakinya maka jadilah ia orang yang pandai berburu. Di antara mereka ada yang melihat dua tapak kakinya maka jadilah ia orang yang berjalan. Di antara mereka ada yang melihat bayang-bayangnya maka jadilah ia penyanyi dan pemain gendang.Di antara mereka ada yang tiada melihat sesuatu daripadanya maka jadilah ia Yahudi dan Nasrani atau kafir dan musyrik atau Majusi. Di antara mereka ada yang tiada langsung melihatnya maka jadilah ia orang yang mendakwa ketuhanan seperti Fir’aun dan lainnya daripada orang kafir”.4. Makhluk Yang Mula-Mula Dicipta Allah Mengikut Hadis Yang SahihSedangkan apa yang diketahui daripada kitab-kitab hadis yang sahih dan muktabar, yang mula-mula sekali dicipta oleh Allah SWT ialah Qalam. Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Abu Daud daripada Ubadah bin As Samit daripada Nabi s.a.w., “Sesungguhnya perkara yang mula-mula sekali dicipta oleh Allah ialah Qalam. Maka Allah berfirman kepadanya, “Tulislah!” Iapun berkata, “Wahai Tuhan! Apakah yang perlu saya tulis?” Allah SWT bersabda, “Tulislah takdir segala sesuatu sehingga kiamat.” Di dalam riwayat Muslim disebutkan bahawa yang mula-mula diciptakan oleh Allah ialah `Arasy. Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menulis takdir sekelian makhluk sebelum ia mencipta langit dan bumi selama 50,000 tahun. Ketika itu arasyNya telahpun berada di atas air”.Di sini jelas menunjukkan bahawa kejadian arasy dan air adalah terdahulu daripada kejadian pen, tetapi yang mana satu daripada arasy dan air ini pula terdahulu diciptakan? Berdasarkan riwayat Ahmad dan Tirmidzi dan dihukum sahih olehnya dari hadits Abi Razin Al’Uqaili secara marfu’ tersebut bahawa air telah diciptakan terlebih dahulu daripada arasy. Hafidz Ibn Hajar di dalam Fathul Baari j.6 ms. 289 juga mentarjihkan hadis ini.Kebanyakan ulamak mengatakan terdahulunya pen itu dalam penciptaannya adalah merupakan “awwaliah idhafiah” atau “terdahulu nisbi” sementara terdahulunya arasy dan air itu adalah terdahulu “awwaliah haqiqiah” maksudnya “terdahulu sebenar”.Sementara hadis yang dikatakan menyebutkan bahawa kejadian yang pertama sekali ialah Nur Muhammad pula merupakan sesuatu yang tidak berasal dan tidak sabit daripada Rasulullah s.a.w.. Hafidz Ibn Taimiah dan Ibn Katsir menyatakan, “Semua hadis-hadis yang menyatakan demikian adalah palsu dan diada-adakan dengan ittifaq ahli ilmu hadis”. -lihat Al Aatsaru Al Marfu’ah muka surat 23. Demikian juga kata Abu Hasan Ali bin Muhammad Al Kinani dan Imam Zahabi – lihat Tanzihu As Syari’ah Al Maarfu’ah.5. Kedudukan ‘Hadis’ Tentang Nur MuhammadAda dikatakan hadis tentang Nur Muhammad telah dikemukakan oleh Abdul Razak bin Hamam dalam “Musannaf”nya padahal hadis itu tidak terdapat dalam kitab tersebut menurut perhatian penulis terhadap kitab Musannaf cetakan Al Maktabu Al Islami, Beirut, dengan tahqiq oleh Allamah Al Muhaddits Habibur Rahman Al-A’zami.Yang menghairankan ialah para ulamak yang lalu menyebutkan hadis ini terdapat di dalam Musannaf seperti apa yang disebutkan oleh pengarang sebuah kitab tasauf dalam bahasa Jawi iaitu “Ad Durun an Nafis” (muka surat 23) dan Sulaiman An Nadwi dalam “Seeratu an Nabi” (Jilid 3) tetapi Sulaiman Nadwi mengakui tidak berpeluang melihat kitab itu sendiri kerana kitab itu tidak dicetak di India pada ketika itu.Sementara Anwar Shah Kasymiri pula menyatakan hadis itu telah dikemukakan oleh Hakim dalam Mustadraknya tetapi apabila diteliti tidak terdapat pun hadis itu di dalam Mustadrak, yang ada hanyalah hadis tentang Qalam sebagai sesuatu yang mula-mula dijadikan oleh Allah bukannya Nur Muhammad. Tidaklah dapat dipastikan samada ulamak-ulamak yang lalu itu hanya menukilkan riwayat dari nukilan dan kata-kata orang lain berdasarkan kepercayaan kepada orang itu tanpa melihatnya sendiri atau ada di antara mereka yang mendapati naskah “Musannaf” yang menyebutkan tentang Nur Muhammad itu.Walaubagaimanapun daripada naskah yang tercetak dan tersebar hari ini, hadis itu memang tidak wujud. Apa yang didakwakan sebagai hadis Nur Muhammad yang terdapat di dalam kitab Musannaf itu mengikut sebagaimana yang dinukilkan oleh Ahmad Riza Khan Barelwi (Pengasas aliran Barelwi di India dan Pakistan) yang sesat itu di dalam kitabnya Solatu As Safa adalah sebagai berikut:“Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Jabir, “Wahai Jabir! Sesungguhnya Allah Taala telah mencipta sebelum segala sesuatu Nur Nabimu daripada NurNya. Maka Nur itu mula berputar dengan kudrat Allah selama dikehendakiNya. Pada ketika itu belum ada lagi lauh dan qalam, syurga dan neraka. Belum juga ada malaikat, langit, matahari, bulan, jin dan manusia. Bila Allah hendak menjadikan makhluk, dibahagiNya Nur itu kepada empat bahagian. Daripada bahagian yang pertama dijadikan qalam, daripada bahagian yang kedua dijadikan lauh, daripada yang ketiga dijadikan arasy. Kemudian Dia membahagikan bahagian yang keempat kepada empat bahagian yang lain. Daripada bahagian yang pertama dijadikan langit, daripada bahagian kedua dijadikan bumi, daripada bahagian ketiga dijadikan syurga dan neraka kemudian yang keempat pula dibahagikan kepada empat bahagian ….” hingga ke akhir hadis.Sebelum ini telah dinyatakan bahawa hadis ini tidak terdapat dalam “Musannaf” Abdul Razak. Kalau diandaikan hadis ini memang ada, maka ia perlu dinilai dan ditimbang dengan neraca ilmu hadis dan hasilnya tentu akan kita dapati bahawa ada beberapa perkara yang menghalang kita daripada menerima hadis ini untuk dijadikan sebagai alasan atau pegangan.Pertama, perlu diteliti dan diketahui dengan sejelas-jelasnya siapakah Abdul Razak itu? Mengikut kebanyakan tokoh-tokoh hadis bahawa Abdul Razak adalah seorang Syiah Rafidhah. Setengah ulamak menganggapnya sebagai pembohong. Ulamak-ulamak hadis yang menerima riwayatnya pun mengemukakan beberapa syarat untuk diterima riwayatnya. Antaranya ialah:

  1. Oleh kerana beliau seorang Syiah, mana-mana riwayatnya berhubung dengan fadhail dan manaqib tidak akan diterima.
  2. Riwayat-riwayatnya yang menyentuh peribadi sahabat tidak akan diterima.
  3. Oleh kerana Abdul Razak telah kehilangan akal pada tahun 210H, ketika itu sesiapa sahaja boleh menyatakan sesuatu daripada mulutnya tanpa kesedaran dirinya, oleh itu setiap riwayat yang dikemukakan selepas tahun 210H tidak boleh diterima.
  4. Riwayat-riwayat yang dinukilkan oleh anak saudaranya yang bernama Ahmad bin Abdullah semuanya mungkar.
  5. Dia terkenal dalam kesilapannya meriwayatkan hadis-hadis Ma’mar sedangkan kebanyakan riwayat-riwayatnya adalah berpunca daripada Ma’mar.
  6. Sekiranya hadis yang diriwayatkannya itu hadis yang muttasil dan setiap perawinya adalah orang tsiqah barulah boleh diterima riwayatnya.

Itupun bagi orang-orang yang menerima riwayatnya, sementara segolongan ulamak hadis pula langsung tidak mahu menerima riwayatnya oleh kerana beliau dikenali sebagai Syiah Rafidhah. Zaid bin Al Mubarak malah menyatakan Abdul Razak itu lebih pembohong daripada Waqidi. Ahmad bin Abi Khaitsamah berkata, “Saya mendengar Ibn Ma’in ketika diceritakan kepadanya bahawa Imam Ahmad berkata, “Ubaidullah bin Musa ditolak hadisnya kerana kefahaman Syiahnya “Maka Ibn Ma’in berkata, “Demi Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, Abdul Razak lebih melampau 100 kali ganda daripada Ubaidullah dalam perkara ini “(Az Zahabi-Mizanu Al-I’tidal jilid 2 muka surat 611)Bagaimanapun pendapat kebanyakan ulamak hadis tentang Abdul Razak ialah, beliau adalah seorang Syiah Tafdhiliah dan boleh diterima riwayat-riwayatnya dengan syarat-syarat yang telah disebutkan tadi.Kedua, perlu juga dilihat kedudukan kitab Musannaf itu di antara kitab-kitab hadis yang lain dan menurut Syah Abdul Aziz bahawa kitab-kitab hadis itu terbahagi kepada empat peringkat. Termasuk di dalam peringkat yang pertama tiga buah kitab iaitu Muwattha’ Imam Malik, Sahih Al Bukhari dan Sahih Muslim. Termasuk di dalam peringkat yang kedua ialah kitab-kitab seperti Jami’ Tirmidzi, Sunan Abi Daud dan Sunan Nasa’i. Di dalam peringkat yang ketiga pula termasuk kitab-kitab hadis yang memuatkan hadis-hadis sahih, hasan, dhaif, ma’ruf, gharib, syaz, mungkar, khatha’ dan shawab (salah dan betul) sabit dan maqlub. Kitab-kitab yang termasuk dalam peringkat yang ketiga ini tidaklah sampai kepada kemasyhuran yang begitu tinggi di kalangan ulamak. Walaupun tidak semua hadis-hadisnya boleh dinamakan mungkar, para fuqaha tidak banyak menggunakan hadis-hadis daripada kitab-kitab ini yang mutafarrid (hadis yang hanya tersebut di dalam salah satu daripada kitab-kitab ini)Termasuk di dalam peringkat ini ialah kitab-kitab seperti Musnad Imam Syafi’e, Sunan Ibn Majah, Musnad Ad Daarimi, Musnad Abi Ya’la, Musannaf Abdul Razak dan lain-lain. Termasuk di dalam peringkat keempat pula kitab-kitab hadis yang hanya memuatkan hadis-hadis dhaif dan maudhu’ seperti Kitabu Ad Dhu’afa’ karangan Ibn Hibban, Kitabu Ad Dhu’afa’ karangan `Uqaili dan lain-lain.Daripada keterangan di atas dapat dilihat bahawa Musannaf Abdul Razak itu termasuk daripada kitab-kitab hadis dari peringkat ketiga. Riwayat-riwayatnya tidak boleh diterima secara mutlak tanpa memeriksa dan menilainya terlebih dahulu.Sesetengah ulamak misalnya Maulana Habibur Rahman Kandahlavi seorang tokoh hadis di Pakistan menyatakan kepalsuan hadis ini ditinjau dari sudut dirayah. Begini katanya “Hadis ini menyatakan bahawa Nur Muhammad telah dicipta oleh Allah dari NurNya. Kemudian daripada Nur Muhammad itu diciptakan sekelian makhluk lain, seolah-olahnya Allah telah terbahagi kepada juzuk-juzuk dan jisim yang tidak berkesudahan buat selama-lamanya. Ini bermakna setiap sesuatu dalam alam semesta ini merupakan satu juzuk daripada Allah dan setiap sesuatu darinya mempunyai unsur ketuhanan. Tiada lagi yang sunyi dari unsur ini. Dalam keadaan ini jika ada seseorang yang mendakwa sebagai Tuhan atau berkata, “Dalam keadaan ini jika ada seseorang yang mendakwa sebagai Tuhan atau berkata, “Anal haq” “Ana Rabbukumul a’la” mungkin juga dari satu sudut ada kebenarannya.Ketika itu perbezaan antara khaliq dan makhluk, ‘abid dan ma’bud dan malik dan mamluk yang ditekankan dengan sejelas-jelasnya dalam Al-Quran sudah tidak bererti lagi. Inilah sebenarnya asas kepada faham “Wahdatul Wujud” atau “Serba dia” yang sesat itu yang menganggap segala sesuatu sebenarnya Dia (Tuhan).Kalau dikatakan pula juzuk-juzuk yang terpisah dari Allah itu akan fana bermakna Allah juga akan fana dan kalau dikatakan pula bahawa juzuk-juzuk itu tidak akan fana tetapi sebaliknya akan bergabung kembali dengan zat Allah yang merupakan puncanya maka tidak ada perbezaan pula dengan kepercayaan orang-orang Kristian terhadap Nabi Isa dan fahaman yang seperti inilah asas kepada Trinity. Tetapi orang-orang Kristian menghadkan pecahan Tuhan kepada tiga sahaja. Golongan ini pula telah memasukkan sekelian makhluk dalam lingkungan ketuhanan.Seandainya kita menerima satu juzuk daripada zat ini telah terpisah dari zat Allah maka ia akan membawa kepada dua keadaan: Pertama: Sesuatu yang boleh dibahagikan kepada beberapa juzuk adalah jisim dan akan musnah. Ini membawa kepada Allah dipercayai berjisim dan akan musnah. Kedua: Bila dianggap satu juzuk daripada Allah telah terpisah daripadaNya, maka ia bermakna sudah pasti berlaku kekurangan pada zat Allah.6. Tujuan Sebenar Mengapa Konsep Nur Muhammad DiketengahkanPengamatan secara logik terhadap riwayat-riwayat ini sebenarnya akan membawa kita kepada satu natijah bahawa riwayat-riwayat yang seperti ini merupakan “tabarra” (pernyataan rasa benci) terhadap Allah Taala. Perkara yang seperti ini tidak hairan jika datangnya daripada seorang Syiah. Yang paling menghairankan ialah bagaimana ramai daripada ulamak-ulamak Islam terpedaya dengannya sehingga menganggapnya sebagai suatu keistimewaan Rasulullah pula.Anggapan bahawa Allah adalah Nur adalah salah kerana Nur adalah makhluk Allah. Makhluk dan Khaliq adalah berlainan. Kalau tidak akan lahirlah aqidah “Wahdatul Wujud” tadi. Dalam Al Quran dapat kita lihat sekian banyak ayat yang menunjukkan Nur sebagai makhluk, contohnya:

  1. “Dia telah menjadikan kegelapan dan cahaya” (Surah Al An’am: 1)
  2. “Kami telah jadikan untuk manusia nur (cahaya) yang mana dia membawanya dikalangan manusia” (Surah Al An’am: 122)
  3. “Sesiapa yang Allah tidak menjadikan untuknya nur (cahaya), dari manakah akan diperolehinya nur?” (Surah An Nur: 40)

Perlu diingat bahawa “ja’il” dan “ma’jul” yakni yang menjadikan dan yang dijadikan itu tidak mungkin sama kerana “ja’il” bererti yang mencipta sedangkan “ma’jul” bermakna yang diciptakan atau makhluk sedangkan pencipta dan yang dicipta, pembuat dan yang dibuat mustahil sama. Ramai juga orang terkeliru apabila membaca firman Allah yang berbunyi, “Allah adalah nur langit-langit dan bumi”. Orang-orang awam mungkin sekali terpedaya dengan ayat-ayat yang seperti ini tetapi amat dikesali sekiranya alim ulamak terpedaya dengannya kerana dalam bahasa Arab nur adalah “masdar” dan “masdar” ada kalanya memberi makna “masdari”, ada kalanya memberi makna maf’ul dan ada kalanya memberi makna “fa’il”. Kerana itulah ahli-ahli tafsir yang muktabar mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan, “Allahu munawwiru assamaawaati wal ardh (Allah yang menyinari langit-langit dan bumi)”Jika Allah bukan Nur maka sudah tentu tidak timbul lagi persoalan kejadian sesuatu daripada NurNya. Sekiranya Nur Muhammad itu benar-benar diciptakan daripada Nur, apakah halangannya kepada Allah untuk menyatakan dengan terus terang bahawa Dia menjadikan nabi Muhammad daripada Nur sebagaimana dijadikan Malaikat? Masalahnya apabila dikatakan asal kejadian manusia itu daripada nur maka ia akan bertentangan dengan ayat Allah yang lain yang bermaksud, “ kami telah menciptakan manusia daripada tanah ……”Bagaimanapun itu adalah pendapat Maulana Habibur Rahman yang mungkin sebahagian daripada komentarnya itu boleh dipertikaikan atau ditakwilkan. Misalnya dengan mengatakan, “Memang Allah itu Nur tetapi bukan seperti Nur yang lain seperti mana yang dinyatakan Allah mempunyai tangan (di dalam al-Quran) tetapi bukan seperti tangan makhluk. Begitu juga Allah mempunyai mata tetapi bukan seperti mata makhluk. Apa yang hendak dinyatakan ialah nur itu ialah salah satu daripada nama sifat tuhan dan ini diterima oleh semua.Yang dimaksudkan dengan menjadikan nur NabiNya daripada nurNya bukanlah bermakna menjadikan Nur Muhammad daripada sebahagian nur Tuhan yakni dengan memakai “min li attab ‘idh” dengan erti sebahagian atau satu juzuk daripada Nur Tuhan”. Tidakkah boleh juga dipakai “min” itu dengan erti “ibtida’iah” bermakna kejadian Nur Muhammad itu berpunca daripada sifat nur Allah seperti dalam Al Quran Allah menyebutkan tentang kejadian Nabi Adam bermaksud, “Bila Aku menyempurnakan kejadiannya (Adam) dan meniupkan ke dalamnya “min ruhi” (daripada ruhKu) “Di sini tidak bermakna ruh Nabi Adam itu dijadikan daripada sebahagian ruh Allah dengan memakai “min li attab’idh” tetapi semua ulamak mengatakan bahawa ruh Nabi Adam itu adalah daripada kejadian Allah swt yakni Allah yang menjadikan ruh dan meniupkannya ke dalam tubuh Nabi Adam. Ini bererti persamaan yang terdapat pada perkataan nur atau ruh itu adalah persamaan pada lafaz sahaja bukannya persamaan sifat hakikat itu seperti sifat Tuhan Al-Malik yang bererti raja, apakah Raja yang terdapat di dunia ini boleh disamakan dengan Allah yang bersifat Al-Malik itu kerana ia seorang Raja, dan ia dikatakan “Al Malik dikalangan manusia? Tentu sekali tidak.!Bagaimanapun perkara ini mengelirukan sehingga ada sesetengah ulamak yang menyimpulkan begitu. Sebagai contohnya Maulana Habibur Rahman kerana realiti yang dihadapi oleh beliau daripada kepercayaan dan gelagat-gelagat golongan barelwi yang terdapat di India dan Pakistan dengan jelas menyatakan nur Muhammad itu adalah sebahagian daripada Nur Tuhan sebagaimana yang terdapat dalam serangkap syair dalam bahasa Urdu oleh salah seorang tokoh Barelwi begini bunyinya:“Vohi jo mustavi arasy tha khudha ho kar”Utar para Madina mei Mustafa ho kar”Bermaksud:“Dialah yang telah bersemanyam di atas arasy sebagai TuhanTurun ke Madinah sebagai Mustafa (Muhammad)”Bukankah penyelewengan yang seperti ini berpunca daripada pentafsiran tentang Nur Muhammad yang dikatakan berasal daripada hadis itu?.Memanglah tidak sia-sia takwilan yang telah dikemukakan tadi kalau sekiranya ia dikemukakan untuk menyelesaikan kemusykilan yang timbul daripada hadis yang sahih tetapi setelah jelas hadits itu bukan sahih bahkan ia adalah hadis yang maudhu’, tidak perlu lagi kepada takwilan yang seperti itu. Apalagi ia membuka pintu kepada golongan-golongan yang menyeleweng yang membawa fahaman “Wahdatul Wajud” (Serba Dia) atau aqidah Triniti dan sebagainya.Untuk diterima Nabi Muhammad merupakan Nur dalam pengertian majazi (bahasa pinjaman) tidaklah ditolak oleh semua ulamak. Memanglah Nabi Muhammad mempunyai sifat seperti cahaya yang menyinari kegelapan kekufuran. Kalau terdapat ayat-ayat Al Quran yang menyebutkan Nabi Muhammad sebagai Nur maka ia mengisyaratkan kepada erti yang seperti ini. Sama sekali ia tidak menunjukkan Nabi Muhammad berasal daripada Nur seperti kejadian malaikat umpamanya. Dalam pengertian majazi ini Nur tidak dikhususkan untuk Nabi Muhammad sahaja bahkan Nur juga dipakai dengan erti ugama Islam, Al Quran dan lain-lain lagi.Sebenarnya riwayat-riwayat yang seperti ini adalah rekaan orang-orang Syiah dengan tujuan meratakan jalan untuk konsep “Panjthan” dalam ajarannya yang mengatakan bahwa Nur itu berpecah kepada lima iaitu Nabi Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Mereka berharap apabila ummat Islam bersedia menelan sebiji ubat pahit ini, maka mereka akan terus bersedia menelan biji-biji ubat yang lebih pahit daripada itu. Kerana itulah dapat kita lihat di dalam tafsir-tafsir Al-Kalbi dan ahli-ahli seerah yang terpedaya dengannya, bahawa Nur itu berpindah-pindah daripada Nabi Adam kepada Nabi Syith dan seterusnya kepada Abdul Mutalib. Selepas Abdul Mutalib Nur itu berpecah kepada dua, Yang pertama pergi kepada Abdullah ayahanda Nabi kita Muhammad saw. Dan yang kedua pergi kepada Abdu Manaf atau Abu Talib iaitu ayah kepada Sayyidina Ali.Kenyataan ini tersebut dalam kitab-kitab Syiah seperti “Ilaalu As Syarai” jilid 1 muka surat 159 karangan Ibn Babwaih dan “Khitabu Al Khisal” jilid 1 muka surat 189 oleh pengarang yang sama.Daripada Abdullah, Nur itu diterima oleh Nabi kita, daripada Abdu Manaf ia diterima oleh Sayyidina Ali. Kerana itulah mereka memanggil Nabi sebagai “Imamul Anbiya” dan Sayyidina Ali sebagai “Imamul Auliya”.Riwayat ini dengan terang menyatakan bahawa Sayyidina Ali mempunyai kesamaan darjat dengan Rasulullah s.a.w. Keistimewaan yang diperolehinya bukanlah melalui Nabi tetapi melalui kejadian semulajadinya. Kerana itulah Baqir Al Majlisi dalam “Jilaau Al ‘Uyun” meriwayatkan bahawa di hari pertma kelahirannya lagi Sayyidina Ali telah bercakap. Dia bertanya Nabi s.a.w., “Adakah engkau mengenali diriku?” Nabi s.a.w menjawab, “Ya”. Kemudian Nabi saw bertanya Sayyidina Ali begitu juga dan Sayyidina Ali juga menjawab, “Ya” hari ini dinamakan hari “Arfah” iaitu “Hari Perkenalan”.Tujuan mereka mengadakan riwayat yang seperti ini ialah untuk mengemukakan jalan Wilayah dan Imamah yang beriringan dengan jalan Nubuwwah dan Risalah. Tidak hairanlah jika dilihat dalam silsilah-silsilah tarekat tasauf yang berusaha mendapatkan maqam kewalian, mempunyai perkaitan dan perhubungan dengan Sayyidina Ali. Semuanya berakhir dan berhenti silsilahnya pada Sayyidina Ali yang merupakan Imamul auliya’ seolah-olahnya tidak ada sahabat-sahabat yang lain yang merupakan jalan untuk sampai kepada maqam kewalian itu selain daripada Sayyidina Ali. Bukankah ini merupakan suatu kesan daripada memecahkan Nur Muhammad kepada Abdullah dan Abu Talib tadi?.Ibn Saad, Thabarani , Abu Nu’aim, Bazzar dan lain-lain telah menukilkan satu riwayat ketika mentafsirkan ayat yang bermaksud, “Dia melihat engkau ketika engkau berdiri dan berbolak balik di kalangan orang-orang yang sujud”, bahawa ayat ini bermaksud, “Bahawa Rasulullah s.a.w. dalam perpindahannya dalam sulbi para Nabi bermula daripada Adam sampailah kepada kemunculannya dilihat oleh Allah”, padahal “siaq” (ayat berikut) dan “sibaq” (ayat sebelum) ayat ini langsung tidak menyokong tafsiran yang dikemukakan malah riwayat ini adalah palsu kerana ia telah dinukilan oleh Al Kalbi daripada Ibn Abbas, sedangkan anak-anak murid Ibn Abbas seperti Mujahid, Ikrimah, Qatadah dan lain-lain pula tidak mengemukakan tafsiran seperti ini bahkan mereka semua menyatakan, “Yang dimaksudkan dengan “berbolak balik engkau itu” ialah “qiam dan sujud engkau dalam sembahyang bersama sahabat”.Selain dari itu dakwaan Nur Muhammad itu berpindah dari seorang nabi kepada seorang nabi yang lain terus menerus sampailah kepada Nabi Muhammad adalah sesuatu yang salah kerana berapa orangkah daripada anak cucu Nabi Ismail selain daripada Rasulullah saw yang telah dilantik menjadi Nabi?. Begitu juga berapa orangkah yang dilantik menjadi Nabi daripada anak cucu Nabi Nuh hingga kepada Nabi Ibrahim? Sebenarnya dakwaan ini tidak berasas sama sekali.Kalau dimaksudkan perpindahan Nur Muhammad itu adalah di kalangan nenek moyang Nabi, maka itu bercanggah dengan kenyataan kerana ramai sekali di antara nenek moyang Nabi kita terdiri dari orang musyrik dan penyembah berhala dan inilah pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Untuk menyembunyikan satu dusta kadang-kadang manusia itu terpaksa mengada-adakan sesuatu yang tiada atau terpaksa berdusta beratus-ratus kali. Oleh kerana Syiah telah menetapkan bahawa kesemua nenek moyang Rasulullah s.a.w. adalah berugama Islam, terpaksalah mereka mengada-adakan sekian banyak hadis palsu yang lain sepertimana dapat dilihat dalam hadis-hadis yang menyatakan perpindahan Nur Muhammad daripada seorang nabi kepada seorang nabi yang lain, dari Adam dan berakhir pada Abdul Mutalib, dari Abdul Mutalib itu Nur Muhammad tadi berpecah dua, satu pergi kepada Abdullah ayah Nabi kita dan satu lagi pergi kepada Abdu Manaf iaitu Abu Talib, ayah kepada Sayyidina Ali.Tujuan mereka ialah meletakkan Sayyidina Ali sejajar dengan Rasulullah s.a.w. dan tidak kurang daripada Nabi s.a.w. Kalau Nabi merupakan Sayyidul Anbiya’ maka Sayyidina Ali pula merupakan Imamul Auliya’. Sementara Imam Wali dan Wasi pula bagi mereka (golongan Syiah) adalah satu pangkat yang sebenarnya tidak kurang daripada pangkat kenabian kerana terdapat segala ciri kenabian padanya seperti dilantik oleh Allah; wajib ditaati, terpelihara daripada dosa-dosa, didatangi oleh malaikat yang lebih agung daripada Jibril dan Mikail, cuma ia tidak dinamakan “Nabi” sahaja. Dari sini dapat kita lihat bahawa kejadian Nur Muhammad itu bertitik tolak juga daripada ajaran Syiah.Jika dilihat daripada konsep “Panjthan” oleh Syiah iaitu lima peribadi istimewa iaitu Nabi Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, kita dapati bahawa konsep Nur Muhammad ini betul-betul berpunca daripada Syiah misalnya daripada satu riwayat Syiah yang diambil daripada Sayyidina Ali daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya, “Sesungguhnya aku dan Ahli Baitku merupakan Nur di hadapan Allah Tabarakwatala sebelum Dia menjadikan Adam selama 14,000 tahun” - Al Ihtijaj jilid 1 muka surat 212 karangan At Thabarsi. Dalam satu riwayat yang lain disebutkan” …… 7,000 tahun sebelum kejadian Adam” – Iiaau As Syara’ jilid 1 muka surat 208 karangan Ibn Babwaih. Dalam riwayat yang ketiga tersbut “Aku dan Ali diciptakan dalam satu nur 2,000 tahun sebelum Allah menjadikan Adam” – (ibid) jilid 1 muka surat 134.7. Sanggahan Terhadap Konsep Nur MuhammadSementara itu jika dilihat di dalam riwayat yang mula-mula dikemukakan dalam maqalah ini tersebut bahawa daripada Nur Muhammad dijadikan Abu Bakr, Umar, Utsman dan Ali, bagaimana ini boleh berlaku sedangkan dalam riwayat-riwayat Syiah semua ini tidak ada? Mungkin juga ada orang Ahlus Sunnah yang jahil telah berusaha menandingi riwayat yang direka oleh Syiah itu dengan mereka hadits Nur Muhammad yang berpecah kepada Sayyidina Abu Bakr, Umar, Utsman dan Ali untuk membuktikan bahawa mereka itu juga tidak kurang daripada Ali atau mungkin juga riwayat inipun direka oleh Syiah atas nama Ahlus Sunnah untuk menunjukkan bahawa ahlus sunnah juga tidak berbeza dengan mereka dalam konsep asal Nur Muhammad itu sendiri. Yakni Ahlus Sunnah juga menerima kewujudan Nur Muhammad sebagai makhluk yang pertama lahirnya daripada Tuhan seperti yang dipercayai oleh Syiah?.

  1. Nur Muhammad itu begitu istimewa sehingga diriwayatkan bahawa seramai 200 orang perempuan Bani Abdul Manaf dan Qabilah Makhzum telah mati kerana tergila-gilakan Abdullah ayahanda Nabi Muhammad saw. Mereka mati dalam keadaan membujang dan tidak ada seorangpun daripada perempuan Quraisy yang tidak jatuh sakit kerana kecewa tidak dapat menjadi isteri Abdullah. Yang menjadi persoalan kepada kita ialah, “Bolehkah ahli-ahli kisah Maulud Nabi mengemukakan senarai nama 200 orang daripada Bani Abdu Manaf dan Bani Makhzum yang dikatakan telah mati kerana tidak dapat menjadi isteri Abdullah.
  2. Bolehkah mereka mengemukakan nama-nama hanya 10 orang perempuan Bani Makhzum dan Bani Abdu Manaf yang tidak berkahwin sepanjang hidupnya itu?.
  3. Kenapakah ramai anak-anak gadis dan perempuan daripada kedua-dua keluarga ini sahaja yang kecewa kerana tidak dapat berkahwin dengan Abdullah? Kenapa pula perempuan dari Bani Zuhrah, Bani Jumah, Bani Asad, Bani Khuwailid, Bani Taim, Bani Adiy dan Bani Ghalib tidak pula mengalami kekecewaan yang seperti itu?.
  4. Mungkin juga Walid bin Mughirah, Abu Jahal dan lain-lain memusuhi Nabi kerana membalas dendam di atas kematian ibu-ibu dan anak-anak gadis mereka yang telah terkorban kerana tidak terpilih sebagai isteri Abdullah!.
  5. Salah seorang anak Abdul Manaf bernama Hasyim dan anak-anak cucu Hasyim dinamakan Bani Hasyim. Bolehkah ahli-ahli kisah Maulud Nabi menceritakan berapa ramaikah agaknya anak-anak gadis atau perempuan-perempuan daripada Bani Hasyim yang telah mati atau terus membujang kerana kecewa untuk menjadi isteri Abdullah?.
  6. Kalaulah diterima kisah itu maka ia bererti malam perkahwinan Abdullah dan Aminah merupakan malam perkabungan bagi penduduk Mekah! Agaknya mereka juga berkabung seperti orang-orang yang berkabung pada 10 Muharram dan menyatakan “tabarra” terhadap Abdullah. Apakah perkara ini sebenarnya boleh ditonjolkan sebagai keutamaan Nabi? Atau ia sebenarnya merupakan “tabarra” dalam bentuk yang sangat cantik terhadap Nabi dan ayahandanya Abdullah?.

Dalam riwayat-riawayat tersebut bahawa Nur Muhammad itu sampai kepada Abdul Mutalib ketika beliau sedang tidur di dalam Ka’bah pada waktu siang. Sebaik sahaja terjaga matanya kelihatan bercelak, rambutnya kelihatan berminyak, wajah dan tubuhnya kembali menjadi muda belia. Abdul Mutalib terkejut dengan keadaannya sendiri. Maka ia dibawa oleh ayahnya mengadap seorang tukang tenung dari kalangan Quraisy. Berkata tukang tenung itu, “Allah telah mengizinkan agar anak ini dikahwinkan”.Nur Muhammad di dalam diri Abdul Mutalib telah menyebabkan tubuhnya wangi seperti kasturi. Apabila orang-orang Quraisy ditimpa kesusahan dan lain-lain mala petaka mereka menjadikan Nur Muhammad itu sebagai wasilahnya agar doa mereka diterima. Riwayat ini dikemukakan oleh Abu Saad Naisaburi wafat 307H di dalam kitab Syarafu Al Mustaffa melalui sanad Abu Bakr bin Abi Maryam daripada Ka’ab Al Ahbar seorang muallaf yang berasal Yahudi dari kalangan tabii.Pertama sekali perlu dilihat bahawa silsilah riwayat ini terhenti pada seorang tabi’i, tidak tersebut pula sanad di atasnya. Walaupun Kaab Al Ahbar dianggap sebagai yang terbaik di antara muallaf Yahudi namun Imam Bukhari mengatakan dia pembohong . Dialah yang merupakan punca dan sebab utama bagi riwayat-riwayat Israiliat yang ganjil dan pelik.Sementara perawi di tengahnya ialah Abu Bakr bin Abi Maryam. Beliau dengan ittifaq tokoh-tokoh hadis merupakan seorang perawi yang dhaif. Kerana satu kemalangan yang menimpanya, fikirannya jadi tak tentu hala. Selain itu Ka’ab Al Ahbar telah mati di zaman Sayyidina Utsman yakni sebelum tahun 35H sedangkan Abu Bakr bin Abi Maryam pula wafat pada tahun 156H. Abu Bakr bin Abi Maryam adalah seorang ‘abid dan zahid. Walaubagaimanapun riwayat-riwayatnya tidak diterima oleh ulamak-ulamak hadis. Bagaimana ia boleh menerima sebarang riwayat daripada Ka’ab yang telah begitu lama meninggal sebelum daripadanya?.Nama asal Abdul Mutalib ialah Syaibah. Ayahnya Hashim telah pergi ke Syam untuk tujuan perniagaan. Dalam perjalanan ia berhenti di Madinah. Di sana ia telah terpikat dengan seorang gadis bernama Salma dari Banu Najjar dan berkahwin dengannya. Setelah beberapa hari bersamanya Hasyim berangkat ke Syam dan semasa pulang dari Syam Hasyim telah meninggal dunia dalam perjalanannya di Ghaza. Tetapi Salma sudahpun mengandung pada ketika itu. Bila ia melahirkan anak didapati rambut anaknya itu beruban, lalu diberi namanya a”Syaibah”. Ia dipelihara di Madinah selama 8 tahun. Apabila saudara Hasyim yang bernama Muttalib mendapat tahu ia terus pergi ke Madinah dan membawa pulang anak itu bersamanya ke Mekah. Oleh kerana anak itu dididik dan dipelihara oleh Muttalib, orang ramai mula memanggilnya dengan “Abdul Muttalib”.Yang menjadi persoalannya ialah ayah Abdul Muttalib itu meninggal dunia sebelum kelahirannya lagi, adakah setelah mati selama 15 atau 16 tahun ayahnya hidup kembali untuk membawanya pergi bertemu dengan seorang tukang tenung Quraisy? Ini dengan jelas menunjukkan Ka’ab Al Ahbar itu adalah pendusta sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Bukhari, ia tidak mengetahui sejarah hidup orang Mekah atau mungkin juga kisah ini merupakan hasil fikiran Abu Bakr bin Maryam yang sudah tak tentu hala itu?.Daripada kisah ini dapat diketahui beberapa perkara:

  1. Menjadikan Nur Muhammad sebagai wasilah itu sebenarnya sunnah orang- orang kafir Mekah.
  2. Nur Muhammad itu berpindah daripada seorang kepada seorang yang lain apabila ia menjadi remaja. Jangan-jangan “Nur keremajaan” itu pula yang dipercayai sebagai Nur Muhammad!.
  3. Orang-orang yang telah dipilih menerima Nur Muhammad dari satu generasi kepada satu generasi yang lain rupanya tidak berkahwin melainkan dengan kebenaran Allah dan cara untuk mengetahui keizinan Allah itu ialah dengan mengadu nasib kepada tukang tenung.

Ada pula riwayat yang menyebutkan bahawa bila Nur Muhammad itu bersinar-sinar di dahi Abdullah maka ia dikenali dan dicam oleh seorang tukang tenung perempuan. Dia mengajak Abdullah untuk tidur bersamanya dengan harapan Nur itu akan berpindah kepadanya. Tetapi bukan dia yang bertuah mendapatkan Nur itu kerana Abdullah enggan mengikutinya dan terus pulang ke rumah. Di rumahnya ibunda Nabi s.a.w. telah dipilih Allah sebagai pewaris Nur Muhammad itu.Setelah Nur Muhammad itu berpindah kepada Aminah, Abdullah datang semula kepada tukang tenung itu dan memintanya untuk bersama tetapi tukang tenung perempuan itu pula yang menolak dengan alasan “Nur yang berkilau di dahimu sebelum ini telahpun berpindah ke lain. Riwayat ini dengan perincian dan lafaz yang berbeza-beza dikemukakan oleh Ibn Saad, Kharaiti, Ibn Asakir, Baihaqi dan Abu Nu’aim di dalam “Dalail” masing-masing.Ibn Saad dalam “Tabaqat”nya telah mengemukakan riwayat ini melalui tiga jalan. Jalan yang pertama terdapat padanya Waqidi sebagai perawi yang pertama dan di dalam riwayat yang kedua terdapat Al Kalbi. Kedua-dua mereka ini terkenal sebagai pendusta. Sementara jalan riwayat yang ketiga pula berhenti pada Abu Yazid Al Madani seorang tabii, ertinya perawi di atasnya tidak diketahui. Abu Yazid Al Madani ini walaupun telah ditausiqkan oleh sebahagian tokoh-tokoh hadis tetapi Syeikhul Kul di Madinah Imam Malik berkata, “Aku tidak mengenalinya” Abu Zurah pula berkata, “Saya tidak tahu tentangnya”.Abu Nu’aim pula mengemukakan riwayat ini melalui empat jalan tetapi tidak ada satupun daripada sanad-sanadnya boleh dipegang kerana di dalam sanad-sanadnya boleh dipegang kerana di dalam sanad yang pertama terdapat Nadhar bin Salamah, Ahmad bin Muhammad dan Abdul Aziz bin Amar Az Zuhri. Ketiga-tiga mereka ini adalah orang yang tidak diterima oleh tokoh-tokoh ilmu rijal hadis.Dalam sanad yang kedua terdapat Muslim bin Khalid Az Zinji dan dia dianggap sebagai perawi yang dhaif. Selainnya terdapat beberapa perawi yang “majhul” (tidak diketahui latar belakangnya).Sanad yang ketiga pula terhenti pada Yazid bin Syihab Az Zuhri. Dia tidak menyatakan silsilah sanad di atasnya dan keadaannya sendiripun tidak diketahui. Sanad Baihaqi tidak lain daripada sanad yang ketiga yang dikemukakan oleh Abu Nuaim tadi. Adapun sanad oleh Kharaaithi dan Ibn Asakir pula adalah sanad yang tidak muktabar.Dalam kenyataan yang ringkas ini tidaklah penulis bercadang untuk memperincikan setiap perawi yang merupakan mata rantai sanad-sanad riwayat ini. Cukuplah dengan disebutkan bahawa perawinya adalah orang-orang yang tidak boleh diterima periwayatannya. Apa yang perlu diteliti oleh kita ialah sudut dirayahnya yang secara terang-terang menunjukkan kepalsuannya kerana ia menunjukkan ayahanda Nabi kita Muhammad saw sebagai seorang yang bermata keranjang dan jahat. Apabila ia menyatakan bahawa kerana sesuatu sebab Abdullah telah menolak ajakan tukang tenung perempuan yang juga pelacur itu tetapi kemudiannya dia sendiri yang mencari perempuan itu untuk digaulinya, perkara ini sahaja sudah cukup untuk kita menentukan sama ada riwayat ini sebenarnya menyatakan kelebihan Nabi atau ia merupakan satu bentuk tabarra terhadap ayah Nabi saw dan menampilkannya sebaga seorang yang jahat?.8. Kesimpulan:Daripada perbincangan yang lalu dapat disimpulkan beberapa perkara:

  1. Hadits-hadits yang berhubung dengan Nur Muhammad tidak ada satupun yang sahih, bahkan tidak ada satupun yang dhaif.
  2. Riwayat-riwayat tentang Nur Muhammad sebagai kejadian yang pertama diciptakan bertentangan dengan hadis-hadis yang sahih yang menyatakan arasy dan qalam sebagai kejadian yang pertama.
  3. Kejadian manusia bukanlah daripada Nur seperti kejadian malaikat tetapi ia dijadikan daripada tanah.
  4. Ada beberapa hadis sahih yang menyatakan Nabi saw berdoa meminta supaya Allah menjadikannya Nur. Bermaksud: “Ya Allah! Jadikanlah aku Nur” Apa ertinya Nabi meminta supaya dijadikannya cahaya kalau baginda sememangnya berasal daripada cahaya?
  5. Hadis-hadis tentang Nur Muhammad sebenarnya merupakan rekaan orang-orang Syiah sebagaimana yang dapat dilihat dengan jelas di dalam kitab-kitab mereka.
  6. Hadis tentang Nur Muhammad adalah direka untuk membuka jalan untuk diterima konsep “Nur Panjthan”.
  7. Perkataan “Nur” yang disandarkan kepada Nabi adalah dengan ertinya yang majazi (bahasa pinjaman) sebagaimana perkataan Nur juga secara majazi dipakai untuk ugama, Al Quran dan lain-lain.
  8. Hadits-hadits atau riwayat yang menceritakan tentang Nur Muhammad itu banyak juga menampilkan unsur-unsur “tabarra” (pernyataan rasa benci dan dendam kesumat) terhadap Nabi saw dan ayahandanya.
  9. Ia memuatkan banyak sekali peranan dan mitos daripada ugama dan budaya asing seperti Hindu dan lain-lain dalam merupakan Nur Muhammad sebagai rupa burung merak dan lain-lain rupa menurut kepercayaan mereka tentang tanasukh, awagaman atau inkarnasi.
  10. Ia telah terbukti merupakan satu daripada beberapa faktor utama kesesatan golongan Barelwi, Ilmu Isi, Bathiniah dan lain-lain . Oleh yang demikian tidaklah wajar Nur Muhammad itu ditonjolkan sebagai suatu keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w. malah sebaliknya kita ummat Islam semestinya menganggapnya sebagai satu penghinaan terhadap Nabi kita.

 

Antara Guru dan Murid (Pasted from zaharuddin.com, renungilah ia anak-anakku)

November 25th, 2008 by belalangtua

Antara Guru & Murid

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

MURID BANGGA DENGAN GURU

Ia adalah satu fenomena biasa.

Mungkin suatu ketika seseorang boleh berasa cukup bangga kerana dapat menjadi MURID kepada seseorang tokoh guru.

Perasaan ini boleh sampai ke suatu peringkat, menyebabkan si murid ‘buta’ dengan keilmuan orang lain juga menafikan kealiman guru-guru lain. Tentunya ia amat percaya dengan keilmuan gurunya.

Di waktu yang sama, ada yang menjulang nama GURUnya setinggi mungkin. Ada dua kemungkinan sebab untuk tindakan ini; Pertamanya untuk menunjukkan kehebatan dirinya, Keduanya guru tersebut sememangnya layak.

Tidak kurang ada yang menggelarkan gurunya sebagai Wali, Kassyaf, Imam, Syeikh, Al-Allamah, Kiyai, Tuan Guru, Pakar rujuk, Mujaddid, Al-Hafidz dan lain-lain gelaran lagi. Semuanya menunjukkan betapa penghargaan murid terhadap keilmuan sang guru dan bertuahnya diri dapat menceduk ilmu darinya.

Namun sebenarnya, murid tidak begitu berautoriti untuk mengiktiraf guru sebagai ‘alim atau hebat. Ini kerana dia sendiri masih murid dan tiada kemampuan untuk menilai sesuatu ilmu itu sama ada ia tinggi, sederhana atau rendah.

Ini menyebabkan murid sebenarnya tidak mampu menilai malah tidak layak, KECUALI ia mengambil penilaiannya dari seorang guru dan alim lain, ATAU dia bukan murid biasa yang baru belajar tetapi murid yang telah tinggi ilmunya cuma menjadi murid untuk melengkapkan keilmuannya. Ia banyak berlaku di zaman silam, seperti Imam As-Syafie yang bijak dan lagi amat alim memuji gurunya Imam Malik dengan katanya :-

إذا جاء الأثر فمالكٌ النجم

Ertinya : “Apabila tiba sahaja kepada hal ‘al-athar’ ( iaitu hadis-hadis nabawi yang sohih), maka (Imam) Maliklah bintangnya”

Kerana itulah satu hari di ketika Ali r.a duduk di sisi Nabi s.a.w, tiba-tiba Abu Bakar As-Siddiq r.a masuk, dengan segara Ali bangkit berdiri hingga menyebabkan Nabi tersenyum lalu diriwayatkan berkata oleh Anas bin Malik :

إِنَّمَا يَعْرِفُ الْفَضْلَ لأَهْلِ الْفَضْلِ أَهْلُ الْفَضْلِ

Ertinya : “Sesungguhnya yang mengetahui kelebihan seseorang adalah orang yang mempunyai kelebihan juga” ( Al-Jami’ As-Soghir, As-Suyuti)

Tidak hairan juga jika wujud murid yang menumpang kemashuran Guru, menisbahkan diri kepada sang guru. Padahal di mata guru itu mungkin, si murid itu adalah yang paling lembap di dalam pengajiannya.

GURU BANGGA DENGAN MURID

Murid berbangga dengan gurunya adalah fenomena biasa, namun jika seorang guru berbangga dengan muridnya, itu juga normal tetapi sedikit luar biasa dan amat positif.

Ia jarang berlaku kecuali bagi mereka yang benar-benar cemerlang di dalam pengajiannya.

Tidka kurang juga kita dapati dalam sejarah Islam dan lainnya, sang murid lebih berpengetahuan, hebat, terkenal dan berjaya dari gurunya. Lihat sahasja kepada Imam Abu Hanifah An-Nu’man, Imam Malik, Imam As-Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal, Al-Bukhari, Muslim, Shamsuddin Az-Zahabi dan ramai lagi senarainya.

Justeru, tempatkanlah diri anda dari kalangan murid yang boleh dibanggai oleh guru.

Malah sehingga satu peringkat, wujud guru yang asyik menghebah kepada ramai bahawa si polan bin si polan adalah anak muridnya. Ia dihebah bagi tujuan, sama ada cuba ‘menumpang’ kejayaan muridnya, atau lain-lain tujuan.

Benar, si murid pastinya terhutang budi dan ilmu kepada guru, namun guru ada pelbagai jenis guru. Ada guru yang melepaskan batuk di tangga semasa mengajar dan tidak memberi manfaat yang banyak dalam pembentukan diri dan kejayaan sang murid.

Terdapat juga guru, yang anak muridnya tidak perolehi apa-apa ilmu tambahan dari pengajarannya, hanya sekadar duduk dan mendengar ilmu-ilmu lama dan biasa di ulang-ulang. Guru sebegini juga patut memuhasabah diri jika ingin sewenangnya ‘mendakwa’ kejayaan muridnya adalah kerana kebijaksanaannya.

Saya ingat-ingat lupa bagaimana kata-kata Syeikh Muhammad Al-Ghazzali (tokoh dakwah dan ulama Mesir) berkenaan Al-Syeikh Dr. Yusuf Qaradawi.

Asalnya, Muhammad Al-Ghazzali adalah berpangkat guru kepada Al-Qaradawi, namun setelah kedua-dua mereka berkembang sebagai tokoh dakwah dan ilmuan hebat di peringkat antarabangsa. Syeikh Al-Ghazzali berkata yang maksudnya:

“Dulu dia adalah muridku tetapi kini aku adalah muridnya”

Demikian murninya pertalian mereka dan tawadhu’nya diri si guru selain pengiktirafan terbesar dari guru adalah apabila mengganggap dirinya kini sebagai murid kepada bekas anak muridnya.

LEBIH PELIK

Malah lebih pelik dari itu, muncul guru yang bukan guru. Bagaimana?

Teringat saya seorang wanita bertanya kepada saya,

“Nak Tanya ustaz, ustaz kenal tak ….bin ….?” Tanya muslimat ini kepada saya

“Tidak ingat pula” jawab saya

“Dia kata ustaz ni anak murid dia, betul ke ustaz?”

” Hmm, seingat saya saya tiada guru yang bernama sepertinya, mungkin dia tersilap orang kerana nama zaharuddin di Malaysia ni bukan saya seorang” Jawab saya

“Tapi ustaz, saya dah tunjukkan laman web ustaz, dan dia masih mendakwa ustaz anak muridnya” kata muslimat ini lagi.

“Jika demikian dakwaannya, saya cenderung mengatakannya sedang menipu saudari” tegas saya

“Dia sebenarnya sedang melamar saya ustaz, dan semasa kami bertaaruf dia mendakwa ustaz anak muridnya” katanya lagi

Demikian juga wujud rupanya, kini wujud bukan guru mendakwa seseorang lain sebagai anak muridnya hanya untuk memikat hati seorang wanita, malah untuk menaikkan ‘kehebatan’nya mungkin. Amat malanglah teknik penipuan sebegini dalam memikat hati wanita.

KESIMPULAN

Bagi murid, jadilah murid yang dibanggai oleh guru, diberi contoh teladan oleh guru kepada muridnya yang lain, disenangi guru dan dirasa amat bertuah oleh guru. Khususnya bagi mereka yang sedang berada di pusat-pusat pengajian di seluruh dunia, terutamanya bagi mereka yang berada di dalam ruang lingkup pengajian Islam.

Janganlah jadi murid yang ‘menunjuk pandai’ di hadapan guru atau mengkritik guru di belakangnya tanpa haq. Jika benar, guru tidak pandai, tersalah, menyeleweng dan sebagainya, tunjukkan ‘pandai’ kepadanya secara ‘pandai’, nescaya bermanfaat dan jangan menunjuk pandai secara tidak bijak.

Bagi guru ; jadilah guru yang boleh dibanggai dan dirasa bertuah oleh muridmu, justeru mantapkan keilmuanmu dan penyampaianmu. Jika sang guru merasakan sumbangannya kepada sang murid yang telah berjaya adalah sumbangan penuh seribu satu kelemahan, bersyukur bersendirian sahajalah.

Kita tidak mahu wujud murid yang mencebik mulut atau mengangkat kening bila diingatkan kepadanya bahawa si polan bin si polan adalah bekas gurunya satu ketika dahulu. Kerana ‘guru’ itu tidak seperti ‘guru’ sebenarnya.

Bagi semua ; janganlah mendakwa seseorang yang lain sebagai anak muridmu jika ia tidak benar hanya semata untuk menaikkan namamu. Kelak ia akan menjatuhkanmu seribu anak tangga.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

24 Nov 2008

Wahabi: Meluruskan Salah Faham

November 20th, 2008 by belalangtua

Wahabi: Meluruskan Salah Faham.

Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah ( hafizf )
Sumber: http://hafizfirdaus.com

“Wahabi” bukan sahaja salah dari sudut gelaran, ia juga salah dari sudut beberapa tuduhan dan salah faham yang disandarkan kepadanya. Berikut dikemukakan beberapa salah faham tentang gerakan atau fahaman Wahabi, diikuti dengan penjelasan bagi meluruskannya.

Salah Faham Pertama: Wahabi Dan Kuasa Barat.

Salah faham pertama yang akan diluruskan ialah dakwaan bahawa gerakan Wahabi dimulai dan disokong oleh kuasa-kuasa Barat, khasnya Inggeris. Bagi meluruskan salah faham ini, saya merujuk kepada sumber sejarah kuasa-kuasa Barat itu sendiri kerana ia adalah “sumber dalaman” yang lebih tepat bagi menggambarkan apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa tersebut pada zaman itu.

Pertama, kuasa Inggeris memang wujud pada zaman itu, tetapi peranannya hanya bersifat komersil, iaitu menjaga keselamatan perairan teluk bagi laluan kapal-kapal perdagangannya dari India yang merupakan tanah jajahannya saat itu. [Sarah Searight – The British In The Middle East, dikemukakan oleh Jalal Abu al-Rub – Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab (Madinah Publishers & Distributors, Florida, 2003), ms. 76-77] Pihak Inggeris atau mana-mana kuasa Barat ketika itu tidak berminat untuk membantu mengembalikan umat Islam kepada agamanya yang tulen.

Kedua: Bukan sekadar tidak minat membantu, kuasa-kuasa Barat sebenarnya amat membenci gerakan Wahabi kerana ia sebenarnya membangkitkan umat Islam. Seorang ahli sejarah Perancis, Almosio Sidio, menulis:

“Apabila Inggeris dan Perancis mengetahui kesepakatan yang tercapai antara Muhammad bin Abdul Wahhab dan Muhammad ibn Sa’ud untuk mentajdidkan agama (Islam) dan ramai masyarakat Arab yang mengikutinya, mereka bimbang ini akan membangkitkan umat Islam dari kelekaan yang menyelubungi umat saat itu. Justeru mereka (Inggeris dan Perancis) bimbang Islam akan kembali kuat sebagaimana pada zaman Umar bin al-Khaththab.

Mereka khuatir peperangan atas nama agama akan kembali hidup, memberikan kemenangan kepada Islam dan kekalahan kepada kuasa-kuasa Eropah. Atas dasar inilah Inggeris dan Perancis meminta khilafah Turki Uthmaniyah untuk memerangi gerakan yang disebut-sebut sebagai “Wahabi” itu dan pihak khilafah telah mewakilkan urusan ini kepada gabenor Mesir, Muhammad Ali Pasha.” [The General History of The Arabs; dinukil dari Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab, ms. 78]

Salah Faham Kedua: Wahabi dan Khilafah Islam

Masyhur dikatakan, gerakan Wahabi bertanggungjawab menjatuhkan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah. Salah faham ini dapat dijawab dari dua sudut. Pertama, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab tidak pernah menentang khilafah Turki Uthmaniyyah. Sikap beliau dalam persoalan ini adalah sebagaimana yang ditulisnya sendiri:

“Aku meyakini kewajipan mendengar serta mentaati para pemimpin kaum muslimin. Ia sama ada di kalangan pemimpin yang shalih mahu pun yang buruk akhlaknya. Ini selagi mana mereka tidak memerintahkan perkara kemaksiatan terhadap Allah. Ketaatan ini ditujukan terhadap sesiapa sahaja yang dilantik sebagai khalifah yang dipersetujui lantikannya oleh orang ramai yang meredhai kepimpinannya. Ini walaupun dia memperolehi kekuasaan khalifah melalui jalan paksaan, tetap menjadi suatu kewajipan mentaatinya dan dilarang melakukan penentangan terhadapnya. [Majmu’ah Muallafat al-Syaikh, Jil. 5, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab oleh Abdul Aziz bin Muhammad al-Abd. Al-Lathif (Jahabersa, Johor Bahru, 2008), buku 3, ms. 159]

Kedua, sama ada wujud atau tidak gerakan Wahabi, khilafah Turki Uthmaniyyah pada zaman itu memang memiliki pelbagai kelemahan dan masalah, dalaman dan luaran. Sesiapa yang mengkaji sumber-sumber sejarah yang adil lagi jujur berkenaan kedudukan khilafah saat itu akan mengetahui ia dalam keadaan sedang jatuh dan akan jatuh.

Cuba fikirkan, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Lebih-lebih lagi Semenanjung Arab ketika itu lebih bersifat “No man’s land” di mana ia hanya dikuasai oleh kabilah-kabilah kecil secara berselerakan. Shalih Abud mengulas:

“Tiada bukti menunjukkan bahawa negeri Najd pernah tertakluk di bawah penguasaan atau autoriti khilafah Uthmaniyyah. Selain itu tidak pernah wujud mahu pun sebuah batalion atau markaz ketenteraan khilafah Uthmaniyyah di sana. Ini sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab).

Sebaliknya menerusi fakta kukuh berdasarkan kepada dokumen khilafah Turki Uthmaniyyah yang direkodkan oleh Yamen Ali Effendi (1018H/1609M) bertajuk “Qawaniyyin Aali Uthman Mudomin Daftar al-Diwan” ternyata khilafah Uthmaniyyah terbahagi kepada 32 buah negeri atau wilayah. 14 daripadanya merupakan negeri-negeri tanah Arab. Namun negeri Najd tidak termasuk di dalamnya.” [‘Aqidah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab wa Atharuha fi al-‘Alam al-Islami, Jil. 1, hlm. 27; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]

Abdullah al-Utsaimin menambah: “Negeri Najd tidak pernah berada di bawah penguasaan kerajaan Uthmaniyyah sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab). Selain itu, ia juga tidak pernah disatukan di bawah satu pemerintahan yang kuat dalam jangka masa yang lama. Ini sama ada ketika sebahagian dari wilayahnya berada di bawah penguasaan Bani Jabr atau pun Bani Khalid. Ia disebabkan suasana peperangan yang silih berganti antara wilayah mahu pun kabilah negeri Najd yang terdiri dari pelbagai jenis puak sehingga agak sukar untuk disatukan keseluruhannya.” [Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab Hayatuhu wa Fikruhu, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]

Sekali lagi saya bertanya kepada para pembaca yang budiman sekalian, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Diingatkan bahawa sekalipun kuasa-kuasa Barat wujud di kawasan itu atas tujuan komersil, tidak dapat dinafikan bahawa mereka juga tentu memiliki hasrat untuk mengambil alih kota Mekah dan Madinah.

Nah! Dengan kewujudan gerakan Wahabi yang dapat menyatukan umat Islam Semenanjung Arab, kedua-dua bandar suci itu tetap berada di tangan umat Islam. Jika tidak, nescaya Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi di Madinah akan menerima nasib yang sama seperti Masjid al-Aqsa di Palestin. Fikir-fikirkanlah!

Salah Faham Ketiga: Wahabi dan Peperangan.

Beberapa orang pernah menyatakan kepada saya bahawa syaikh mereka memiliki bukti yang lengkap dengan sanad bahawa gerakan Wahabi melakukan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Arab semata-mata untuk mengembangkan ajaran mereka.

Tuduhan ini tidak perlu diberi perhatian kerana sanad tersebut, jika ia benar wujud, tidak memiliki apa-apa nilai. Ini kerana orang-orang yang duduk dalam rantaian sanad tersebut, biografi mereka tidak tercatit dalam mana-mana kitab al-Jarh wa al-Ta’dil. Sekadar mengetahui nama dan status mereka sebagai “orang agamawan” adalah tidak memadai. Dalam ilmu hadis, mereka termasuk dalam kategori para perawi yang majhul, maka dengan itu sanad tersebut adalah dha’if. Sanad sebegini tidak boleh dijadikan hujah dalam membuat tuduhan atau menjadi bukti dalam kes jenayah.

Adapun peperangan yang berlaku di Semenanjung Arab, kedua-dua sumber sejarah ada mencatitkannya. Sumber yang berpihak kepada dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh golongan yang tidak setuju dengan gerakan beliau. Sumber yang berpihak kepada golongan yang tidak setuju dengan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh gerakan beliau. Siapakah yang benar dan sebesar manakah skala peperangan itu – tiada siapa yang mengetahuinya. Apa yang pasti, tidak wujud kesan-kesan peninggalan sejarah yang dapat dijadikan bukti adanya peperangan yang diceritakan dalam kitab-kitab sejarah itu. Berbeza dengan peperangan yang belaku di belahan dunia yang lain, ia dapat dibuktikan melalui kesan-kesan peninggalan sejarah.

Salah Faham Keempat: Wahabi dan Tuhan.

Fahaman Wahabi sering dikaitkan dengan kepercayaan kononnya Tuhan memiliki jasmani dan anggota. Ini berlaku kerana fahaman Wahabi yang enggan mentakwilkan sifat-sifat Allah seperti muka, tangan dan kaki yang tertera dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini jelas adalah satu salah faham kerana fahaman Wahabi beriman kepada sifat-sifat Allah serta memahami maksudnya manakala bentuk atau tatacara sifat itu diserahkan kepada Allah, tanpa sebarang penyerupaan dengan mana-mana sifat makhluk-Nya.

Ini adalah juga fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah sebagaimana yang diterangkan oleh al-Tirmizi (279H): “Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (thabit) dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Manakala golongan al-Jahmiyyah, mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telah mentakwilkan ayat-ayat ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran ahli ilmu. Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihi salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.

Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim: “Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.

Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11]” [Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir dan rakan-rakan; Dar al-Hadith, Kaherah 1999), jld. 3, ms. 33.

Salah Faham Keempat: Wahabi dan Mazhab.

Fahaman Wahabi kononnya dianggap tidak mengikuti mana-mana mazhab fiqh yang empat. Sekali lagi ini adalah satu salah faham. Orang yang dituduh sebagai Wahabi, mereka masih mengikuti mazhab di tempat masing-masing. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil, apabila didapati hujah mazhab lain adalah lebih kuat kerana lebih mendekati dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, maka pendapat mazhab tersebut diikuti dalam persoalan tersebut.

Oleh itu orang yang dituduh sebagai Wahabi di Malaysia masih mengikuti Mazhab al-Syafi’e, orang yang dituduh sebagai Wahabi di India-Pakistan masih mengikuti Mazhab Hanafi, orang yang dituduh sebagai Wahabi di Timur Tengah masih mengikuti Mazhab Hanbali dan orang yang dituduh sebagai Wahabi di Afrika Utara masih mengikuti Mazhab Maliki. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil mereka mengikut mazhab yang lain kerana faktor kekuatan dalil dan hujah.

Ini sebenarnya adalah sikap yang benar sebagaimana yang diterangkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H): “Berdasarkan keterangan-keterangan para imam mazhab, adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah s.a.w. atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walau pun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka.

Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah. Oleh kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi Rasulullah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah mana-mana makhluk lain.

Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Nabi s.a.w. yang sahih.” [Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalam Iqaz al-Himan, ms. 93; dinukil dari Sifat Solat al-Nabi oleh al-Albani (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1996), ms. 54-55]

Salah Faham Kelima: Wahabi dan Kekerasan.

Wahabi sering dihubungkan dengan kekerasan. Benarkah demikian? Realitinya, pihak yang menuduh itulah yang sebenarnya bersikap keras. Di sana sini mereka menuduh sekian-sekian individu dan kumpulan sebagai Wahabi yang menyesatkan. Adakalanya tuduhan ini diterjemahkan dalam bentuk fizikal, seperti mengharamkan penerbitan, menghalang kuliah-kuliah agama dan menangkap para tokoh yang mereka tuduh sebagai Wahabi. Tindakan-tindakan tersebut berlaku tanpa tersembunyi sehingga diketahui dalam media-media perdana.

Adapun di kalangan orang yang dituduh sebagai Wahabi, mungkin ada yang bersikap keras. Namun perlu juga ditinjau dari sudut yang lain, kerana istilah “keras” itu sendiri boleh bersifat relatif. Keberanian, ketegasan, kesungguhan adalah sifat yang terpuji yang boleh ditafsirkan sebagai “kekerasan” oleh pihak yang sukar menerima kenyataan. Demikian juga, menyatakan yang haq di atas yang batil boleh juga ditafsirkan sebagai kekerasan oleh pihak yang sekian lama telah selesa dengan kebatilan tersebut.

Oleh itu kekerasan boleh disandarkan kepada salah satu dari dua pihak, yang dituduh atau yang menuduh.

Wahabi??!!

November 20th, 2008 by belalangtua

Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah ( hafizf )
Sumber: http://hafizfirdaus.com

Bulan November 2008 ini genaplah dua tahun laporan muka utama sebuah akhbar perdana tempatan yang berjudul “Fahaman Wahabi Menular”. Kebanyakan kenyataan dalam laporan tersebut adalah tidak tepat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh sahabat saya, Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus dalam bukunya Fahaman Wahabi Menular: Satu Analisis Terhadap Dakwaan Yang Ditimbulkan Oleh Akhbar Utusan Malaysia terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006. Namun ada dua kenyataan yang boleh dikatakan tepat:

* Pertama: Laporan tersebut menyatakan bahawa fahaman Wahabi sedang menular. Ini tepat, bahkan yang lebih jitu adalah fahaman Wahabi memang sungguh-sungguh sedang menular. Ia seumpama arus tsunami yang menenggelamkan pelbagai fahaman, pengaruh, jamaah dan aliran lain yang ada di Malaysia.

* Kedua: Laporan tersebut menyatakan bahawa fahaman Wahabi mendapat tempat di kalangan cerdik pandai umat Islam. Ini tepat, tetapi realiti masa kini membuktikan bahawa fahaman Wahabi juga sudah mendapat tempat di kalangan mereka yang berada dalam pelbagai lapisan dan latarbelakang.

Apa Dan Kenapa Wahabi?

Saya biasa ditanya, apakah fahaman Wahabi? Jawapan saya mudah sahaja: “Ia adalah pemikiran dan amalan Islam berdasarkan dalil dan hujah yang berbeza dengan kebiasaan masyarakat”. Soalan seterusnya, kenapa fahaman Wahabi mendapat tempat secara meluas di kalangan umat Islam? Terdapat beberapa jawapan bagi persoalan ini:

Pertama: Fahaman ini memandang Islam sebagai suatu agama yang berdasarkan ilmu. Oleh itu ia tidak membicarakan Islam melainkan dengan metodologi ilmiah yang tinggi lagi berdisiplin. Fahaman ini menolak bicara Islam yang berdasarkan mitos, khayalan, cerita-cerita dongeng dan apa-apa yang seumpama. Dalam suasana umat Islam yang semakin meningkat taraf keilmuannya, mereka mula beralih kepada Islam yang berdasarkan ilmu, yakni dalil dan hujah.

Kedua: Fahaman ini meningkatkan lagi penghayatan umat Islam terhadap agama Islam. Jika sebelum ini umat hanya mengenal Islam berdasarkan hafalan “fardhu ain”, kini umat mula mengenal Islam berdasarkan dalil dan hujah. Umat Islam mula mengenal kenapa mereka beribadah dengan tatacara sekian-sekian, hikmah di sebalik sesuatu ibadah, tujuan di sebalik sesuatu hukum dan objektif yang ingin dicapai oleh syari’at kepada manusia.

Ketiga: Fahaman ini memberi penekanan kepada usaha tajdid, iaitu usaha membersihkan agama Islam dari pelbagai pencemaran sehingga ia kembali tulen. Ketulenan ini adalah sesuatu yang benar-benar asing kepada masyarakat sehingga mereka menganggap ia adalah sesuatu yang baru, sekali pun ia sebenarnya sudah wujud sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Usaha tajdid memberi nafas baru kepada umat Islam. Mereka mula melihat keindahan, kemudahan dan kesyumulan Islam sebagaimana yang dilihat oleh generasi pertama yang menerimanya secara tulen daripada Rasulullah s.a.w..

Keempat: Fahaman ini menyentuh isu-isu terkini lagi relevan dengan suasana umat Islam. Sebagai contoh, apabila fahaman yang lain masih memberi perhatian kepada hukum berwudhu’ dengan air perigi, fahaman ini memberi perhatian kepada hukum berwudhu’ dalam kapalterbang. Apabila fahaman lain memberi perhatian kepada cara berzikir di atas pokok, fahaman ini memberi perhatian kepada cara beribadah di atas kenderaan moden seperti LRT, Monorail, Komuter dan sebagainya. Oleh itu tidak asing juga apabila didapati antara yang kehadapan dalam menangani isu-isu liberalisme, pluralisme, feminisme dan athiesisme adalah tokoh-tokoh yang disandarkan kepada fahaman ini.

Kelima: Fahaman ini tidak membataskan ahli-ahlinya kepada jamaah tertentu. Tidak ada sistem mendaftar keahlian, berbai’ah kepada amir, perlantikan ahli jawatan kuasa tahunan dan lain-lain yang biasa ditemui dalam jamaah-jamaah Islam. Seseorang itu boleh sahaja mengikuti fahaman ini dan pada waktu yang sama terus bergiat aktif dengan jamaah yang dianggotainya. Hanya saja fahaman ini mengingatkan umat Islam agar membetulkan tujuan mereka bergiat aktif di dalam sesuatu jamaah. Hendaklah tujuan tersebut demi kebaikan Islam dan umatnya, bukan demi memelihara maruah jamaah dan menjaga kedudukannya sebagai yang terbaik berbanding jamaah-jamaah yang lain.

Di Mana Salahnya Fahaman Wahabi?

Secara umum, tidak ada yang salah dengan fahaman Wahabi kecuali namanya. Memang, ada segelintir orang yang mengikuti fahaman ini dengan semangat yang mendahului ilmu dan kematangan sehingga mereka berlebih-lebihan dalam mengkritik dan mencela. Namun tindakan segelintir tidak boleh dijadikan hujah untuk menghitamkan keseluruhan fahaman ini dan majoriti yang mengikutinya berdasarkan ilmu dan kematangan.

Fahaman Wahabi bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam atau terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Malah ia lebih mendekati Islam yang sebenar dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang tulen. Terkecuali adalah nama “Wahabi” yang disandarkan kepada fahaman ini, ia adalah nama yang sengaja digunakan oleh sebahagian agamawan sebagai senjata untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka daripada fahaman yang murni ini. Kenapakah perlu ditakut dan dijauhkan orang ramai daripada fahaman ini? Paling kurang ada dua sebab utama:

Sebab Pertama: Apabila fahaman ini membicarakan Islam berdasarkan metodologi ilmiah, akan terbongkar kesilapan, kedongengan dan kepalsuan apa yang selama ini disampaikan oleh para agamawan tersebut. Dalam menghadapi suasana ini, para agamawan terbahagi kepada dua kategori:

* Pertama adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan agama berdasarkan sikap jujur lagi amanah. Mereka membetulkan apa yang pernah disampaikan sebelum ini seandainya ia sememangnya tidak tepat.

* Kedua adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan agama kerana maruah dan status. Mereka sukar untuk mengakui bahawa apa yang mereka sampaikan sebelum ini adalah tidak tepat. Maka mereka mencari helah untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka dari kebenaran tersebut. Helah tersebut adalah: “Berhati-hatilah dengan fahaman Wahabi kerana ia terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah……”

Sebab Kedua: Fahaman ini benar-benar mendapat sambutan daripada umat Islam sehingga kuliah-kuliah pimpinan tokohnya dibanjiri oleh hadirin dari pelbagai latarbelakang. Suasana ini bertolak belakang dengan kuliah-kuliah lain yang semakin lengang sehingga akhirnya dibatalkan oleh pihak penganjur. Dalam menghadapi suasana ini, sekali lagi para agamawan terbahagi kepada dua kategori:

* Pertama adalah mereka yang memiliki sikap yang positif dimana dengan sikap tersebut mereka berusaha untuk mempertingkatkan mutu kuliah yang disampaikan, selari dengan kehendak para hadirin.

* Kedua adalah mereka yang memiliki sikap yang negatif dimana mereka enggan mempertingkatkan mutu kuliah yang disampaikan. Pada waktu yang sama mereka tidak boleh berdiam diri kerana semua ini melibatkan sumber pendapatan mereka. Dengan berkurangnya jemputan, berkuranglah juga pendapatan. Maka mereka perlu mencari helah untuk menjanakan kembali sumber pendapatan dengan berkata: “Berhati-hatilah dengan kuliah orang-orang Wahabi, mereka itu ditaja oleh pihak Barat……”

Siapa Yang Sebenarnya Salah?

Diharapkan melalui penjelasan yang ringkas di atas, para pembaca sekalian dapat mengetahui kisah sebenar di sebalik gelaran atau tuduhan “Wahabi”. Tidak percaya? Cubalah mengkaji salah satu dari kitab Mazhab asy-Syafi’e yang muktabar dan pilih satu hukum atau amalan yang berbeza dari kebiasaan masyarakat. Nescaya anda akan dituduh “Wahabi” sekalipun rujukan anda ialah kitab muktabar Mazhab asy-Syafi’e.

Di sini ingin saya tambah, bahawa yang tidak benar bukan sekadar tuduhan “Wahabi”, tetapi sikap orang yang menuduh itu sendiri adalah tidak benar. Ini kerana Islam melarang umatnya daripada tuduh-menuduh, cemoh-mencemuh dan memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang tidak baik. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kumpulan (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kumpulan dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [al-Hujurat 49:11]

Akhir kata, apabila anda mendengar seseorang berkata: “Si fulan Wahabi”, “Kumpulan itu Wahabi”, “Ini majalah Wahabi” atau apa-apa tuduhan seumpama, maka ketahuilah bahawa kesalahan tidak terletak pada yang dituduh tetapi pada yang menuduh.